Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Wednesday, October 17, 2007

Sambutan Aidil Fitri 2007 di Raub


Seperti kebiasaannya Aidil Fitri kali ini adalah giliran aku sekeluarga raikan 1 Syawal 1428H di kampung isteri yang terletak di Felda Lembah Klau, Raub, Pahang Darul Makmur. Aku pulang agak lewat iaitu pada hari Jumaat 12 Oktober 2007 iaitu selepas isteri aku menyiapkan kesemua tempahan jahitan baju raya pelanggan-pelanggannya.

Aku bertolak dari Puchong sekitar jam 12 tengahari. Alhamdulillah perjalanan melalui Lebuh-raya Karak amat selesa kerana tidak banyak kenderaan yang berada di atas jalanraya pada masa tersebut. Selepas berhenti solat Jumaat di Masjid Lentang, aku meneruskan perjalanan pulang ke kampung halaman isteri aku.

"Kita singgah cari "gear-box" dulu nak", kataku kepada isteriku yang duduk di sebelah kiri.
"Boleh jugak, lagipun apak ada pesan kalau dapat tulang lagi bagus", jawab isteriku.

Memang telah menjadi kebiasaan, tiap kali Aidil Fitri, hidangan sup gear-box seolah-olah menjadi satu kemestian kepada aku.

Agak malang, pada Aidil Fitri tahun ini, aku tak dapat mencari gear-box (kaki lembu atau kerbau). Mula-mula aku mencarinya di sekitar Pekan Karak, tapi tak berhasil.

Kemudian kami menuju ke Mempaga, juga tidak kelihatan orang menjual daging. Mungkin dah lewat petang, jadi memang payah nak cari orang yang menjual daging. Kebiasaannya pada petang hari "bantai" (hari tengok anak bulan) dan pada pagi sehari sebelum raya sahaja orang akan menjual daging. Nak cari sebelah petangnya, memang payah nak jumpa. Kalau adapun, kira nasib la tu…


"Jom kita cari kat Pekan Lanchang pulak, manalah tahu ada rezeki kat sana nanti", kataku.
"Cuba je lah, bang", balas isteriku pula.

Kami kehampaan sekali lagi, bilamana kelibat orang menjual daging langsung tidak kelihatan di sekitar Pekan Lanchang. Puas aku memusing-musing kat situ, namun gagal menemuinya.

"Jom kita balik je lah..hari dah petang ni", kataku.
"Kita beli ikan sangkar je lah", tambah aku lagi.
"Boleh jugak tu" jawab isteriku.


Dalam perjalanan pulang dari Pekan Lanchang, kami singgah membeli ikan sangkar. Dapatlah 3 ekor ikan patin dan 5 ekor ikan tilapia merah dengan harga RM10 sekilo. Cadangnya ikan patin nak buat masak tempoyak dan ikan tilapia tu bolehlah dibakar. Sedap tu....

Kemudian kami singgah ke gerai lemang pulak. Beli jugak 2 batang lemang dengan harga RM5 sebatang...murah tu. Malas nak beli banyak-banyak, takut tak sedap pulak nanti, buat buang duit je.


Sambil dalam perjalanan pulang kami melihat-lihat jugak, manalah tahu ada orang yang masih menjual daging. Tah macam mana ternampaklah kami beberapa orang sedang mengemas gerai menjual daging. Melihat kepada kulit sembelihan tersebut, aku pasti ianya adalah kerbau. Fuhhh…best kalau dapat gear-boxnya.

"Bang, ada tulang lagi ke?" tanyaku sambil memberhentikan kereta.
"Dah habis dah, kulit kerbau ni pun dah ada orang yang beli", balas salah seorang daripadanya.
"Sikitpun tak de lagi ke, bang?", tanyaku lagi dengan nada kehampaan.
"Tak de dah...habis", balasnya lelaki tersebut.
"Taik kerbau ade lah...."jawab seorang lagi (anak dia kot) dengan perlahan, tapi didengari oleh isteriku.

Nak tergelak jugak aku bila isteri aku memberitahu kepadaku jawapan tersebut.

Lantas kami pulang terus ke kampung isteriku. Aku tengok meter kereta aku menunjukkan jarak 70KM perjalanan dari Pekan Lanchang. Punyalah jauh, mencari gear-box, tapi tak dapat jugak...Nak buat camna...tak de rezeki pada kali ini.


Petang tu sempat jugak aku menganyam daun kelapa untuk dibuat ketupat sambil berbual dengan Saudara Baru yang juga anak angkat bapa mertua aku. Abdul Rahim namanya. Menurut katanya, beliau dah 2 tahun memeluk Agama Islam. Alhamdulillah, syukur kerana isteri beliau juga turut memeluk Islam. Menurut katanya, beliau mula-mula tertarik pada Islam apakala mendengar kalimah azan dilaungkan setiap kali solat 5 waktu. Beliau mula mendalami Islam ketika bekerja di negara Brunei. Sempat juga aku memberikan beberapa tazkirah kepada beliau dan isterinya. Semoga mereka akan tetap di dalam Islam hingga akhir hayat mereka.

Memang jadi kegemaran aku setiap kali Aidil Fitri, aku mesti ambil bahagian menganyam ketupat ni. Biasanya aku akan buat ketupat bawang. Ketupat sate nie agak kecil sikit dan sudah pasti isinya menjadi kurang, sebab tu ketupat bawang jadi pilihan utama. Dan lagi bentuk ketupat bawang lebih unik berbanding dengan ketupat sate.

Alhamdulillah, semua anak-anak mertua aku balik beraya kecuali Acik yang beraya di Kuala Kerai, Kelantan di rumah mertuanya. Seperti kebiasaan pada pagi Aidil Fitri, kami bersalaman dan bermaaf-maafan sesama kami sambil menghulurkan duit raya kepada anak-anak saudara yang berjumlah lebih 20 orang tu.

Selepas Solat Aidil Fitri sekitar jam 11 pagi aku sekeluarga dan ibubapa mertua serta adik ipar aku menziarahi pusara nenda kami di Kg. Gali (sebelah bapa mertua) dan Tanjung Putus (sebelah mak mertua).



Pada sebelah malamnya pula, kami buat panggang 5 ekor ayam dan 5 ekor ikan tilapia merah yang aku beli sebelum tu. Aku dan Saidi sediakan tempat memanggang, manakala Abg De pula menguruskan 5 ekor ayam tu. Yealah…dia dulu kan ke tokey ayam, jadi pengalamannya tulah yang kitaorang ambil kira ….Tapi yang benarnya, yang kitaorang malas nak buat …. itu je. Sementara tu yang perempuan pulak sediakan perencah untuk memeram ayam sebelum dibakar.

Sekitar jam 9:30 malam, kami siap membakar ayam dan ikan. Sekali hidang je, habis…tapi at least seorang dapat 2 ketul ayam. Kira okey lah jugak tu. Dapatlah jugak tinggalkan untuk Abg Long & Kak Long yang baru pulang dari beraya.

Pada keesokkan harinya (Hari Raya Kedua) kami semua (5 buah kereta) menziarahi sanak saudara di sekitar Bandar Raub. Seronok jugak menziarahi keluarga beramai-ramai ni. Bayangkanlah dengan jumlah lebih 30 orang menyerbu sebuah rumah, tak ke teruk jugak tuan rumah nak melayan. Tapi Alhamdulillah, kami pilih-pilih juga rumah sanak saudara tu, sebab tak nak juga menyusahkan mereka dengan bilangan kami yang ramai ini.


Kesian jugak kat bapa mertua aku yang bercadang nak mandi air terjun sambil beraya di rumah Pak Lang di Pulau Chekas. Nak buat macam mana, ramai yang tak setuju. Tapi anak-anak saudara aku , nak saje …, mandi air terjun, katakan … apa tak bestnya! Risau jugak, dengan jumlah hampir 20 orang anak saudara tu, sekali dibuatnya masa tengah mandi-manda tu, air besar di hulu sungai. Tak ke naya…nanti, sebab la ni musim hujan.

Kemudian pada petang tu juga, Aku dan keluarga aku pulang bermalam di Puchong sebelum beraya pula di Alor Gajah, Melaka pada keesokkan harinya.






No comments: