Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Monday, December 17, 2007

Perkelahan di Sungai Congkak


Selepas memenuhi undangan Majlis Perkahwinan Saraya pada 16 Disember 2007 yang lalu, Aku sekeluarga, Kamariah, Suwaya dan suaminya Wahid dan anak-anaknya mempunyai rancangan untuk mandi-manda di Air Terjun Sungai Congkah yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

Kami tiba di tempat perkelahan yang terkenal di kalangan penduduk Lembah Klang itu kira-kira jam 1:30 petang. Aku sebagai jurupandu mencari-cari tempat yang sesuai untuk budak-budak mandi manda. Lokasi yang kami temui agak bagus dan tempat meletak kereta juga amat hampir dengan tempat tersebut.

"Bang, nak sewa pondok tak", tegur seorang lelaki bilamana aku turun dari kereta.
"Berapa ringgit, kat mana tu", balas aku acuh tak acuh je
"RM 5 bang, kat belah bawah sana", jawab lelaki tersebut.
"Tak palah...jauh tu", jawab aku lagi.
"Kena bayar parking RM3, bang", sambung lelaki tersebut.
"Hai...kat tepi jalanpun kena bayar parking jugak ke?", tanyaku lagi kehairanan.
"Duit kutip sampah...dan lain2 lagi, bang", balas beliau lagi.
"Nak buat macam mana, bayar je lah..." jawab aku sambil menghulurkan bayaran parking.

Masa tu anak-anak aku dan anak-anak Wahid dah tak sabar untuk mandi-manda. Masing-masing dah bersiap dengan pakaian mandi. Suwaya dan Kamariah memang nak mandi, tapi yang jadi masalahnya kat mana nak bersalin pakaian? Aku suruh je diaorang bersalin dalam kereta aku, sebab cermin kereta yang agak gelap, maka mungkin penglihatan dari luar tak begitu nampak ketika mereka bersalin nanti. Perbualan kami diperhatikan oleh seorang lelaki dari seberang jalan, lantas beliau menuju ke arah aku sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

"Kamarol", kataku sambil menghulurkan tangan.
"Anas", jawabnya perlahan.
"Salin pakaian kat dalam khemah tu", pelawa beliau sambil menunjukkan kearah sebuah khemah.
"Tak pelah bang...", jawab aku perlahan.
"Boleh....tak de sapapun dalam khemah tu", pelawa lelaki itu lagi.

"Terima kasih banyak-banyak, bang" balas aku sambil menyuruh Kamariah dan Suwaya bersalin pakaian di dalam khemah lelaki tersebut.

Sambil mereka bersalin, aku dan isteri aku berbual-bual dengan lelaki tersebut yang bernama Anas bersama dengan isteri beliau yang menghadapi masalah "stroke". Dah banyak tempat yang beliau bawa berubat termasuk berendam dengan "air kolam panas" dan Alhamdulillah ianya telah menampakkan tanda-tanda akan sembuh.

Sambil itu, Kamariah, Suwaya dan anak-anaknya serta anak-anak aku sambil ditemani oleh Wahid telah mula mandi-manda di air terjun tersebut. Bukan main seronok lagi mereka berendam di dalam air. Wahid pulak kerana tak bawa pakai mandi, terpaksalah hanya memerhatikan mereka yang mandi-manda. Selang beberapa ketika, aku meninggalkan isteri aku dan Abg Anas dan isterinya berbual-bual kerana aku jugak nak rasa mandi air terjun.

Kami leka mandi-manda dari jam 1:30 petang hingga lewat 2:30 petang. Sambil tu, Suwaya belanja ais krim, walaupun aku belum baik dari batuk, makan jugak....Kemudian sekitar jam 2:30 petang, kami mula bersiap-siap untuk pulang memandangkan kedua abah dan ibu aku akan berkunjung ke rumah aku di Puchong petang itu.

Selepas bersalam dengan Abg Anas dan isterinya, kami terus pulang. Kali ini aku menggunakan laluan dari TOL Grand Saga menghala ke Seri Kembangan dan terus ke Puchong. Perjalanan balik kali ini hanya bayar TOL sebanyak RM2.50 sahaja, tidak seperti perjalanan pergi yang mana bayarannya adalah RM5.50. Jimat separuh tu....

Apabila tiba di rumah, abah dan mak aku ditemani oleh 2 orang adik telah terlebih dahulu sampai. Mereka baru sahaja menghantar adik perempuan aku yang belajar di UNISEL.

Suwaya dan Kamariah kemudiannya pulang ke rumah masing-masing sekitar jam 6:00 petang. Kami merancang untuk berkelah sekali lagi dengan membawa persediaan yang lebih baik seperti makanan, barbeque dan sebagainya. InsyaAllah ada kesempatan yang akan datang, kami akan berkunjung lain samada di Sungai Congkak, Sungai Gabai ataupun Sungai Tekala.

Wassalam.





Selamat Pengantin Baru-Saraya


Semalam, 16 Disember 2007 aku menunaikan jemputan rakan sepejabat yang melangsungkan perkahwinannya di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan.

Perjalanan aku sekeluarga, Kamariah, Suwaya, Wahid dan anak-anaknya dari Puchong seawal jam 11:00 pagi. Kami menggunakan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Kajang dan kemudian memasuki Lebuh Raya SILK seterusnya Lebuh Raya Grand Saga sebelum sampai ke persimpangan Balai Polis Batu 11. Daripada congakan aku kesemua bayaran TOL berjumlah RM5.50 walaupun terlalu tinggi, namun kami tidak menghadapi masalah kesesakan kerana tidak memasuki Bandar Kajang yang terkenal dengan masalah kesesakan itu. Tambahan pula, aku memang nak survey Lebuh Raya SILK tersebut yang belum pernah aku lalui sebelum ini.

Kami sampai seawal jam 12:30 tengahari, ketika itu jemputan telah agak ramai yang tiba. Ayah Saraya menyambut ketika itu. Kami di pelawa untuk makan di khemah tetamu. Aku lihat ada 2 jenis nasi iaitu nasi putih dan nasi beriani. Lauk pula ada beberapa jenis seperti daging berkuah, rendang daging, ayam goreng, sambal buah, papadom (betul ke eja...) dan ulam seylon dan buah tembikai sebagai pencuci mulut. Boleh tahan masakannya...kalau tak masakan aku bertambah 2 kali.

Sambil kami menjamu selera, Kek Pengantin yang dibawa oleh Suwaya setinggi 2 tingkat itu diletakkan di hadapan meja untuk Pengantin Makan Beradab. Sempat jugak Kamariah dan Suwaya bergambar bersama dengan kek yang di bawanya itu.

Selepas itu kami terus berjumpa dengan Saraya di bilik persalinannya. Isteri aku, Suwaya dan Kamariah masuk ke bilik persalinan yang mana Saraya sedang bersiap untuk majlis persandingan pada hari itu. Aku taklah masuk ke dalam bilik. Segan.. Aku dan Wahid cuma menunggu di luar rumah.

Aku ucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Saraya. Ini merupakan perkahwinan kedua beliau setelah perkahwinan pertamanya berakhir dengan perpisahan. Semoga jodoh beliau dengan suaminya sekarang akan berkekalan hingga ke akhir hayat. InsyaAllah.

Kami meninggalkan majlis tersebut untuk mandi-manda di Air Terjun Sungai Congkah yang terletak lebih kurang 15 minit perjalanan dari rumah Saraya.


Wassalam.





Tuesday, December 11, 2007

Lambaian Kaabah 2007 Siri-2


Sabtu 8 Disember 2007 seawal 5:30 pagi sekali lagi aku sekeluarga ke Komplek Jemaah Haji Kelana Jaya kerana menghantar Pak dan Mak Mertua serta adik ipar aku untuk menunaikan ibadah haji di Mekah dengan penerbangan KT82.

Setibanya aku di Komplek Jemaah Haji Kelana Jaya, aku lihat Bakal Jemaah Haji dan sanak saudara masing-masing masih lagi tidak ramai yang hadir. Mungkin kerana awal pagi, maka bilangan yang hadir tidak begitu ramai. Setelah solat Subuh di Surau Komplek tersebut, aku segera menuju ke khemah di mana jemaah berkumpul sebelum pemeriksaan masuk (check-in) berlangsung pada jam 7:00 pagi. Tetapi keadaan menjadi semakin penuh sesak dengan sanak saudara sekitar jam 7:15 pagi.

Alhamdulillah, kesemua anak-anak mertua aku hadir sama bagi mengucapkan selamat jalan kepada mereka. Pendaftaran Penginapan di Mekah telahpun dilakukan oleh ipar aku yang mana mereka telah lebih awal sampai di Komplek tersebut. Sempat juga aku bantu mertua aku tukarkan wang "riyal" di Kaunter Bank Islam di Komplek tersebut. Pada sekitar jam 7:20 pagi, barulah pemeriksaan masuk bermula. Aku dan biras aku beratur sambil membawa bagasi mertua dan adik ipar aku hingga ke ruangan masuk.

Memandangkan tarikh 8 Disember, maka mereka akan menunaikan Haji Ifrat yang mana mereka akan terus memasuki Kota Mekah dari Lapangan Terbang Jeddah. Aku doakan ketiga-tiga mereka akan dapat menunaikan haji dengan lapang tanpa apa-apa halangan serta akan dapat Haji yang Mabrur. InsyaAllah.

Aku bersyukur walaupun pada mulanya mereka tidak tersenarai di dalam Kumpulan Pertama yang ditawarkan menunaikan Haji bagi tahun 1428H, namun setelah proses rayuan dilakukan di Pejabat Tabung Haji Raub dan di Ibu Pejabat Tabung Haji, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, akhirnya mereka berjaya juga menunaikan Rukun Islam yang kelima ini. Terima kasih juga kepada Haji Sharif dan Haji Azlan yang telah banyak membantu.

Selepas dari itu aku dan keluarga segera pulang semula ke Puchong kerana aku ada tugasan yang perlu dilakukan untuk menolong jiran aku (menyembelih lembu) yang akan mengadakan kenduri kahwin anak saudaranya.

Wassalam.