Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Tuesday, July 24, 2007

Nostalgia Perniagaan

Aku masih teringat ketika aku masih kecil (Sekitar 1974 ketika itu, umur aku 6 tahun agaknya..lupa dah) aku dah mula menjaja kuih (milik orang lain) dari rumah ke rumah pada setiap pagi. "Kuih-kuih...." teriak aku sambil membawa bakul raga berisi kuih-muih untuk sarapan pagi di Felda Machap (sekarang ni dah Kampong Baru Bukit Bulat), Alor Gajah, Melaka. Entahlah, aku seolah-olah tidak langsung berasa malu pada ketika itu. Dapatlah upah 20 sen setiap hari. Nilai itu sudah cukup besar pada ketika itu. Apa yang aku fikirkan adalah keseronokan berniaga.
Kemudian ketika di sekolah rendah, akulah yang menjadi pilihan nenekku untuk membantunya di kebun buah-buahan. Aku sempat merasa menjual buah rambutan dan cempedak di tepi jalan besar di kawasan Felda. Aku memang suka menyakat bapa saudaraku (lebih muda usianya dari aku). Tah macam mana, pada satu hari tu, aku tak perasan dia ada memegang sebilah parang. Agaknya, disebabkan terlalu marah dengan ejekan aku, dia telah melontarkan parang tersebut ke arah aku. Nasib aku malang pada hari itu, parang tersebut menyinggah di kaki aku. Darah merah mengalir deras menyebabkan aku rebah. Aku pengsan. Aku tak sedar langsung. Apabila aku buka mata, aku dah berada di rumah dengan kaki berbalut.

Bila abah pulang dari kerja, dia marah lagi kat aku. katanya aku yang salah. Sedih juga dibuatnya. Lepas tu abah hantar aku ke Hospital Alor Gajah sebab keadaan luka di kaki aku agak panjang. Dari Hospital Alor Gajah aku segera di hantar dengan Ambulan ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan lanjut. Merasa jugak pengalaman naik Ambulan. Masih terngia-ngia lagi sakitnya bila kaki aku dijahit dengan jarum. Meraung sakan....Yealah..masa tu ubat bius tak macam hari ini. Walaupun dibius, tapi sakit tetap terasa. Aku tinggal di Hospital Besar Melaka selama lebih kurang sebulan.

Tiap hari abah datang melawat aku. Abah gelak...bila tengok kaki aku bersimen sampai ke pangkal paha. Bosan tinggal di Hospital, memang tak boleh nak cakap. Tambahan pulak bila toleh kira kanan..ada yang patah tangan, ada yang patah kaki, ada yang kaki tergantung..dan macam-macam lagi. Kemudian bila aku dibenarkan pulang ke rumah, rasa jadi macam raja pulak. Mak layan baik sekali. Makan aku dijaga dengan betul. Tapi yang paling menyeksakan apabila kaki aku yang bersimen tu di masuki oleh semut. Aduh mak...tak boleh nak cakap macam mana. Punyalah terseksa...Allah sahaja yang Tahu.

Lepas rasa dah okey sikit, aku mula keluar rumah. Mak memang marah setiap kali aku keluar rumah. Takut aku terjatuh dan menyebabkan luka jahitan tu susah nak sembuh. Dalam keadaan kaki bersimen tu aku gunakan tongkat yang aku buat sendiri untuk memudahkan aku bergerak dan berjalan. Mana aku nak lekat kat rumah aje...kekawan siap datang rumah..dah tu perli-perli aku pasal tak dapat bermain. Masa tu aku suka sangat main getah gelang. Tiap kali main, mesti aku yang menang. Kesian jugak bila aku lihat kawan baik aku "Pok Ngah" selalu aje kalah.

Bukan aje aku kira terror main getah, tapi "gundu" getah yang aku buat sendiri (ala..aku cipta la tu..) menjadi minat kekawan lain. Sampai diaorang order kat aku lagi. Dapatlah sikit duit jual "gundu" getah tu. Duit jualan tu aku simpan dalam tabung buluh yang aku buat sendiri.

Kesan parut tersebut masih lagi kekal hingga ke hari ini dan setiap kali aku melihatnya, pasti kenangan ini akan menjelma membuatkan aku tersenyum sendirian.

No comments: