Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Friday, September 26, 2008

Puteh Di Dalam Kenangan



25 September 2008, aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isteriku dengan nada yang teresak-esak. Aku mengesyaki sesuatu yang tak baik telah berlaku.

"Bang, Puteh mati", beritahu isteriku.

Tergamam aku dibuatnya. Sayu, sedih dan hiba aku rasakan. Biarpun Puteh hanyalah seekor kucing, namun ia adalah kucing peliharaan yang amat kami sayangi. Asal dari anak kucing kampung yang terbuang tanpa tuan yang kami temui pada 10 Mei 2001 di Raub, Pahang, kami pelihara dan jaga dengan baik.

"Mati kenapa?", tanya aku.
"Kena langgar", sambung isteriku lagi

Isteri aku menjumpai Puteh yang telah mati berhampiran dengan Restoran Haikal Tomyam berdekatan dengan rumah kami ketika beliau lalu di kawasan tersebut. Menurut jiran di situ, Puteh telah mati sejak semalam lagi akibat dilanggar oleh sebuah lori, sebab tulah ia tak pulang pada malam tu. Isteri aku yang membawa pulang bangkai Puteh mendapati tiada kesan luka dan kerosakan fizikal pada Puteh.

Pada umur kecilnya, kami pernah beberapa kali menghantarnya ke pusat jagaan haiwan peliharaan berbayar apabila kami pulang berhari raya di kampung. Pernah juga beberapa kali Puteh menjalani rawatan pembedahan di klinik haiwan apabila sakit. Pada ketika itu, wang ringgit bukanlah ukuran betapa sayangnya kami terhadap Puteh.

Puteh yang kami sayangi tidak pernah membuat kotor di dalam rumah seperti kencing dan sebagainya. Puteh memang pandai bermain-main (bergurau) dengan aku. Waktu aku pulang dari kerja, kalau ia ada di rumah (luar rumah), pasti ia akan menyambut aku dengan sengaja berbaring betul-betul di laluan kereta aku hinggakan aku tak boleh nak lalu langsung. Kemudian, kenalah aku keluar dari kereta dan mengambil atau mengalihkannya dari laluan kereta aku.

Anak lelaki akulah yang paling kuat meraung bila mendapat tahu kematian Puteh daripada isteriku apabila beliau pulang dari sekolah. Beliau menangis semahu-mahunya dan berlarutan sehingga aku selesai menanam (kebumikan) Puteh di belakang rumah aku.

Angah dan isteriku juga amat bersedih dengan pemergian si Puteh. Along (anak sulung) yang bersekolah di Karak yang dimaklumkan oleh isteriku apatahlagi sedihnya. Gambar-gambar kenangan di bawah sahajalah yang dapat menggambarkan kesedihan kami.

Apapun, kami sungguh sayang kepada Puteh. Pemergiannya seperti si Jantan kami, terpaksa juga direlakan walaupun kami sekeluarga amat bersedih. Terlalu banyak kenangan suka duka selama lebih daripada 7 tahun bersama si Puteh tetap akan di abadikan di dalam sanubari kami. Namun begitu, kami bersyukur kerana sekurang-kurang kami sempat dan menemui bangkai si Puteh untuk melihatnya buat kali yang terakhir pada hari ini 25 September 2008.










Saturday, March 29, 2008

Pemergian Nenda Tercinta 28 Mac 2008




Jantungku berdegup kencang apabila aku menerima panggilan telefon daripada makcik aku Lela pada petang Jumaat 28 Mac 2008 5:14 petang yang lalu. Aku diberitahu bahawa Nenda Jarah telah meninggal dunia pada jam 4:50 petang di rumah makcik Lela di Putra Perdana, Puchong setelah 5 hari dibenarkan keluar daripada Hospital Putrajaya.

Nendaku yang akan berusia 76 tahun pada Jun 2008 ini, menghidapi sakit tua sejak beberapa lama yang lalu. Aku mengagumi Nenda yang telah kematian suami lebih 30 tahun yang lalu membesarkan anak-anaknya seramai 11 anak daripada tulang empat keratnya sendiri tetap bersendirian sehingga ke akhir hayatnya.

Aku bersyukur kerana mak aku (tinggal di Melaka) yang juga merupakan anak tertua arwah Nendaku telah sempat menziarahinya untuk kali terakhir pada 22 Mac 2008 yang lalu di Hospital Putra Jaya selepas aku memaklumkan kepada mak bahawa keadaan Nenda semakin uzur dan meminta untuk mak datang segera ke Hospital Putra Jaya. Syukur kerana mak sempat bersama-sama dengan Nenda untuk beberapa jam (2 kali lawatan) di Hospital Putra Jaya sebelum pulang semula ke Melaka pada keesokan petangnya.

Untuk kali yang terakhirnya, aku dan isteri sempat menziarahi Nenda pada malam sebelum pemergiannya iaitu pada Khamis 27 Mac 2008 di rumah makcik Lela di Putra Perdana. Entah macam mana, pada malam tersebut aku telah menziarahi Nenda sebanyak 2 kali berulang alik sehingga hampir jam 1:00 pagi. Ianya seolah-olah membisikkan ke telingaku bahawa inilah kali terakhir aku melihat Nenda di dunia ini.

Ia mengingkatkan aku semasa zaman kecil ketika aku tinggal di Bukit Bulat (sekolah rendah) bagaimana aku adalah diantara satu-satunya cucu kesayangan Nenda yang tak berat tulang membantu Nenda di kebun termasuk membantu di Ladang Getah, "palut buah cempedak" dengan sarung yang diperbuat daripada daun kelapa, bersama-sama memetik buah cempedak dan buah rambutan. Akulah yang seringkali diminta oleh Nenda untuk membantunya menjual buah-buahan di tepi jalanraya berhampiran dengan kebun buah-buahannya itu.

Aku juga pernah berbasikal beriringan bersama Nenda ke kebun buah-buahannya itu....tak sanggup rasanya untuk aku meneruskan coretan kenangan silam yang telah berlalu lebih 30 tahun yang lalu.....kerana kenangan itu membuatkan aku semakin hiba dengan leraian airmata.

Jenazah Nenda telah dibawa pulang ke kampung pada malam itu juga dengan van jenazah dari Polis Negeri Sembilan pada sekitar jam 9:45 malam dengan diiringi oleh kenderaan Polis dan disambut oleh saudara mara di kampung serta pegawai dan anggota polis yang telah sedia menunggu.

Jenazah Nenda telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Tun Ghaffar, Bukit Bulat pada pagi Sabtu lebih kurang jam 11:30 pagi dengan diiringi oleh van Jenazah khas pasukan Polis Negeri Sembilan. Sebelum itu majlis tahlil di rumah arwah Nenda telah juga disempurnakan oleh unit agama Pasukan Polis dan dihadiri oleh Dato' KP Melaka dan diikuti kemudiannya tahlil oleh jemaah kariah kampung Bukit Bulat.

Jenazah nenda telah disembahyangkan di Masjid Bukit Bulat oleh jemaah yang hadir sekitar 80 orang. Kemudian jenazah telah dibawa oleh van jenazah Polis tersebut ke tanah perkuburan Kampung Bukit Bulat.

Aku mendapat kesempatan yang takkan dapat dilupakan untuk bersama-sama menyempurnakan pengkebumian jenazah ke dalam liang lahat dan dapat melihat dengan sepuas-puasnya wajah arwah Nenda (kedudukan aku betul-betul di bahagian kepala arwah nenda) untuk kali terakhir sebelum papan keranda menutupi liang lahat tersebut.

Bacaan talkin kemudiannya telah disempurnakan oleh Imam 2 Masjid Bukit Bulat Imam Burhan Alin dengan diiringi menyiram air dan bunga-bungaan di atas kubur oleh anak-anak arwah Nenda.

Aku, bagi pihak keluarga arwah Nenda mengucapkan sekalung terima kasih yang tak terhingga kepada Polis Melaka dan Negeri Sembilan yang telah membantu sehingga urusan pengebumian jenazah Nenda selesai dijalankan tanpa apa-apa halangan. Tak lupa juga kepada mereka-mereka yang telah datang menziarahi arwah Nenda dan para jemaah Bukit Bulat sendiri yang telah banyak membantu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Nenda dan ditempatkan bersama-sama dengan para solehah dan menjadi penghuni syurgaNya. Amin.
Al-Fatihah.....



Suasana di hari pengkebumian Nenda...





Tuesday, July 24, 2007

Nostalgia Ternakan

Masa aku dan keluarga tinggal di Felda Machap pada sekitar 1970an, di sebelah rumah kami ada sebuah reban ayam yang memang besar lebih kurang 20'x30' milik nenek aku. Banyak ternakan dibelanya termasuk ayam dan itik "serati". Disamping tu ada juga sebuah lagi reban ayam daging sebesar 10'x10' behampiran dengan reban induk tadi. Setiap hari aku ditugaskan oleh nenek aku untuk memberi makan kepada kesemua ternakan tersebut. Paling best sekali bila masa memberi makan kepada ternakan tersebut. Banyak...jumlahnya mencecah 60 ~ 80 ekor (masa tu jumlah ini dah kira banyak dah...). Paling best bila mak aku buat masakan kegemaran kami sekeluarga iaitu ayam masak halia...terutamanya kalau ayam kampung. Untuk keluarga kami seramai 11 orang memang setakat 2 ekor ayam memang tak cukup sekali masak.

Sekitar tahun 1998 yang lalu, bila mana aku menyewa rumah di Kg. Baru Batu 14, Puchong,Selangor di belakang rumah aku ada sebidang tanah yang kosong (Masa tu , memang dipenuhi oleh semak-samun). Aku pakat dengan isteri untuk membuat sebuah reban ayam. "Sayang juga, kalau ada lebihan makanan, takkan nak buang macam tu je...rezeki tu..." ujar aku kepada isteri. Lepas bincang punya bincang, kami sepakat nak usahakan tanah di belakang rumah setelah kami minta izin daripada tuan rumah dan tuan tanah.

