Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Monday, December 31, 2007

Senarai Hitam dan CCRIS


Hari ini 31 Disember 2007 seharian aku berkejaran ke Kuala Lumpur sebanyak 2 kali berkenaan dengan Senarai Hitam (Black listed) Bank oleh Central Credit Reference Information System (CCRIS). Ini adalah ekoran daripada kegagalan aku untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank sebanyak 2 kali semenjak tahun 2006 yang lalu.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan pihak bank yang enggan meluluskan pinjaman, aku telah bertekad untuk menemui pihak bank tersebut untuk mendapatkan kepastian mengapa pinjaman aku tidak diluluskan. Aku telah dimaklumkan bahawa mereka tidak dapat meluluskan pinjaman aku itu kerana "Credit Report" CCRIS ke atas nama aku ada memaparkan status "Pay Special Attention" yang mana ianya telah menjadi punca mengapa pinjaman aku tidak diluluskan. Pegawai Bank tersebut menyarankan agar aku pergi ke Bank Negara untuk mendapatkan kepastian tersebut.

Maka hari ini 31 Disember 2007, aku pergi ke Pejabat CCRIS yang terletak di Aras Bawah Blok D, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur. Agak kekok juga, kerana inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke Bank Negara. Seorang Pengawal Keselamatan (Polis) telah menunjukkan kepada aku pejabat CCRIS. Setelah menunjukkan Kad Pengenalan dan tujuan aku kepada seorang kakitangan CCRIS di kaunter hadapan, aku menunggu selama 20 minit sebelum nama aku dipanggil oleh seorang konsultan yang bertugas untuk memberikan penerangan terhadap Credit Report tersebut.

Pegawai Konsultan tersebut menerangkan dengan terperinci kedudukan Credit Report aku. Terkejut aku apabila melihat kesemua kedudukan kewangan semasa aku bagi 1 tahun semasa. Beliau menerangkan bahawa "Pay Special Attention" tersebut telah disubmitkan oleh Standard Chartered Bank bagi akaun Kredit Kad yang mempunyai masalah bayaran pada 30 September 2007.

Selain dari itu masalah akaun perumahan (rumah yang aku beli dan telah terbengkalai tu la...) menunjukkan rekod yang kurang baik yang mana aku tidak membuat sebarang bayaran untuk 1 tahun sebelumnya. Tetapi masalah ini telah aku selesaikan pada November 2007 yang lalu dan telah menunjukkan rekod positif bilamana aku telah membuat advanced payment sehingga Disember 2008.

Setelah selesai sessi penerangan oleh Pegawai Konsultan tersebut, aku telah diberikan sesalinan Credit Report, envelope BNM dan sebatang pen dengan tulisan BNM yang agak menarik. Walaupun bayaran parking yang dikenakan agak mahal juga iaitu RM1.50, tetapi aku cukup berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan CCRIS.

Apabila pulang ke rumah, aku segera meneliti rekod lama Kredit Kad Standard Chartered Bank. Terkejut aku kerana Akaun Kredit Kad tersebut telah lama ditutup dan aku telah membuat bayaran penyelesaian penuh pada 15 Oktober 1999. Malahan surat pengesahan penutupan akaun telahpun dikeluarkan oleh pihak bank pada 21 Oktober 1999 dan masih ada di dalam simpanan aku. Petang itu, aku segera ke Bahagian Kredit Ibu Pejabat Standard Chartered Bank yang terletak di Menara Standard Chartered, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur untuk mendapatkan kepastian mengapa nama aku masih berada di dalam senarai CCRIS, sedangkan ianya telahpun diselesaikan sejak 8 tahun yang lalu.

Sebelum itu, aku telah dimaklumkan oleh salah seorang Pegawai Bank Standard Chartered melalui panggilan telefon bahawa Pegawai yang incharge adalah Cik Arsya (Pengurus) yang berada di tingkat 19 Menara Standard Chartered Bank. Setelah menunggu selama hampir 10 minit, seorang Pegawai lain telah memanggil aku masuk kedalam bilik perbincangan. Aku bertanyakan kepadanya mengapa keadaan ini berlaku dan kesan yang dialami amat menyusahkan aku untuk mendapatkan pinjaman. Beliau memohon maaf dan berjanji untuk menyelesaikan masalah aku dalam masa 3 hari dan nama aku akan dikeluarkan daripada senarian CCRIS pada 15 Januari 2008 nanti (CCRIS updated schedule).

Setelah berpuas hati dengan penjelasan beliau aku terus pulang ke rumah dengan lapang hati. Walaupun agak marah dan kecewa, namun ianya merupakan pengalaman yang berguna kepada aku kerana selama ini aku hanya mengenali CCRIS hanya pada nama dan popular dengan panggilan Senarai Hitam atau Black Listed. Tetapi hari ini, aku telah memahami dengan lebih jelas berkenaan Credit Report oleh CCRIS, apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikannya.

Kepada rakan-rakan lain yang ingin mendapatkan pinjaman atapun memohon kad kredit, aku nasihatkan agar dapatkan dahulu Credit Report daripada CCRIS sebelum membuat permohonan kerana kemua Bank-Bank di Malaysia menggunakan perkhidmatan CCRIS. Lagipun tiada bayaran dikenakan bagi setiap Credit Report yang dikeluarkan. Tak taulah pulak kalau dikenakan bayaran sekiranya Credit Report tersebut dipohon untuk kali yang kedua.

Pihak Bank pula sepatutnya lebih peka terhadap akaun yang telah diselesaikan oleh pelanggan mereka. Bukan sekadar menyalahkan jabatan lain yang tidak "clear" kan nama pelanggan daripada senaraian CCRIS. Sepatutnya mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum menghantar senarai nama dan kedudukan akaun pelanggan kepada CCRIS/Bank Negara. Kalau ikutkan hati, nak rasa untuk aku buat laporan kepada Tribunal Pengguna ataupun Persatuan Bank-Bank Malaysia.

Sekiranya masalah Senarai Hitam ini berlaku, ini akan menyukarkan mana-mana individu untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank dan sekaligus akan menyebabkan segala perancangan individu itu akan tergendala dan terpaksa menghadapi pelbagai halangan.


Wassalam.
Mamat Chokia.


1 comment:

Anonymous said...

terima kasih pada artikel ni.
dapat jugak aku setelkan masalah blacklist dgn bank negara.