Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Tuesday, October 30, 2007

Aku Ada Bukan Kerana Nama


Terkadang, kebenaran yang kita ungkapkan takkan termampu difahami apatahlagi diakui oleh orang lain walaupun ianya amat pahit untuk kita harunginya. Yang pasti pada hakikatnya keikhlasan dan kejujuran pada setiap yang kita lakukan pasti diketahui oleh Allah s.w.t kerana Ia Maha Mengetahui setiap apa yang cuba dan dilakukan oleh hamba-hambaNya.

Memang telah menjadi resam kehidupan setiap apa jua yang kita lakukan belum pasti akan mendambakan kegembiraan pada semua orang walau kegembiraan itu sepatutnya dimiliki oleh insan lain yang selayaknya. Hakikatnya perlumbaan dalam mengejar nama, pangkat dan darjat pasti akan berakhir dengan kekecewaan yang terkadang waktu amat pahit untuk dipikul oleh insan lain.

Memang, kita tidak boleh lari daripada menerima hakikat bahawa keikhlasan yang kita dambakan bakal diperlekehkan oleh mereka-mereka yang takut dan enggan berhadapan dengan kebenaran yang hakiki lalu mendakyah setiap yang kita lakukan dengan pelbagai prasangka dan tohmahan yang keterlaluan.

Setiap apa jua yang kita lakukan yang disertai dengan niat yang ikhlas, pasti akan menemui kejayaan dan kebahagiaan walaupun ianya sukar untuk direalisasikan sesingkat waktu. Kebenaran itu pasti akan menyerlahkan sinarnya apabila telah tiba waktu dan ketikanya nanti.

Sememangnya Allah s.w.t yang Lebih Memahami Kebenaran itu.

Wassalam.


Wednesday, October 17, 2007

Sambutan Aidil Fitri 2007 di Raub


Seperti kebiasaannya Aidil Fitri kali ini adalah giliran aku sekeluarga raikan 1 Syawal 1428H di kampung isteri yang terletak di Felda Lembah Klau, Raub, Pahang Darul Makmur. Aku pulang agak lewat iaitu pada hari Jumaat 12 Oktober 2007 iaitu selepas isteri aku menyiapkan kesemua tempahan jahitan baju raya pelanggan-pelanggannya.

Aku bertolak dari Puchong sekitar jam 12 tengahari. Alhamdulillah perjalanan melalui Lebuh-raya Karak amat selesa kerana tidak banyak kenderaan yang berada di atas jalanraya pada masa tersebut. Selepas berhenti solat Jumaat di Masjid Lentang, aku meneruskan perjalanan pulang ke kampung halaman isteri aku.

"Kita singgah cari "gear-box" dulu nak", kataku kepada isteriku yang duduk di sebelah kiri.
"Boleh jugak, lagipun apak ada pesan kalau dapat tulang lagi bagus", jawab isteriku.

Memang telah menjadi kebiasaan, tiap kali Aidil Fitri, hidangan sup gear-box seolah-olah menjadi satu kemestian kepada aku.

Agak malang, pada Aidil Fitri tahun ini, aku tak dapat mencari gear-box (kaki lembu atau kerbau). Mula-mula aku mencarinya di sekitar Pekan Karak, tapi tak berhasil.

Kemudian kami menuju ke Mempaga, juga tidak kelihatan orang menjual daging. Mungkin dah lewat petang, jadi memang payah nak cari orang yang menjual daging. Kebiasaannya pada petang hari "bantai" (hari tengok anak bulan) dan pada pagi sehari sebelum raya sahaja orang akan menjual daging. Nak cari sebelah petangnya, memang payah nak jumpa. Kalau adapun, kira nasib la tu…


"Jom kita cari kat Pekan Lanchang pulak, manalah tahu ada rezeki kat sana nanti", kataku.
"Cuba je lah, bang", balas isteriku pula.

Kami kehampaan sekali lagi, bilamana kelibat orang menjual daging langsung tidak kelihatan di sekitar Pekan Lanchang. Puas aku memusing-musing kat situ, namun gagal menemuinya.

"Jom kita balik je lah..hari dah petang ni", kataku.
"Kita beli ikan sangkar je lah", tambah aku lagi.
"Boleh jugak tu" jawab isteriku.


Dalam perjalanan pulang dari Pekan Lanchang, kami singgah membeli ikan sangkar. Dapatlah 3 ekor ikan patin dan 5 ekor ikan tilapia merah dengan harga RM10 sekilo. Cadangnya ikan patin nak buat masak tempoyak dan ikan tilapia tu bolehlah dibakar. Sedap tu....

Kemudian kami singgah ke gerai lemang pulak. Beli jugak 2 batang lemang dengan harga RM5 sebatang...murah tu. Malas nak beli banyak-banyak, takut tak sedap pulak nanti, buat buang duit je.


Sambil dalam perjalanan pulang kami melihat-lihat jugak, manalah tahu ada orang yang masih menjual daging. Tah macam mana ternampaklah kami beberapa orang sedang mengemas gerai menjual daging. Melihat kepada kulit sembelihan tersebut, aku pasti ianya adalah kerbau. Fuhhh…best kalau dapat gear-boxnya.

"Bang, ada tulang lagi ke?" tanyaku sambil memberhentikan kereta.
"Dah habis dah, kulit kerbau ni pun dah ada orang yang beli", balas salah seorang daripadanya.
"Sikitpun tak de lagi ke, bang?", tanyaku lagi dengan nada kehampaan.
"Tak de dah...habis", balasnya lelaki tersebut.
"Taik kerbau ade lah...."jawab seorang lagi (anak dia kot) dengan perlahan, tapi didengari oleh isteriku.

Nak tergelak jugak aku bila isteri aku memberitahu kepadaku jawapan tersebut.

Lantas kami pulang terus ke kampung isteriku. Aku tengok meter kereta aku menunjukkan jarak 70KM perjalanan dari Pekan Lanchang. Punyalah jauh, mencari gear-box, tapi tak dapat jugak...Nak buat camna...tak de rezeki pada kali ini.


Petang tu sempat jugak aku menganyam daun kelapa untuk dibuat ketupat sambil berbual dengan Saudara Baru yang juga anak angkat bapa mertua aku. Abdul Rahim namanya. Menurut katanya, beliau dah 2 tahun memeluk Agama Islam. Alhamdulillah, syukur kerana isteri beliau juga turut memeluk Islam. Menurut katanya, beliau mula-mula tertarik pada Islam apakala mendengar kalimah azan dilaungkan setiap kali solat 5 waktu. Beliau mula mendalami Islam ketika bekerja di negara Brunei. Sempat juga aku memberikan beberapa tazkirah kepada beliau dan isterinya. Semoga mereka akan tetap di dalam Islam hingga akhir hayat mereka.

Memang jadi kegemaran aku setiap kali Aidil Fitri, aku mesti ambil bahagian menganyam ketupat ni. Biasanya aku akan buat ketupat bawang. Ketupat sate nie agak kecil sikit dan sudah pasti isinya menjadi kurang, sebab tu ketupat bawang jadi pilihan utama. Dan lagi bentuk ketupat bawang lebih unik berbanding dengan ketupat sate.

Alhamdulillah, semua anak-anak mertua aku balik beraya kecuali Acik yang beraya di Kuala Kerai, Kelantan di rumah mertuanya. Seperti kebiasaan pada pagi Aidil Fitri, kami bersalaman dan bermaaf-maafan sesama kami sambil menghulurkan duit raya kepada anak-anak saudara yang berjumlah lebih 20 orang tu.

Selepas Solat Aidil Fitri sekitar jam 11 pagi aku sekeluarga dan ibubapa mertua serta adik ipar aku menziarahi pusara nenda kami di Kg. Gali (sebelah bapa mertua) dan Tanjung Putus (sebelah mak mertua).



Pada sebelah malamnya pula, kami buat panggang 5 ekor ayam dan 5 ekor ikan tilapia merah yang aku beli sebelum tu. Aku dan Saidi sediakan tempat memanggang, manakala Abg De pula menguruskan 5 ekor ayam tu. Yealah…dia dulu kan ke tokey ayam, jadi pengalamannya tulah yang kitaorang ambil kira ….Tapi yang benarnya, yang kitaorang malas nak buat …. itu je. Sementara tu yang perempuan pulak sediakan perencah untuk memeram ayam sebelum dibakar.

Sekitar jam 9:30 malam, kami siap membakar ayam dan ikan. Sekali hidang je, habis…tapi at least seorang dapat 2 ketul ayam. Kira okey lah jugak tu. Dapatlah jugak tinggalkan untuk Abg Long & Kak Long yang baru pulang dari beraya.

Pada keesokkan harinya (Hari Raya Kedua) kami semua (5 buah kereta) menziarahi sanak saudara di sekitar Bandar Raub. Seronok jugak menziarahi keluarga beramai-ramai ni. Bayangkanlah dengan jumlah lebih 30 orang menyerbu sebuah rumah, tak ke teruk jugak tuan rumah nak melayan. Tapi Alhamdulillah, kami pilih-pilih juga rumah sanak saudara tu, sebab tak nak juga menyusahkan mereka dengan bilangan kami yang ramai ini.


Kesian jugak kat bapa mertua aku yang bercadang nak mandi air terjun sambil beraya di rumah Pak Lang di Pulau Chekas. Nak buat macam mana, ramai yang tak setuju. Tapi anak-anak saudara aku , nak saje …, mandi air terjun, katakan … apa tak bestnya! Risau jugak, dengan jumlah hampir 20 orang anak saudara tu, sekali dibuatnya masa tengah mandi-manda tu, air besar di hulu sungai. Tak ke naya…nanti, sebab la ni musim hujan.

Kemudian pada petang tu juga, Aku dan keluarga aku pulang bermalam di Puchong sebelum beraya pula di Alor Gajah, Melaka pada keesokkan harinya.







Wednesday, October 10, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1428H



Dikesempatan Aidil Fitri yang bakal menjelang tiba dijangkakan pada Hari Sabtu 13 Oktober 2007 ini, aku ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyusun sepuluh jari memohon kemaafan sekiranya ada sebarang salah dan silap samada yang aku sedari mahupun tidak.

Kepada kawan-kawan yang mengenali aku, jemputlah datang beraya ke rumah aku yang terletak di Batu 14, Puchong, Selangor Darul Ehsan. InsyaAllah, aku akan pulang menyambut hari raya pertama dikampung isteri di Raub, Pahang pada 12 Oktober 2007 dan seterusnya di kampung halaman aku di Alor Gajah, Melaka pada hari raya kedua. Aku akan pulang semula ke Puchong pada 16 Oktober 2007 sebelum mula bertugas pada 18 Oktober 2007 nanti.


SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN



Monday, October 08, 2007

Mendodol Sempena Hari Raya Aidil Fitri

Negeri Melaka memang terkenal dengan DODOL. Ianya bagai tak boleh dipisahkan setiap kali menjelang Aidil Fitri. Begitu juga dengan keluarga aku. Setiap kali menjelang Syawal, mak aku takkan lupa untuk menyediakan ibu segala kueh ini. Ianya bagaikan satu kemestian untuk membuat DODOL. Ditambah pula adik beradik aku seramai 9 orang yang mana lelaki adalah 7 orang, pasti ianya mengamit tenaga kami untuk bergotong-royong menyediakan kueh segala kueh ini.

Namun begitu, masa telah berubah, kalau dulu kederat aku mampu untuk bertahan sampai siap, tapi kini tidak lagi. Nasib baik adik-adik lelaki aku seramai 4 orang lagi mampu mengerjakannya.

"Dah 2 tahun aku tak pulang bergotong royong mengacau dodol. Kali ini aku mesti balik menyahut seruan mak aku ..." bisik aku sendirian.

"Kamal, mak nak mengacau dodol 6 haribulan nanti, balik le", kata mak aku dalam telefon.
"Berapa banyak nak buat?", tanya aku lagi.
"1 gantang setengah", jawab mak aku.
"Ya..lah mak, nanti Kamal balik", balas aku.

Aku balik ke kampung dengan anak lelaki aku yang berusia 7 tahun, kerana isteri aku sibuk menjahit baju yang ditempah oleh pelanggannya. Aku sampai kampung aku di Alor Gajah, Melaka yang jauhnya 135 KM dari rumah aku sekitar jam 2:30 petang Sabtu itu. Aku turut sama membantu menyediakan kelengkapan. Memang banyak kerja yang perlu dibuat bermula dari penyediaan bahan hingga ke menyediakan dapurnya (tungku) yang diperbuat daripada tong drum yang dibelah dua.

Tungku ini perlulah diapitkan sekurang-kurangnya dengan 3 batang besi dan diikat dengan dawai keras diantara satu sama lain bagi mengelakkan ianya bergoyang ataupun roboh ketika "mengacau" nanti. Kemudian 3 tin susu (ketuk) perlulah diletakkan di atas tungku tersebut untuk mengimbangi kawah dan memastikan kelancaran pelepasan asap dari bawah. Kalau tak, nanti dodol berbau asap pulak. Pernah terjadi suatu ketika dahulu bilamana tunkunya tak kukuh, habis satu kawah dodol tertumpah ke tanah. Kesian juga tuan rumah tersebut. Dah tu nak buat macam mana...kenalah repeat pada hari yang lain pulak.

Antara tugas-tugas yang telah dibahagi-bahagikan adalah :-

  • Memarut Kelapa - Adik lelaki aku Mohd Naser dan Mohd Nizam
  • Memerah Santan - Mak dan adik perempuan Rokiah
  • Membancuh Tepung - Mak dan adik perempuan Rokiah
  • Menghiris Gula Melaka - Mohd Ali dan isterinya
  • Memasak Gula Melaka - Mak
  • Menyediakan Tungku dan Kayu api - Aku dan Mohd Nor
  • Mendodol - kesemua adik beradik aku (kecuali Angah di Sabah yang tak balik).

Sekitar jam 3:30 petang semua persiapan telahpun tersedia. Aku menyuruh Mohd Nor mula menyalakan api daripada kayu pokok cemperai. Kayu ni bagus dibuat bahanapi kerana kepanasan api yang terhasil adalah serata (stabil) dan tahan lama berbanding dengan kayu pokok getah.

Selepas kawah telah panas, santan mula dimasukkan disertai dengan tepung yang telah siap dibancuh. Kemudian garam perlulah dimasukkan untuk mendapatkan rasa yang baik. Mak aku macam biasa, sebagai pemerhati bagi memastikan kesemua aturan diikuti. Selepas kesemua bahan asas ini telah berada di dalam kawah, maka proses "mengacau" hendaklah dilakukan tanpa henti bagi menjamin tiada kerak terutamanya ditengah-tengah perut kawah tersebut. Sambil itu keadaan api perlu dikawal agar tidak terlalu marak atau tidak terlalu perlahan.

Selang sejam selepas itu, santan dan tepung tadi telah mula pekat dan pada masa ini, perhatian terus perlu diberikan agar tiada kerak terhasil. Kalau ada kerak, kenalah diasingkan. Lepas berbuka puasa gula pasir mula dimasukkan berselang dengan Gula Melaka dan Gula Melaka yang telah dimasak cair.

Abah macam biasa le..."merasa" le sikit "mengacau" dodol nie.

Menjelang jam 9 malam, kerja mendodol semakin bertambah berat bilamana dodol tadi telah mula pekat. Waaduh....Masa nie memang azab....3, 4 kali "mengacau" dah kena bertukar tangan dengan adik-adik yang lain. Along aku ternyata dah tak sekuat dulu, masa zaman bujang....yang mana kerja-kerja mendodol ini dilakukan secara gotong royong di dalam kampung. Tenaga kerja masa tu sekitar 20 orang .....dan dilakukan secara bergilir-gilir antara rumah ke rumah. Seronok, weh....Lagi seronok kalau tuan rumah ada anak gadis yang sediakan makanan dan minuman. Masa nielah nak ngurat ke, nak borak-borak ke....kira tak jadi buah mulut orang. Tapi zaman semeriah itu telah berlalu pergi meninggalkan seribu kenangan buat mereka-mereka yang seangkatan dengan aku.
Akhirnya sekitar jam 11:30 malam selepas mengambil kira kepekatan dan rasanya dan tempoh masa selama 7 1/2 jam, maka aku memutuskan kepada semua yang dodol dah boleh diangkat.

"Dah mak....boleh angkat dah", kata aku.

Bab memasukkan dodol ke dalam bekas ni pulak satu hal lagi. Kalau tak mahir...alamatnya akan tumpah le dodol tu ke tempat lain...Pelepah pisang digunakan bagi mengelakkan dodol tersebut melekat. Kalau dulu kami gunakan "tampin" yang diperbuat daripada daun mengkuang sebagai bekas untuk mengisi dodol. Tetapi sekarang nie payah nak cari dah...Harganya juga agak mahal.

Sebagai gantinya, bekas plastik tahan panas digunakan. Banyak jugak dapat. Tapi aku tak sempat nak kira berapa banyak. Dapat le aku bawak balik sedikit untuk diagih-agihkan kepada kawan-kawan mana yang dah pesan awal-awal lagi bila diorang tahu aku nak balik kampung mendodol.

Selepas itu kerja-kerja terakhir "memupuk" hampas kelapa ke dalam kawah tadi dilakukan bagi dan dibiarkan semalaman bagi
memudahkan membasuh kawah tersebut pada keesokkan harinya.

Secara puratanya kerja-kerja mendodol ini mengambil masa seharian bermula dari awal pagi. sebab itulah, maka ianya digelar sebagai raja segala kueh. Penat?...memang tak boleh nak cakap.

Sekitar jam 12:30 malam aku meminta izin daripada mak dan abah aku untuk pulang semula ke Puchong. Puas hati aku walaupun keletihan kerana Ramadhan tahun ini aku dapat sama-sama dengan adik-beradik aku yang lain bergotong-royong mendodol.