Kami dirikan sebuah reban ayam berpagar dan beratapkan zing seluas 22'x22'. Mak aku bekalkan beberapa ekor ayam kampung untuk dijadikan baka. Sementara itu, aku beli ayam baka kacukan Ayam Perancis sebanyak 20 ekor dengan harga RM1.50 seekor dari PKPPS. Baka ini aku pilih kerana saiznya yang besar boleh mencecah sehingga 3 kg. Pusingan pertama, memang aku niat nak sedekahkah kepada jiran-jiran sekeliling. Tah macam mana, pagi tu, bila aku bangun pada pagi Jumaat, isteri aku beritahu bahawa pintu reban ayam terbuka. Ayam-ayam aku hilang!!!...kena curi. Punyalah hampa...tak boleh nak cakap, sebab masa tu ayam tersebut dah boleh dikorbankan..Apa nak buat, dah tak ada rezeki kami.

Alhamdulillah, ayam kesayangan aku yang bernama "Jantan" tidak dapat di ambil oleh pencuri tersebut. Aku memang sayang si Jantan. Kalau aku lepaskan dia pada waktu siang hari....walau sejauh manapun dia pergi merayau, bila aku teriak..Jantannn....Jantannnn...pasti dia akan berlari ke arah aku. Tiap-tiap pagi sekitar jam 7 pagi, pasti si Jantan dah terpacul depan pintu rumah sambil mengetuk-ngetuk pintu rumah dengan paruhnya itu.


Anak-anak aku termasuk isteri aku pasti takut bila nak bagi makan pada ayam-ayam tersebut. Apa taknya...si Jantan pasti tunggu depan muka pintu reban...Dia pasti seolah-olah hendak mematuk-matuk kaki mereka. Tapi yang peliknya, bila masa aku beri makan, si Jantan bermanja-manja pulak kat kaki aku....Mana-mana ayam lain yang bergaduh ketika makan, pasti kena terkam dek si Jantan....

Sekali tu, beberapa minggu selepas ayam aku di curi (masih ada beberapa ekor), pada suatu malam aku dikejutkan pada tengah malam (jam 2 atau 3 pagi) dengan bunyi seolah-olah orang sedang meraung-raung diselang seli dengan bunyi anjing berhampiran dengan pintu rumah aku. Aku dan isteri bingkas bangun mencari lampu suluh dan sebatang kayu sebagai senjata...sebab hati aku dah tak sedap mendengarkan bunyi tersebut...Aku intai dari tingkap dapur...Kelibat beberapa ekor anjing sedang mengerumun satu objek...Aku suluh....Ya Allah....si Jantan sedang dikerjakan oleh beberapa ekor anjing.

Lantas aku bingkas buka pintu dapur dan sergah sambil membaling kayu ke arah anjing...anjing tersebut. Apa lagi, kumpulan anjing (lebih dari 3 ekor) tersebut bertempiaran lari...Aku terus menuju ke arah si Jantan sambil meneriak..." Jantan...Jantan....". Aku lihat si Jantan sedang menyelimut kepala dan ekornya kedalam kepaknya....Lantas aku belek-belek untuk melihat kalau-kalau ada anggota si Jantan yang cedera atau patah. Alhamdulillah....tidak satupun luka yang aku temui pada anggota si Jantan...Aku periksa reban ayam, tidak seekorpun ayam yang lain mati. Terima kasih, Jantan...kerana menyelamatkan ayam-ayam yang lain, walaupun hampir mengorbankan nyawanya sendiri.

Sejak hari itu, aku semakin bertambah-tambah sayang pada si Jantan. Aku bilang pada isteriku,"Abang takkan korbankan (sembelih) si Jantan...biarlah dia mati kerana ajalnya sendiri. Hampir menitis airmata aku setiap kali mengenangkan sepanjang si Jantan masih hidup. Pengorbanannya....mempertahankan ayam-ayam lain daripada daripada serangan anjing...serangan biawak....ular dan sebagainya. Terlalu panjang rasanya untuk aku coretkan kenangan itu.

Seminggu sebelum hayat si Jantan berakhir, ia seolah-olah memberitahu aku...akan ajalnya dah semakin tiba...aku beri ubat yang di bekalkan oleh PKPPS ...Namun selepas pulih beberapa hari selepas itu...si Jantan kesayangan aku telah pergi buat selama-lamanya....Menitis airmata..ketika aku kuburkannya bersebelahan dengan tapak rumah yang aku diami sekarang ini. Sejak dari itu, aku seolah-olah telah putus harap untuk menternak lagi...kerana tak sanggup rasanya dan terlalu sukar untuk mencari pengganti seperti si JANTAN aku ini. Selepas itu, reban ayam yang aku buat sendiri itu aku beri kepada mak cik (arwah) tuan tanah. Dia memang berminat dengan reban ayam aku ni...Cantik....kemas...dan kukuh. Jiran-jiran yang lain tolong angkat beramai-ramai untuk dipindahkan ke belakang rumah mak cik tersebut.