Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Wednesday, September 26, 2012

Along Nadzirah Hanim Melanjutkan Pelajaran Ke Mesir

Pada Isnin 24hb. September 2012 yang lalu, kami sekeluarga telah menghantar anak sulung kami Nadzirah Hanim (Along) ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA di Sepang Selangor Darul Ehsan. Along akan melanjutkan pelajarannya di dalam bidang Pergigian (Pembedahan) selama 5 tahun di Universiti Alexandria Mesir.

Pada hari tersebut, seawal jam 2:30 petang, selesai sahaja aku membacakan Doa Selamat, kamipun bertolak dari rumah di Kampung Baru Batu 14 Puchong Selangor yang diiringi juga oleh Abang Kamal dan keluarganya yang telah bermalam di rumah aku sejak hari Sabtu yang lepas bagi meraikan Along. Kami bertolak awal memandangkan pihak pengurusan GMN memaklumkan supaya ibubapa dapat menguruskan bagasi anak masing-masing seawal yang mungkin bagi mengelakkan kelewatan di kaunter daftar-masuk.


Kami tiba di KLIA pada jam 3:45 petang. Proses menimbang berat bagasi bermula jam 4:00 petang dan kami merupakan keluarga pelajar yang pertama selesai menguruskan bagasi. Ini adalah kerana semua maklumat mengenai bagasi dipatuhi iaitu 2 bagasi dengan berat tidak melebihi 20kg setiap bagasi (Had sebenar adalah maksima 23kg/bagasi).


Selepas selesai proses menimbang berat bagasi, kakitangan GMN telah menyerahkan beberapa keperluan pelajar seperti vess, tag pelajar, sticker/label bagasi serta dokumen pendaftaran Universiti Alexandria. Seterusnya kedua-dua bagasi tersebut dihantar ke bahagian wrapping untuk tujuan membungkus bagasi dengan plastik bungkusan bagi mengelakkan/mengurangkan kerosakan pada bagasi semasa proses penghantaran ke Mesir nanti. Bayaran bagi setiap pembungkusan adalah sebanyak RM10.00 yang diperlu dibayar secara sendiri.

Semua proses ini selesai kira-kira jam 5.00 petang. Aku kemudianya bergegas pulang semula ke rumah di Puchong yang terletak kira-kira 40km dari KLIA ini dengan menaiki Shadow kesayanganku untuk mengambil anak bongsu yang pada hari sama menduduki peperiksaan PSRA dari jam 2:30 petang sehingga 6:10 petang. Aku memaklumkan kepada Ustazah Hayati yang kemudiannya memaklumkan kepada Guru Pengawas Peperiksaan agar dapat memberikan pelepasan awal kepada anak bongsu aku sebaik sahaja beliau selesai menjawab semua soalan peperiksaan PSRA iaitu 1/2 jam sebelum masa sebenar tamat.

Aku dan anak bongsu sampai semula di KLIA sekitar jam 7:00 malam. Semua sanak saudara dan keluarga yang lain telahpun sampai.

Kemudian aku menguruskan pula hal berkaitan dengan pengaktifan Kad Debit VISA Maybank untuk kegunaan antarabangsa. Sebelum ini aku telahpun membuka akaun bank HSBC untuk Along. Akaun Maybank adalah sebagai backup sekiranya Kad HSBC mengalami masalah nanti. Aku dimaklumkan juga cas pengeluaran menggunakan Kad Debit VISA Maybank adalah amat tinggi iaitu RM12 sekali pengeluaran berbanding dengan Kad HSBC. Selepas itu pula aku menukarkan matawang US Dollar sebagai tambahan bagi perbelanjaan Along ketika sampai di Mesir nanti.

Lebih kurang jam 7:10 malam kaunter daftar-masuk (Kaunter H) bagi penerbangan Egypt Air dibuka. Memandangkan pihak GMN telah berpengalaman selama 5 tahun di dalam penghantaran pelajar ini, maka proses daftar-masuk ini amat mudah serta diuruskan oleh kakitangan GMN sendiri. Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka semua yang memberikan perkhidmatan yang amat baik sekali.

Kemudian, para pelajar, ibubapa dan sanak saudara dikehendaki berkumpul berhampiran Pintu Perlepasan Antarabangsa. Tidak ketinggalan juga kehadiran 2 orang Ustaz yang rapat Along Nadzirah Hanim semasa beliau menjalani kursus persediaan Program Pintar di Kem Bumi Jati pada bulan Jun-Julai yang lalu.


Masa yang dinanti akhirnya tiba bilamana para pelajar mula memasuki (Boarding) Pintu Perlepasan bermula jam 8:00 malam. Di sinilah bermula semua sketsa bagi semua ibubapa, adik beradik dan sanak saudara yang tak dapat menahan kesedihan untuk berpisah sementara dengan insan tersayang termasuk aku sendiri.... 5 tahun wehhhh...


Along Nadzirah Hanim mula melangkah memasuki pintu perlepasan tepat jam 8:30 malam dengan disaksikan oleh kami semua dengan seribu harapan agar beliau akan beroleh kejayaan yang cemerlang serta menjadi seorang pakar pergigian yang dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Kami semua mengiringimu dengan doa mudahan Along akan senantiasa di dalam lindungan Allah SWT, kekal sihat dan dipermudahkan segala urusan sepanjang berada dirantauan.

Ayah, Mak, Angah, Adek dan semua sanak saudara SAYANG PADAMU.....

Nota : Pastikan anda mempunyai Flash Player atau RealPlayer untuk melihat Slide Show di bawah ini.

Dinner di Restoran Istana Bambu Hulu Klang

Menguruskan Bagasi

Menunggu Penerbangan

Sesi Bergambar

Sketsa Bersalaman

Perlepasan Melangkah Pergi
Cuit-Cuit Mesir



Tuesday, January 31, 2012

Pendaftaran SBPI Selandar Melaka


Alhamdullah, hari ini 31hb Januari 2012, aku telah selesai mendaftarkan anak kedua aku (Najwa Aini) yang mendapat tawaran ke Tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) yang terletak di Selandar Melaka.

Beliau telah mengakhiri persekolahannya di dalam Tingkatan 1-3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bentong, Karak, Bentong, Pahang Darul Makmur.

Proses pendaftaran di SBPI Selandar yang dikhususkan untuk kemasukan ke Tingkatan 4 ini berjalan dengan lancar bermula dari jam 9 pagi dengan kemasukan lebih kurang 50 (kalau tak silap) orang pelajar sahaja. Selepas pendaftaran yang diikuti dengan sessi taklimat, anak aku mula memasuki asramanya yang ditemani oleh bukan sahaja seorang malahan 2-3 orang pelajar sukarela (lantikan sekolah) yang membantu menguruskan bermula dari pendaftaran sehinggalah proses kemasukan ke asrama.

Secara keseluruhannya, sekalung ucapan penghargaan dan terima kaseh kepada pihak sekolah SBPI yang telah menguruskan kemasukan pelajar dengan baik sekali terutamanya sikap ramah setiap pelajar yang ditemui yang sungguh-sungguh sedia membantu terutamanya pelajar baru.

Semua urusan pendaftaran dan membeli kelengkapan yang tak dijangka telah selesai jam 1.30 tengahari. Mudah-mudahan anak aku ini akan dapat menyesuaikan dirinya dengan suasana dan persekitaran yang baru ini dan akan memperolehi pencapaian yang cemerlang di dalam SPM 2013 nanti.






Sunday, May 22, 2011

Pendaftaran Asasi UITM Puncak Alam Sessi 2011


Alhamdullah, hari ini 22hb Mei 2011, aku telah selesai mendaftarkan anak sulung aku ke Program Pengajian Asasi UITM Kampus Puncak Alam bagi Sessi 2011/2012.

Anak aku mendapat 2 tawaran iaitu Matrikulasi (KPM) di Londang, Melaka dan Asasi UITM (IPTA). Setelah membuat pertimbangan, beliau memilih untuk mengikuti pengajian Asasi di UITM selama 1 tahun.

Aku tiba seawal jam 8:20 pagi di Kampus Puncak Alam. Inilah pertama kali aku memasuki kampus cawangan Puncak Alam ini yang pada pandangan aku amat baik suasananya dan amat bersesuaian dengan mood untuk belajar dengan berlatarkan kehijauan dikelilingi oleh bukit-bukit.

Memandangkan akan tiba awal, maka semua urusan pendaftaran Kolej Kediaman berjalan dengan lancar, tak sampaipun 15 minit, anak aku telah selesai mendaftar dan diberikan kunci bilik. lega la jugak sebab anak aku dapat tingkat 2 dari keseluruhan 9 tingkat bagi setiap blok. Namun begitu, setiap blok, ada kemudahan lif, tak lah susah sangat.

Pada setiap unit (rumah) ada 4 bilik dengan setiap bilik ditempatkan 2 orang pelajar... memang selesa betul, tambahan pula kampus Puncak Alam ini baru sahaja 2 tahun beroperasi. Dah la tu... tandas ada dua pulak tu... satu tandas duduk dan satu lagi tandas mencangkung...

Apa-apapun, mudahan anak aku akan mendapat pencapaian yang cemerlang untuk membolehnya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda .. InsyaAllah.







Saturday, November 06, 2010

Majlis Graduasi MRSM Kepala Batas 2010




Hari ini 6hb November 2010, aku menghadiri majlis Graduasi MRSM kepala Batas Pulau Pinang 2010 yang diadakan buat kali ketiga di kampus Maktab Rendah Sains Mara Kepala Batas Pulau Pinang.

Aku dan keluarga termasuk 2 orang anak abang aku (menunaikan haji ke Mekah) bertolak dari Puchong seawal jam 12:00 tengah malam walaupun pada awalnya aku merancang untuk bertolak jam 3 pagi. Memandangkan pada hari tersebut, rumah aku black-out sejak petang tersebut, maka adalah lebih baik aku bertolak awal, sebab kalau kalau nak tidur dulupun, pasti akan kepanasan sebab tak ada elektrik.

Walaupun TNB dah baiki kerosakan, namun rumah aku sahaja yang masih bergelap....puncanya kerosakan pada Main Switch (32A). Nak dijadikan cerita, puas aku mencari kedai yang jual Main Switch termasuk pasaraya.....namun tak berhasil, sebab masa tu dah pukul 9:00 malam....

Perjalanan ke MRSM Kepala batas mengambil masa lebih kurang 4 jam hingga 4 1/2 jam dari Puchong dengan kelajuan 120km/jam. Ada juga tersampai 140-150km/h. Aku sampai awal dan sempat berehat di hentian rehat Sungai Juru.

Sambil tu berbual dengan beberapa anggota polis di kebetulan berehat di tempat yang sama. Mereka dari IPD Kuantan dan dalam perjalanan ke Kedah-Perlis untuk misi bantuan banjir.

Sepanjang perjalanan, apa yang aku perhatikan, memang bas-bas ekspres dipandu dengan cukup laju, melebihi daripada had yang dibenarkan. Mungkin diaorang ni tak serik-serik lagi kot....

Majlis graduasi yang bermula jam 8:30 pagi dan berakhir sekitar jam 11:30 pagi ini telah disempurnakan oleh ADUN Pinang Tunggal, YB Dato' Haji Roslan bin Saidin.

Aku dan keluarga amat berbangga dengan kejayaan anak aku yang berjaya meraih pointer melebihi 3.5 yang melayakkannya untuk mendapatkan Graduasi kelas Pertama dan menerima anugerah cemerlang (akademik) bersama 39 pelajar lain daripada sejumlah 206 pelajar tingkatan 5, sepanjang 2 tahun di MRSM Kepala Batas ini.

Sempat juga aku berjumpa dengan guru Home-Room anak aku iaitu Cikgu Syarnizal untuk mengucapkan ribuan terima kasih disamping peranan beliau sebagai guru penjaga kepada anak aku di MRSM Kepala Batas ini.

InsyaAllah, anak aku bersama 206 pelajar MRSM Kepala Batas ini dan seluruh pelajar di Malaysia akan mula menduduki peperiksaan SPM pada 23hb November 2010 ini. Mudahan mereka akan beroleh kejayaan yang cemerlang di dalam SPM 2010.

Selepas tamat majlis dan jamuan makan tengahari yang disediakan oleh pihak MRSM, aku sempat juga melencong ke Pekan Kepala Batas mencari Main Switch (32A). Alhamdulillah, dapat RM12.00 seunit. sampai di rumah nanti aku akan gantikan sendiri, sebab elektrik dah memang background aku.

Dari Pekan Kepala Batas jam 1:30 petang dan tiba di rumah lebih kurang jam 6:00 petang. Lebih lama sebab, banyak kali berhenti rehat....

Antaranya di Hentian Rehat Bukit Gantang (beli buah-buahan la tu),...Ipoh .... dan Hentian Rehat Behrang (pekena Mee Kari kesukaan aku) .....letih....memang dah begitu....demi untuk pelajaran anak.

Pernah juga pada Disember 2005 yang lalu jam 3:00 pagi aku memandu dari Puchong ke Kuantan untuk ke Pejabat Pelajaran Negeri Pahang perihal permohonan penempatan anak aku... Alhamdulillah, semuanya berbaloi...untuk anak-anak.


Majlis Graduasi MRSM Kepala Batas














Monday, November 05, 2007

Majlis Konvokesyen Ke-2 Unisel


Semalam, hari Ahad 4 November 2007 aku menghadiri Majlis Konvokesyen adik perempuan aku, Rokiah yang telahpun menamatkan pengajiannya di Universiti Industri Selangor (Unisel) di dalam jurusan Diploma Perakaunan. Alhamdulillah, beliau telah berjaya menamatkan pengajiannya selama 3 tahun di Unisel dengan memperolehi >3 pointer. Tahniah diucapkan kepadanya. Kini beliau meneruskan pengajian di peringkat Ijazah di Universiti tersebut dalam bidang yang sama. Semoga beliau akan berjaya memperolehi Ijazah Perakaunan. Tidak seperti aku yang seringkali tertangguh untuk meneruskan pengajian diperingkat yang seterusnya. Mudahan suatu hari nanti, aku akan dapat juga apa yang aku cita-citakan selama ini.

Aku sekeluarga (kecuali anak sulung aku yang bersekolah di asrama), abah, mak, Along, Ita (dan anaknya Hidayah) dan Anor bertolak dari Puchong (rumah aku) kira-kira jam 10:30 pagi dengan menaiki 2 buah kereta.

Perjalanan dari Puchong ke Unisel mengambil masa lebih kurang 1 1/2 jam. Kami tiba kira-kira jam 11:45 pagi. Lalu Along mengajak kami semua makan tengahari dulu di Kampung Bestari Jaya yang terletak bersebelahan dengan Unisel. Banyak juga gerai makan yang terdapat di situ yang juga dikunjungi oleh student-student Unisel untuk makan sekiranya mereka tidak makan di kafeteria yang di sediakan oleh pihak universiti.

Sesudah makan tengahari, kami semua terus ke Unisel. Abah dan Mak terus pergi ke Dewan Besar di mana majlis konvokesyen diadakan. Sementara aku menghantar Rokiah ke asramanya untuk bersiap. Para ibubapa dikehendaki masuk ke Dewan seawal jam 1:00 petang. Manakala para graduan pula jam 1:30 petang sepertimana yang dimaklumkan di dalam aturcara tersebut.

Malangnya sehingga jam 2:00 petang, barulah para ibubapa dibenarkan masuk ke Dewan Besar. Kesian juga aku tengok sebab mereka terpaksa menunggu sambil berdiri selama hampir 1 jam sebelum dibenarkan masuk ke Dewan. Terdengar juga para ibubapa agak marah, kerana menghadapi situasi begini. Agaknya, kerana Unisel masih lagi baru dan ini kali kedua mereka mengadakan majlis konvo, maka insiden ini berlaku. Aku harap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi di tahun hadapan.

Walaubagaimananpun secara keseluruhan, majlis di sebelah petang ini berjalan dengan lancar dan kegembiraan jelas terpapar pada kesemua graduan yang menerima Ijazah dan Diploma masing-masing. VIP yang hadir pada sebelah petang adalah Pro Canselor Tan Sri Dato' Sri Dr Abu Hassan Omar (bekas Menteri Besar Selangor) dan ada la terpacul jugak Dato' Jalaludin Hassan (artis). Anaknya sama jurusan dengan adik aku tu. Laa.... sebab tu la dia hadir.

Aku dan mak aku sempat jugak bergambar dengan Dato' Jalaludin. Sekadar kenang-kenangan je...

Majlis Konvokesyen sessi petang ini tamat lebih kurang jam 3:30 petang. Sesusah solat Asar di Masjid Unisel, kami semua pulang ke Puchong. Sementara Abah, Mak dan Anor terus ke rumah Along untuk menghadiri Rumah Terbukanya itu. Lepas Maghrib, aku sekeluarga pergi ke rumah Along. Selepas Isyak, Abah, mak dan Anor pulang ke Melaka pada malam itu juga.

** TAHNIAH di atas kejayaan Rokiah memperolehi DIPLOMA PERAKAUNAN **






Tuesday, September 25, 2007

Kejadian Buli di Sekolah Anak Aku



Hari ini (25 September 2007) aku terima sms daripada anak aku yang bersekolah di SMK Seri Bentong, Karak, Pahang Darul Makmur kira-kira jam 9:29 malam yang berbunyi "Ayah, call balik. Segera". Aku yang mengesyaki ada sesuatu yang tak kena berlaku, lantas segera menelefon nombor tersebut iaitu nombor telefon Cikgu Zawiyah. Anak aku keadaan menangis memberitahu bahawa ada pelajar senior telah mengugutnya untuk datang ke bilik asrama beliau pada malam ini untuk menyelesaikan satu perkara yang aku kira sebagai satu ugutan yang tidak baik.

Kawan-kawan yang tinggal satu bilik dengan anak aku menasihatkan agar anak aku tidak balik ke bilik asrama dan pergi ke rumah Cikgu Zawiyah yang tinggal di rumah guru (dalam kawasan sekolah) dan maklumkan kepada beliau dan aku berkenaan dengan ugutan tersebut.

Anak aku menerangkan kejadian berlaku berpunca apabila anak aku yang ingin menggosok baju sekolahnya yang mana seterika di aras 2 bilik asrama beliau rosak, lalu menggunakan seterika di aras 3. Apabila "turn" beliau telah sampai, tidak semena-mena seorang pelajar senior dengan angkuhnya cuba memotong "que" dan menimbulkan provokasi mulut dan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok terhadap anak aku.

Disebabkan tidak tahan dengan kata-katanya, anak aku membalas kata-kata beliau. Ianya berlanjutan sehingga pelajar senior tersebut mengugut untuk datang ke bilik asrama anak aku dengan "geng-geng" pada sebelah malam.

Sebelum itu, pelajar yang sama juga telah pernah mengugut anak aku pada tahun lepas dengan membawa sekumpulan pelajar senior ke kelas (semasa anak aku tiada di kelasnya) kerana insiden menegur pelajar tersebut memotong barisan semasa mengambil makanan di Dewan Makan asrama. Ianya telah diselesaikan apabila aku terus melapurkan kepada Guru Kelas, Ustaz Fatthul dan pelajar tersebut telah diberikan kaunseling oleh pihak sekolah.

Aku bertambah bimbang ekoran beberapa insiden pelajar sekolah (sepertimana yang dilapurkan oleh media) yang membuli pelajar lain dan menyebabkan pelajar tersebut menghadapi suffer yang berpanjangan. Geram juga memang ada...nak aje aku jumpa pelajar tersebut dan keluarganya. Yea...lah, sekolah bukannya tempat nak buli membuli orang. Sekolah kan ke tempat untuk menimba ilmu? Aku dulupun duduk asrama juga, tapi taklah kena ugutan macam ini.

Aku terus menghubungi YDP PIBG Ustaz Man dan memaklumkan kejadian ini yang kebetulan baru pulang dari SMK Seri Bentong kerana menghadiri majlis berbuka puasa dengan Pegawai dari Jabatan Pelajaran dan pihak sekolah. Aku meminta YDP untuk segera mengambil tindakan kerana apa yang aku bimbangkan adalah keselamatan anak aku pada malam itu.

"Ustaz, saya tidak mengatakan yang anak saya betul, cuma apa yang saya mahu agar pihak sekolah dan PIBG tidak memandang ringan kejadian seperti ini", tegas aku.

Saya minta tindakan segera diambil agar kejadian buruk tidak berlaku", tambah aku lagi.

"Baik, saya akan maklumkan kepada warden dan Pengetua untuk mengambil tindakan. Lagipun Pengetua masih berada di asrama sekolah", jawab YDP.

Disamping itu aku juga telah maklumkan perkara ini kepada Ustaz Azhar, Warden Asrama sekolah. Beliau juga berjanji akan mengambil tindakan segera. Namun rasa tak sedap hati masih menyelubungi fikiran aku, lantas aku menghubungi pula Pengetua sekolah iaitu Tuan Hj Abd. Rahim.

"Usah bimbang, saya akan uruskan dan panggil pelajar yang terlibat di dalam insiden tersebut pada malam ini juga", kata Pengetua.

"Apa-apa hal, saya akan maklumkan kepada encik pada malam ini juga", tambah Pengetua.

"Tapi, Tuan Haji, saya bimbang keselamatan anak saya, dan saya bercadang untuk datang ke asrama sekolah pada malam ini juga", kata aku.

"Tak apa...tak usah lah datang malam-malam. Nanti saya bimbang, awak pula yang ditimpa susah sebab nak datang dari jauh...takut apa-apa hal di tengah jalan", nasihat Pengetua.

"Jangan bimbang, saya akan uruskan dan kalau perlu kita akan tempatkan seorang warden untuk mengawasi pada malam ini", kata Pengetua menyakinkan aku agar tidak datang ke sekolah pada malam ini.

Tapat Jam 11:15 malam, Pengetua menelefon aku menyatakan bahawa beliau telah selesai menyoal siasat dan memberi amaran kepada pelajar yang terlibat agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan beliau boleh diambil tindakan termasuk buang sekolah. Memandangkan beliau akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini, maka sekiranya ini berlaku, masa depannya akan turut terjejas. Kepada anak aku juga Pengetua telah menasihati agar lebih berhati-hati dan tidak melayani sebarang provokasi dari pelajar lain. Sekiranya ada masalah, beliau diminta terus melapurkan kepada Warden sekolah.

Selepas itu aku terus memberitahu kepada YDP bahawa kes buli terhadap anak aku telah selesai. Dan aku juga maklumkan kepada YDP bahawa aku memang berhajat untuk berjumpa dengannya untuk membincangkan beberapa perkara berkenaan dengan banyak isu-isu pelajar dan untuk meningkatkan prestasi pelajar sekolah.

Rasa kesal juga kerana aku tolak pencalonan sebagai AJK PIBG sekolah dalam pemilihan PIBG pada bulan Jun 2007 yang lalu. Kalau tak, rasanya banyak perkara yang aku nak ketengahkan kepada pihak sekolah berkenaan dengan idea-idea aku, akan dapat dilaksanakan untuk kemajuan anak-anak di SMK Seri Bentong ini. Aku tolak sebab masalah perhubungan. Sukar rasanya untuk hadiri mesyuarat memandangkan aku tinggal di Puchong yang jaraknya 120KM dari sekolah tersebut. InsyaAllah, kalau aku masih lagi dicalonkan pada sessi tahun depan, pasti aku tak akan tolak. Aku perlu korbankan masa,tenaga dan wang ringgit untuk mengembeling usaha bersama PIBG untuk kemajuan anak-anak di SMK Seri Bentong.

Apa yang aku dapat katakan, kepada para ibubapa agar dapat mengambil berat perihal anak-anak mereka yang bersekolah terutama sekolah berasrama.
  • Jangan biarkan setiap aduan berkenaan kes buli, walau sekecil mana sekalipun. Yang kecil itulah akan menjadi besar sekira tidak ditangani dengan segera.
  • Jangan takut atau segan untuk melapurkan kejadian buli kepada Warden, Guru, Pengetua ataupun PIBG.
  • Nasihatilah anak-anak agar sentiasa memelihara perhubungan sesama mereka agar tidak berlaku sebarang pertelingkahan mulut yang akhirnya akan mudah menimbulkan provokasi oleh pihak ketiga.
  • Sentiasalah berdampingan dengan Warden, Guru, Pengetua dan PIBG agar setiap maklumat sampai kepada mereka untuk di ambil tindakan yang sewajarnya.
  • Anak-anak perlu dibimbing dengan sewajarnya agar tidak melakukan buli yang akhir akan melanjutkan keperibadian mereka apabila telah tamat persekolahan. Menurut kajian oleh Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakob, menangani masalah buli tidak boleh dengan cara toleransi tetapi perlu tegas kerana kajian menunjukkan mereka yang terlibat dalam kes ini berpotensi terlibat dalam kegiatan jenayah apabila dewasa kelak.

    Katanya, kajian menunjukkan mereka yang terlibat dalam kegiatan buli semasa di bangku sekolah akhirnya menjadi seorang dewasa yang terlibat dalam kes jenayah, merogol dan mendera isteri.

    "Apa yang kita lakukan ialah untuk menyelamatkan pelajar dari cenderung ke arah perbuatan tersebut ketika dewasa kelak,'' tegas beliau.

    Ditanya mengenai kejadian buli yang kerap berlaku di sekolah berasrama penuh beliau berkata, ia sebenarnya telah menjadi budaya dalam kalangan pelajar sekolah sedemikian.
Anak-anak ibarat kain putih. Terpulanglah kepada kita untuk mencorakkannya. Kalau kita ingin anak kita jadi baik atau cerdik atau sebaliknya, terpulanglah kepada kita untuk melakukannya.

Wassalam
Mamat Chokia