Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Tuesday, December 11, 2007

Lambaian Kaabah 2007 Siri-2


Sabtu 8 Disember 2007 seawal 5:30 pagi sekali lagi aku sekeluarga ke Komplek Jemaah Haji Kelana Jaya kerana menghantar Pak dan Mak Mertua serta adik ipar aku untuk menunaikan ibadah haji di Mekah dengan penerbangan KT82.

Setibanya aku di Komplek Jemaah Haji Kelana Jaya, aku lihat Bakal Jemaah Haji dan sanak saudara masing-masing masih lagi tidak ramai yang hadir. Mungkin kerana awal pagi, maka bilangan yang hadir tidak begitu ramai. Setelah solat Subuh di Surau Komplek tersebut, aku segera menuju ke khemah di mana jemaah berkumpul sebelum pemeriksaan masuk (check-in) berlangsung pada jam 7:00 pagi. Tetapi keadaan menjadi semakin penuh sesak dengan sanak saudara sekitar jam 7:15 pagi.

Alhamdulillah, kesemua anak-anak mertua aku hadir sama bagi mengucapkan selamat jalan kepada mereka. Pendaftaran Penginapan di Mekah telahpun dilakukan oleh ipar aku yang mana mereka telah lebih awal sampai di Komplek tersebut. Sempat juga aku bantu mertua aku tukarkan wang "riyal" di Kaunter Bank Islam di Komplek tersebut. Pada sekitar jam 7:20 pagi, barulah pemeriksaan masuk bermula. Aku dan biras aku beratur sambil membawa bagasi mertua dan adik ipar aku hingga ke ruangan masuk.

Memandangkan tarikh 8 Disember, maka mereka akan menunaikan Haji Ifrat yang mana mereka akan terus memasuki Kota Mekah dari Lapangan Terbang Jeddah. Aku doakan ketiga-tiga mereka akan dapat menunaikan haji dengan lapang tanpa apa-apa halangan serta akan dapat Haji yang Mabrur. InsyaAllah.

Aku bersyukur walaupun pada mulanya mereka tidak tersenarai di dalam Kumpulan Pertama yang ditawarkan menunaikan Haji bagi tahun 1428H, namun setelah proses rayuan dilakukan di Pejabat Tabung Haji Raub dan di Ibu Pejabat Tabung Haji, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, akhirnya mereka berjaya juga menunaikan Rukun Islam yang kelima ini. Terima kasih juga kepada Haji Sharif dan Haji Azlan yang telah banyak membantu.

Selepas dari itu aku dan keluarga segera pulang semula ke Puchong kerana aku ada tugasan yang perlu dilakukan untuk menolong jiran aku (menyembelih lembu) yang akan mengadakan kenduri kahwin anak saudaranya.

Wassalam.





No comments: