Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Friday, September 26, 2008

Puteh Di Dalam Kenangan



25 September 2008, aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isteriku dengan nada yang teresak-esak. Aku mengesyaki sesuatu yang tak baik telah berlaku.

"Bang, Puteh mati", beritahu isteriku.

Tergamam aku dibuatnya. Sayu, sedih dan hiba aku rasakan. Biarpun Puteh hanyalah seekor kucing, namun ia adalah kucing peliharaan yang amat kami sayangi. Asal dari anak kucing kampung yang terbuang tanpa tuan yang kami temui pada 10 Mei 2001 di Raub, Pahang, kami pelihara dan jaga dengan baik.

"Mati kenapa?", tanya aku.
"Kena langgar", sambung isteriku lagi

Isteri aku menjumpai Puteh yang telah mati berhampiran dengan Restoran Haikal Tomyam berdekatan dengan rumah kami ketika beliau lalu di kawasan tersebut. Menurut jiran di situ, Puteh telah mati sejak semalam lagi akibat dilanggar oleh sebuah lori, sebab tulah ia tak pulang pada malam tu. Isteri aku yang membawa pulang bangkai Puteh mendapati tiada kesan luka dan kerosakan fizikal pada Puteh.

Pada umur kecilnya, kami pernah beberapa kali menghantarnya ke pusat jagaan haiwan peliharaan berbayar apabila kami pulang berhari raya di kampung. Pernah juga beberapa kali Puteh menjalani rawatan pembedahan di klinik haiwan apabila sakit. Pada ketika itu, wang ringgit bukanlah ukuran betapa sayangnya kami terhadap Puteh.

Puteh yang kami sayangi tidak pernah membuat kotor di dalam rumah seperti kencing dan sebagainya. Puteh memang pandai bermain-main (bergurau) dengan aku. Waktu aku pulang dari kerja, kalau ia ada di rumah (luar rumah), pasti ia akan menyambut aku dengan sengaja berbaring betul-betul di laluan kereta aku hinggakan aku tak boleh nak lalu langsung. Kemudian, kenalah aku keluar dari kereta dan mengambil atau mengalihkannya dari laluan kereta aku.

Anak lelaki akulah yang paling kuat meraung bila mendapat tahu kematian Puteh daripada isteriku apabila beliau pulang dari sekolah. Beliau menangis semahu-mahunya dan berlarutan sehingga aku selesai menanam (kebumikan) Puteh di belakang rumah aku.

Angah dan isteriku juga amat bersedih dengan pemergian si Puteh. Along (anak sulung) yang bersekolah di Karak yang dimaklumkan oleh isteriku apatahlagi sedihnya. Gambar-gambar kenangan di bawah sahajalah yang dapat menggambarkan kesedihan kami.

Apapun, kami sungguh sayang kepada Puteh. Pemergiannya seperti si Jantan kami, terpaksa juga direlakan walaupun kami sekeluarga amat bersedih. Terlalu banyak kenangan suka duka selama lebih daripada 7 tahun bersama si Puteh tetap akan di abadikan di dalam sanubari kami. Namun begitu, kami bersyukur kerana sekurang-kurang kami sempat dan menemui bangkai si Puteh untuk melihatnya buat kali yang terakhir pada hari ini 25 September 2008.










Wednesday, August 13, 2008

18 Tahun Di Panasonic



Sedar tak sedar hari ini aku menyambut ulangtahun 18 tahun bekerja di Panasonic TV Shah Alam, Selangor. Panasonic merupakan tempat kerja aku yang kedua selepas menamatkan perkhidmatan di Kilang pembuat CRT di Batu 3 Shah Alam, Chung Hwa Picture Tube (CPT). Tempoh 18 tahun terasa cukup cepat berlalu dengan pelbagai suka-duka mengharungi kehidupan sebagai seorang pekerja kilang.

Aku yang mula bekerja di Panasonic TV ditempatkan di Jabatan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan TV pada 13 Ogos 1990 yang pada ketika itu ditugaskan di bahagian teknikal untuk design Power Circuit (Litar Kuasa) TV. Dua tahun kemudian aku yang lebih cenderung dengan IT mendapatkan peluang apabila rakan sekerja meletakkan jawatan sebagai CAE designer. Kemudian aku dihantar berkursus di Jepun selama 1 1/2 bulan pada November 1992.

Sekembalinya aku dari Jepun aku mula ditugaskan sebagai CAE Designer secara sepenuh masa sehinggalah pada 2005 di mana aku ditempatkan dibahagian yang lebih mencabar iaitu sebagai IT/CAE Consultant dan bertanggungjawab terhadap keseluruhan IT dan CAE untuk Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang melibatkan Electrical Design, Mechanical Design, Software Design dan Personal Computer di dalam Jabatan yang aku bekerja sekarang ini.

Kemudian sekali lagi aku dihantar ke Jepun iaitu pada tahun 2002 yang lalu apabila jabatan aku memperkenalkan sistem CAE yang baru dan aku sekali lagi ditugaskan untuk menjalani latihan di sana. Tapi kali ini hanya 1 minggu sahaja. Tambahan pula masa tu adalah bulan Ramadhan, akan sukar juga untuk membiasakan diri dengan keadaan sebegitu. Tapi taklah teruk sangat, kerana masa berpuasa adalah lebih pendek berbanding dengan di negara kita yang mana waktu siang adalah pendek dan malamnya lebih lama.

Terasa bangga juga sepanjang karier 18 tahun di Panasonic TV, aku telahpun berjaya melaksanakan beberapa sistem pengurusan IT untuk kegunaan jabatan dan masih digunapakai hingga ke hari ini. Antaranya membangunkan laman web jabatan, sistem pengurusan dan pengumpulan fail, mengawal-selia bukan 1 tetapi sebanyak 5 unit server jabatan dan lain-lain lagi. Walaupun pada hakikatnya aku berlatar belakangkan pendidikan Electrikal. Tapi minat lebih kepada IT dan CAE.

Yang bestnya, tiap kali ada masalah IT/CAE akulah orang yang akan mula-mula ditemui. Jenuh wehhh..nak jaga lebih dari 100 unit PC seorang diri..sehinggakan ada jabatan lain yang turut mendapatkan pertolongan aku yang mana sepatutnya jabatan yang bertanggungjawab adalah jabatan Pusat Sistem Pembangunan Informasi. Tapi tak pe la...aku redha.

Mudah-mudahan semuanya akan berjalan dengan baik walaupun aku tak pasti berapa lama lagi aku akan bekerja "makan gaji" kerana panggilan "bekerja sendiri" semakin kuat menggamit. Tambahan pula ada telah mula merancang kehidu
pan sebagai penternak dan bercita-cita menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya.

Terima kasih kepada isteriku yang membeli kek sempena dengan Ulangtahun 18 tahun aku berada di Panasonic dan ucapan tahniah daripada anak-anak aku. Juga tak lupa kepada kekawan yang sepejabat yang sama mengucapkan tahniah dan ucap selamat kepada aku.







Saturday, March 29, 2008

Pemergian Nenda Tercinta 28 Mac 2008




Jantungku berdegup kencang apabila aku menerima panggilan telefon daripada makcik aku Lela pada petang Jumaat 28 Mac 2008 5:14 petang yang lalu. Aku diberitahu bahawa Nenda Jarah telah meninggal dunia pada jam 4:50 petang di rumah makcik Lela di Putra Perdana, Puchong setelah 5 hari dibenarkan keluar daripada Hospital Putrajaya.

Nendaku yang akan berusia 76 tahun pada Jun 2008 ini, menghidapi sakit tua sejak beberapa lama yang lalu. Aku mengagumi Nenda yang telah kematian suami lebih 30 tahun yang lalu membesarkan anak-anaknya seramai 11 anak daripada tulang empat keratnya sendiri tetap bersendirian sehingga ke akhir hayatnya.

Aku bersyukur kerana mak aku (tinggal di Melaka) yang juga merupakan anak tertua arwah Nendaku telah sempat menziarahinya untuk kali terakhir pada 22 Mac 2008 yang lalu di Hospital Putra Jaya selepas aku memaklumkan kepada mak bahawa keadaan Nenda semakin uzur dan meminta untuk mak datang segera ke Hospital Putra Jaya. Syukur kerana mak sempat bersama-sama dengan Nenda untuk beberapa jam (2 kali lawatan) di Hospital Putra Jaya sebelum pulang semula ke Melaka pada keesokan petangnya.

Untuk kali yang terakhirnya, aku dan isteri sempat menziarahi Nenda pada malam sebelum pemergiannya iaitu pada Khamis 27 Mac 2008 di rumah makcik Lela di Putra Perdana. Entah macam mana, pada malam tersebut aku telah menziarahi Nenda sebanyak 2 kali berulang alik sehingga hampir jam 1:00 pagi. Ianya seolah-olah membisikkan ke telingaku bahawa inilah kali terakhir aku melihat Nenda di dunia ini.

Ia mengingkatkan aku semasa zaman kecil ketika aku tinggal di Bukit Bulat (sekolah rendah) bagaimana aku adalah diantara satu-satunya cucu kesayangan Nenda yang tak berat tulang membantu Nenda di kebun termasuk membantu di Ladang Getah, "palut buah cempedak" dengan sarung yang diperbuat daripada daun kelapa, bersama-sama memetik buah cempedak dan buah rambutan. Akulah yang seringkali diminta oleh Nenda untuk membantunya menjual buah-buahan di tepi jalanraya berhampiran dengan kebun buah-buahannya itu.

Aku juga pernah berbasikal beriringan bersama Nenda ke kebun buah-buahannya itu....tak sanggup rasanya untuk aku meneruskan coretan kenangan silam yang telah berlalu lebih 30 tahun yang lalu.....kerana kenangan itu membuatkan aku semakin hiba dengan leraian airmata.

Jenazah Nenda telah dibawa pulang ke kampung pada malam itu juga dengan van jenazah dari Polis Negeri Sembilan pada sekitar jam 9:45 malam dengan diiringi oleh kenderaan Polis dan disambut oleh saudara mara di kampung serta pegawai dan anggota polis yang telah sedia menunggu.

Jenazah Nenda telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Tun Ghaffar, Bukit Bulat pada pagi Sabtu lebih kurang jam 11:30 pagi dengan diiringi oleh van Jenazah khas pasukan Polis Negeri Sembilan. Sebelum itu majlis tahlil di rumah arwah Nenda telah juga disempurnakan oleh unit agama Pasukan Polis dan dihadiri oleh Dato' KP Melaka dan diikuti kemudiannya tahlil oleh jemaah kariah kampung Bukit Bulat.

Jenazah nenda telah disembahyangkan di Masjid Bukit Bulat oleh jemaah yang hadir sekitar 80 orang. Kemudian jenazah telah dibawa oleh van jenazah Polis tersebut ke tanah perkuburan Kampung Bukit Bulat.

Aku mendapat kesempatan yang takkan dapat dilupakan untuk bersama-sama menyempurnakan pengkebumian jenazah ke dalam liang lahat dan dapat melihat dengan sepuas-puasnya wajah arwah Nenda (kedudukan aku betul-betul di bahagian kepala arwah nenda) untuk kali terakhir sebelum papan keranda menutupi liang lahat tersebut.

Bacaan talkin kemudiannya telah disempurnakan oleh Imam 2 Masjid Bukit Bulat Imam Burhan Alin dengan diiringi menyiram air dan bunga-bungaan di atas kubur oleh anak-anak arwah Nenda.

Aku, bagi pihak keluarga arwah Nenda mengucapkan sekalung terima kasih yang tak terhingga kepada Polis Melaka dan Negeri Sembilan yang telah membantu sehingga urusan pengebumian jenazah Nenda selesai dijalankan tanpa apa-apa halangan. Tak lupa juga kepada mereka-mereka yang telah datang menziarahi arwah Nenda dan para jemaah Bukit Bulat sendiri yang telah banyak membantu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Nenda dan ditempatkan bersama-sama dengan para solehah dan menjadi penghuni syurgaNya. Amin.
Al-Fatihah.....



Suasana di hari pengkebumian Nenda...





Monday, February 11, 2008

Latihan Sangkut Ternakan Kambing 2008


Aku mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu dengan menghadiri kursus penternakan kambing di Teguh Ternak Sdn. Bhd. di Meru, Klang, selama 5 hari bermula pada 6hb hingga 10hb Februari yang lalu. Walaupun jadual kursus agak padat dengan 3 sessi iaitu pagi, petang dan malam, namun kerana semangat untuk menimba ilmu di dalam bidang penternakan kambing, aku merasakan 5 hari tersebut terlalu singkat.

Seramai 18 peserta telah menyertai latihan pada kali ini. Ada yang datang dari Perak, Pahang. Negeri Sembilan dan juga Selangor.
Walaupun kesemua peserta dikehendaki tinggal di asrama, tetapi ada juga peserta yang tidak bermalam di asrama atas beberapa sebab tersendiri. Pada hari pertama kursus kami diajar mengenali tentang pemakanan dari Tuan Hj Yusof, mantan orang kuat IHK (Kluang). Beliau juga memberikan latihan berbentuk praktikal tentang cara-cara untuk membuat silaj dan konsentrat.

Kemudian pada sebelah malamnya pula En. Najib yang merupakan anak ke 6 Allahyarham Milatu telah memberikan penerangan berkenaan dengan Pemasaran yang mana telah membuka minda peserta bahawa penternakan kambing bukan sahaja untuk penghasilan daging dan susu, tetapi banyak hasil lain yang boleh didapati daripada ternakan kambing ini.

Pada hari kedua pihak TT telah menyediakan program menyembelih dan melapah kambing Feral dan disulami dengan penerangan berkenaan dengan organ dalaman kambing oleh En. Fauzi dari JPH Klang.

Dapatlah jugak aku melihat proses penyembelihan dan menjadi favourite aku bila tiba bab melapah, aku tak lepas peluang untuk turut melapah daging kambing ini.

Kemudian pada sebelah malamnya, En Azmi memberikan penerangan berkenaan dengan Pentadbiran Perniagaan yang antara lain merangkumi penubuhan syarikat dan mengurus selia sesebuah syarikat berlandaskan kepada undang-undang.

Pada setiap pagi kesemua peserta akan diberikan peluang untuk turut sama memerah susu kambing disamping merasai keenakkan susu segar tersebut.

Pada hari ketiga pula penerangan tentang kesihatan dan penyakit-penyakit kambing oleh Dr Azam dan Dr Zul dari Lazuli Sdn. Bhd. Disamping itu juga latihan praktikal di kandang dijalankan pada sebelah petang.

Pada hari keempat pula program pengurusan penyediaan makanan ternakan yang mana En Halim telah membawa kesemua peserta ke ladang kelapa sawit dan juga di kawasan hutan kecil untuk mengenali tentang daun-daun yang boleh dimakan oleh kambing serta ubatan tradisional.

Pada sebelah petangnya pula para peserta telah diberikan tunjuk ajar secara praktikal berkenaan dengan pemakanan, rumput serta penanaman tanaman rumput napier dan rumput guinea.

Selain itu beliau juga telah menerangkan penggunaan mesin chopper dan mesin pengisar yang mengunakan kuasa elektrik.

Kemudian peserta diajar cara-cara mengubati penyakit kambing termasuk memberi suntikan, memasang tag, memotong kuku dan sebagainya. Apa yang aku boleh simpulkan, En Halim memang pakar dalam penjagaan kandang dan ternakan kambing ini.

Disamping itu juga beliau menerangkan proses membuat tinja untuk dijadikan baja.

Pada sebelah malamnya pula, kesemua peserta disajikan dengan barbecue daging kambing dan turut disertai dengan beberapa orang kaum keluarga pihak TT sendiri.

Hari terakhir, Tuan Hj Mukhriz dari IPV Cheras telah memberikan penerangan berkenaan dengan ternakan ruminan dan peluang-peluang yang ada di dalam bidang penternakan.

Kemudian sessi tamat kursus diakhiri dengan penyampaian sijil kursus kepada peserta-peserta oleh
Tuan Hj Mukhriz. Secara keseluruhannya, aku amat berpuashati dengan segala ilmu yang di perolehi di TT yang mana pembelajaran kelas dan amali adalah seimbang. Cuma sessi menyambut kelahiran anak kambing tidak dapat disaksikan kerana pada kali ini, tidak ada kambing yang beranak.

Walaubagaimanapun aku amat berterimakasih kepada pihak TTSB En Idris, En Halim, En Kamal dan En Najib yang bersedia pada bila-bila masa memberikan tunjuk ajar yang amat baik. Tentang bab makan, ada peserta yang beri markah 11/10 kerana memang sedap pun masakan yang disediakan.

Sepanjang menghadiri latihan sangkut ini, ramai kenalan yang aku dapat juga berkongsi ilmu dengan mereka. Memang...pada hari pertama agak segan-segan, tetapi bila masuk hari kedua, suasana bertukar menjadi lebih ceria bila mana semua peserta mula mengenali antara satu sama lain.

Malahan hampir kesemua peserta mendapat nama jolokan masing-masing antaranya Katjang, Boer, Saenen (peserta perempuan la tu...), Jempol, Tok Batin, Payung (Paracut), Putrajaya dan lain-lainnya. Aku pulak mendapat nama Prof. Tak kisah la tu.. Aku harap sepanjang perkenalan di TT akan tersemat satu ikatan networking sesama peserta untuk melebarkan lagi sempadan yang sedia ada.

Lensa kamera aku sempat juga merakamkan beberapa aksi-aksi peserta. Aku harap rakan-rakan tak marah dengan penyiaran aksi ini. Ianya sekadar gurauan.


Kepada rakan-rakan yang sama-sama mengikuti latihan sangkut ini, aku ucapkan semoga penjalanan untuk menjadi seorang penternak dan usahawan yang berjaya akan tercapai. Walaupun agak perit untuk menerima hakikat yang dimaksudkan oleh En Halim di akhir sessi, aku bertekad untuk menyahut cabarannya itu. Aku akan menjadi seorang penternak...aku akan menjadi seorang penternak...aku akan menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya di suatu hari nanti.

Wassalam.


Monday, February 04, 2008

Lawatan ke Teguh Ternak


Pada 2 Februari 2008 (sabtu) yang lalu aku telah mengunjungi Ladang Teguh Ternak yang terletak di Meru, Kelang, Selangor. Kedatangan aku disambut mesra oleh Pemilik Ladang Ternak En Idris bersama-sama dengan 2 orang lagi adik beradik beliau iaitu En Kamal dan En Halim.

Dalam pertemuan hampir 2 jam itu, En Idris tersangatlah mesra dan tak langsung menunjukkan sikap acuh tak acuh dengan kehadiran aku walaupun aku masih lagi baru di dalam bidang penternakan ini.

Tujuan aku untuk ke sana adalah untuk meninjau-ninjau dahulu tempat tersebut kerana aku akan menghadiri kursus Ternakan Kambing di situ pada cuti Tahun Baru Cina ini.

Sempat juga aku korek beberapa ilmu daripada En. Idris yang juga seorang pesara polis, tentang penternakan kambing ini bermula daripada tapak projek hinggalah ke bab pemasarannya. Mudah-mudahan apabila aku menghadiri kursus nanti, taklah terpingga-pingga pulak, memandangkan inilah kali pertama aku menjejakkan kaki di sana. Jadi, sekurang-kurangnya aku dah tahu sedikit sebanyak kedudukan ladang ternak tersebut serta personaliti pemiliknya.

InsyaAllah, balik daripada kursus tersebut nanti, aku akan mencerita pengalaman semasa mengikuti latihan tersebut.

Wassalam.





Wednesday, January 23, 2008

Lambaian Kaabah-Pulang Ke Tanahair


Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT bapa dan ibu mertua serta adik ipar aku telah selamat kembali dari menunaikan fardhu Haji di Mekah pada 23 Januari 2008. Ketibaan mereka pada jam 5:00 pagi dengan menaiki penerbangan MH8283 (KT82) di KLIA disambut oleh aku, isteri dan 2 orang anak aku.

Aku bertolak dari rumah jam 4:15 pagi setelah mendapat pengesahan dari Tabung Haji Contact Center pada tengah malam itu yang mengatakan bahawa penerbangan pulang jemaah dengan penerbangan MH8283 itu telah dijadual awal 1 1/2 jam daripada jadual asal iaitu jam 6:30 pagi. Aku tiba tepat jam 5:25 pagi di KLIA dan selepas menunggu lebih kurang 10 minit, aku melihat ketiga-tiga mereka melangkah keluar dengan penuh senyuman kegembiraan apabila melihat aku dan keluarga aku menyambut ketibaan mereka.

Adik beradik yang lain tiba lewat kerana menyangkakan bahawa tiada pindaan terhadap jadual penerbangan pulang tersebut. Oleh sebab itu, mereka yang dijadualkan membawa mertua aku pulang ke Raub telah tiba lewat di KLIA iaitu sekitar jam 6:50 pagi menyebabkan mertua aku terpaksa menunggu selama hampir 1 1/2 jam di KLIA.

Ramai juga jemaah lain yang terpaksa menunggu sanak saudara mereka yang masih belum tiba kerana menyangkakan tiada pindaan terhadap jadual penerbangan pulang tersebut. Kesian juga aku tengok. Nasib baik masa tu awal pagi, jadi keadaan di KLIA tidaklah sesak sangat. Pun begitu, pihak Tabung Haji ada menyediakan ruang dan karpet untuk jemaah haji ataupun sanak saudara untuk rehat atau tidur sementara menunggu ketibaan.

Aku memang tak dapat pulang menghantar mertua aku kerana anak aku yang bersekolah dan petang itu juga aku ada appointment. InsyaAllah, aku dan keluarga akan pulang ke Raub pada 25 Januari 2008 nanti.

Sempat juga aku berbual-bual dengan mertua aku keadaan dan pengalaman mereka semasa berada di Tanah Suci Mekah. Alhamdulillah, mereka tidak menghadapi banyak rintangan yang berat-berat semasa mengerjakan ibadah haji tersebut.

Aku bersyukur kerana mertua dan adik ipar aku telah selamat menunaikan Haji di Mekah dengan selamatnya. Mudah-mudahan mereka dikurniakan dengan Haji Mabrur. InsyaAllah.

Wassalam.





Sunday, January 13, 2008

Lawatan Ke Ladang Ternakan Gaing


Sabtu 12 Januari 2008 yang lalu aku mengunjungi Ladang Ternakan Gaing yang terletak di Pedas, Negeri Sembilan. Kedatangan aku dan keluarga telah disambut mesra oleh Pengusaha Ladang Ternakan Gaing iaitu Sdr Hafez dan Sdr Amran pada petang Sabtu itu.

Kedua-dua anak muda tersebut amat ramah dan ringan mulut ketika memberi penerangan tentang perjalanan mereka didalam memulakan dan menguruskan ternakan dengan dibantu oleh ayah Sdr Hafez yang telah berpencen dari Pasukan Polis.

Sdr Hafez sangat beruntung kerana memiliki tanah sendiri (tanah pusaka). Tambahan pula ladang tersebut memiliki sebuah anak sungai yang amat berguna sebagai sumber utama air untuk tujuan pembersihan dan penyiraman terhadap tumbuh-tumbuhan seperti rumput napier dan sebagainya.

Mereka memiliki sebuah kandang lembu (fidlot) yang boleh memuatkan kira-kira 100 ekor lembu pada satu-satu masa dan dibahagikan kepada 4 compartments (petak), padang ragut dan kawasan tanaman rumput napier.

Mereka yang telah melepasi tempoh empat tahun didalam penternakan ini bukan sahaja memiliki Kandang Lembu yang diternak secara Fidlot (Feedlot), malahan sedang mulakan ternakan sampingan seperti kambing, ayam dan itik secara kecil-kecilan. Ketika kedatangan aku, ternakan lembu mereka telah banyak berkurangan kerana telah banyak diborong ketika Hari Raya Korban yang lalu.

Aku sempat juga berbincang dengan Sdr Hafez berkenaan dengan Perkhidmatan Trading yang mana ternakan yang diletakkan di tempat beliau akan diuruskan sepenuhnya oleh mereka dan bayaran sewaan dikira secara harian/bilangan ternakan. Mereka juga mempunyai seorang pekerja yang turut tinggal di Ladang Ternakan tersebut.

Selain daripada itu, mereka telahpun memulakan tanaman rumput napier di tanah seluas hampir 2 ekar bersebelahan dengan ladang ternakan tersebut bagi menampung keperluan makanan ternakan lembu memandangkan harga makanan (pallet) terlalu tinggi pada ketika ini (hampir RM40/= satu beg)

Kunjungan aku hampir 2 jam itu amat berguna untuk aku menimba ilmu di dalam bidang penternakan ini. Sdr Hafez juga mempelawa aku untuk berkunjung lagi ke Ladang Tenakannya pada masa akan datang untuk sama-sama di dalam penternakan ini.

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas kesudian Sdr Hafez dan Sdr Amran yang telah banyak meluangkan masa, memberikan penerangan dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka di dalam bidang penternakan ini.

Wassalam.
Mamat Chokia.





Tuesday, January 08, 2008

Akuarium Taman Tasik Shah Alam


Memandangkan tak tahu nak ke mana pada hari minggu lepas 6 Januari 2008, maka aku mengajak keluarga aku jalan-jalan sekitar Shah Alam. Kami singgah di Akuarium Shah Alam yang terletak di Taman Tasik Shah Alam. Rasanya dah setahun lebih sejak aku kali pertama aku melawat tempat tersebut.

Kalau dulu, tempat pameran ikan di dalam tempat khas yang boleh dilihat secara pandangan sisi belum siap sepenuhnya. Tetapi kedatangan kami kali ini amat berbaloi kerana kesemuanya telah siap sempurna termasuk seekor burung merak yang pada ketika kami tiba telah mengembangkan bulunya. Memang cantik sekali aksi burung merak tersebut.

Di bahagian luar (pintu masuk) ada diletakkan pelbagai spesis ikan seperti Ikan Kap dan juga Arowana. Memang besar saiznya, rasanya dalam 30~40kg setiap ekor ikan arowana tu.

Kami dapat melihat pelbagai spesis ikan-ikan peliharaan dan juga spesis ikan sungai seperti Temoleh, Jelawat, Baung, Kelisa dan lain-lain lagi. Termasuk juga spesis ikan Pari. Banyak juga akuarium yang ditempatkan disitu, rasanya tak kurang daripada 30 akuarium.

Yang bagusnya tempat ini selain masuk adalah PERCUMA, mereka juga ada menjual ikan-ikan tersebut dan juga aksesori penjagaan ikan hiasan. Semuanya ada belaka...

Bila melawat tempat macam ni, mulalah timbul semu
la minat aku untuk memelihara ikan hiasan. Tapi nak menyelenggara tu..la yang jadi masalahnya...Dah puas aku memelihara ikan hiasan ni. Akuarium aku dah lama aku hantar balik kampung kat Melaka. Nantilah, kalau ada rumah sendiri, aku memang nak beli sebuah akuarium.

Wassalam.
Mamat Chokia.