Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Sunday, September 16, 2012

Majlis Kenduri Kesyukuran Dan Doa Selamat 2012

Alhamdulillah, Majlis Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat yang berlangsung pada Jumaat 14hb. September 2012 selepas solat Isyak telah berjalan dengan lancar di kediaman kami yang terletak di Kampung Baru Batu 14 Puchong Selangor Darul Ehsan.

Bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Imam Tuan Haji Idris Bin Ahmad, Imam I Masjid Jamek Kampung Baru Batu 14 Puchong Selangor yang turut disertai oleh Nazir Tuan Haji Haridan, Timbalan Nazir Tuan Haji Meor Azlan, Setiausaha Sdr Zulkefli, Siak I Sdr Hariri, Siak II Tuan Hj Rosly, Pemeriksa Kira-Kira Sdr Razman, ahli kariah masjid, rakan-rakan serta saudara-mara terdekat.

Majlis Kenduri yang pada mulanya dirancang dibuat secara kecilan sahaja sekitar 20-30 tetamu. Namun memandangkan ramai saudara-mara terdekat yang tinggal di sekitar Lembah Klang ini berhasrat untuk hadir dan meraikannya, maka setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak, kami akhirnya membuat keputusan menyewa sebuah khemah bersaiz 10'x20' bagi memudahkan dan memberikan keselesaan kepada tetamu untuk menjamu selera.

Manakala masakan pula adalah secara katering daripada mak saudara kami iaitu Puan Rokiah Mohd Hassan yang tinggal di Putra Perdana. Antara hidangan yang disediakan adalah nasi berlaukkan ayam masak merah, kari daging, ikan masin masak lemak pedas nenas, sayur campur serta ulam-ulaman. Selain itu juga hidangan seperti laksa utara, kueh-mueh serta buah-buahan sebagai pemanis mulut. 3 jenis minuman disediakan iaitu oren (ais), teh "O" panas dan air kosong untuk tetamu.

Alhamdulillah, pada akhir majlis, kami sempat juga membekalkan beberapa juadah kepada tetamu untuk dibawa pulang.

Kami mengucapkan ribuan terima kaseh di atas kehadiran tetamu yang meraikan majlis ini serta mendoakan anak sulung kami yang akan berangkat ke Mesir pada 24hb September 2012 ini beroleh kejayaan. Kepada yang tidak menerima jemputan, kami juga memohon maaf, tambahan pula majlis kenduri yang dibuat ini adalah secara kecilan sahaja. Segala kekurangan kami mohon berbanyak-banyak maaf.

Menu Masakan


Nota : Pastikan anda mempunyai Flash Player atau RealPlayer untuk melihat Slide Show di bawah ini.
Jamuan

Tetamu


No comments: