Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Friday, November 16, 2007

Lambaian Kaabah 2007 Siri-1


Rabu 14 November 2007 sesudah Isyak, aku ke Komplek Jemaah Haji Kelana Jaya kerana menghantar Pak Long (abang kepada ayah aku) dan Mak Long yang akan ke Mekah kerana menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.

Alhamdulillah, seruan haji telah tiba untuk Pak Long dan Mak Long menunaikan Rukun Islam yang ke-5 ini. Kesemua anak-anak mereka hadir sama di Komplek Jemaah Haji berserta dengan Abah dan Mak aku, Along dan aku sekeluarga.
Memandangkan penerbangan adalah KT12 dan mereka akan terus ke Madinah, maka mereka akan menunaikan Haji Tamattu'.

Suasana sekitar jam 9:30 malam ketika aku tiba di Komplek Jemaah Haji tersebut penuh sesak dengan bakal jemaah haji dan sanak saudara yang turut serta untuk mengucapkan selamat jalan kepada ahli keluarga masing-masing. Aku yang dah agak biasa dengan Komplek Jemaah Haji ini, lantas terus meletakkan kereta di kawasan letak kereta. Nasib aku baik kerana apabila kereta aku memasuki perkarangan letak kereta tersebut, papan tanda "penuh" terus diletakkan menandakan kawasan tersebut dah penuh. Bayarannya pula adalah sebanyak RM4.00 sekali masuk seperti tahun-tahun yang terdahulu.

Sewaktu aku tiba, Pak Long, Mak Long dan anak-anaknya serta abah dan mak telahpun sampai. Abah dan mak aku telah berada di rumah Pak Long sekitar jam 1:00 tengahari pada hari tersebut dari Alor Gajah dengan menaiki bas. Biasalah tu, Pak Long aku tu hanya 3 beradik sahaja iaitu Abah dan Mak Busu yang tinggal di Singapura. Mak Busu dah menziarahi Pak Long beberapa hari yang lepas.

Along aku yang banyak memberi tunjuk ajar tentang proses pendaftaran masuk dengan pengesahan penginapan terlebih dahulu. Sebelum proses akhir, aku sempat juga berbual-bual dengan Pak Long dan Mak Long. Aku simpati kerana Pak Long menghadapi masalah membuang air kecil (prostat) yang mana beliau terpaksa menggunakan karung plastik (dibekalkan oleh Hospital).

Lebih kurang jam 10:00 malam, pendaftaran masuk jemaah haji mula berjalan. Kami semua bersalam-salaman dengan Pak Long dan Mak Long sebelum Along membawa kedua-duanya memasuki tempat pendaftaran (check-in) melalui pintu khas.

Kami semua memerhatikan kedua-duanya dari luar pintu sebelum mereka hilang dari pandangan. Aku doakan semoga kedua-duanya dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar serta dikurniakan dengan Haji Mabrur. Amin.

Kemudian kami semua pulang. Aku membawa abah, mak dan along makan terlebih dahulu di Restoran Brabus yang terletak di Puchong Utama. Malam tu, abah dan mak tidur di rumah aku di Puchong. Kami berbual panjang sehingga jam 2:00 pagi.

Esoknya aku ambil cuti (Khamis) separuh hari kerana menghantar mak dan abah pulang semula ke Alor Gajah.

Pada 8 Disember 2007 nanti, aku akan ke Komplek Jemaah Haji di Kelana Jaya sekali lagi kerana menghantar ayah dan mak Mertua aku yang akan menunaikan ibadah haji juga.





No comments: