Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Monday, August 27, 2007

Speed Trap 0h Speed Trap


Hari Ahad 26hb. Ogos 2007 yang lalu aku ke Bentong, Pahang menghantar anak perempuan aku pulang ke asrama SMK Seri Bentong, Pahang. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang satu setengah jam melalui Lebuhraya Karak.

Sekarang aku cukup berhati-hati memandu agar tidak melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 90 KM/J kerana baru bulan April 2007 yang lalu aku kehilangan RM200 kerana Speed Trap. Terasa jugak, sebab kelajuan aku masa tu adalah 108 KM/J (sepertimana yang tertulis di dalam surat saman tersebut). Ketika itu aku dalam perjalanan pulang mengambil anak aku dari asrama (Hari Jumaat pulak tu) menghala ke KL sebelum sampai ke TOL Bentong. Biasa la tu...bila menuruni bukit, jalan lurus pulak tu, mana ada orang nak tekan brek...biar lajak je...

Biasanya aku memang dah tau, kat situ selalu ada Speed Trap. Tapi tah macam mana, aku terlupa yang meter kelajuan kereta aku dah melebihi 90 KM/J. Aku memang nampak anggota Polis dengan kameranya di tepi penghadang jalan tersebut, tapi tah macam mana, kaki aku tak tergerak langsung untuk tekan brek...
Kemudian sebulan lepas tu aku terima surat berdaftar. Saman la tu...Nak buat macam mana...Kat situ tertulis saman RM300. Aduhhhh...berat weh...
Masa balik kampong isteri aku di Raub, aku singgah di Balai Polis Trafik Bentong untuk jelaskan saman.

"Boleh buat rayuan ke", tanya aku.
"Mintak surat saman tu", balas anggota Polis tersebut.
Diapun check melalui komputernya.

"RM200, Encik" kata anggota polis tersebut.
"Tak boleh kurang lagi ke?", rayu aku lagi.
"Ini yang paling rendah", katanya.
"Tak pa..lah, nak buat camna" kata aku sambil menghulurkan RM200 kepada anggota polis tersebut.

"Boleh tolong check, ada apa-apa saman lain", ujar aku lagi.
"Ada satu lagi, saman parking, di Jalan Travers, KL", kata anggota polis tersebut.
Terkejut jugak aku, puas aku fikir, bila masa pulak aku ada pergi ke Jalan Travers tu..."silap plat kereta kot", bisik aku sendirian.

Kemudian baru aku teringat yang Jalan Traver tu sama jugak dengan Jalan Bangsar. Betul la tu....aku ada terima saman yang dilekatkan pada cermin kereta kerana parking di tepi bahu jalan.

"Berapa kena pulak tu", tanya aku.
"RM30, Encik", balas anggota polis tersebut.
"Tak pa lah..saya bayar", kataku selepas aku memikirkan bila lagi nak pergi ke balai polis untuk bayar saman.
Hari tu je...aku kehilangan RM230 kerana kedua-dua saman tersebut.

Sambung semula cerita Speed Trap pada 26hb. Ogos tadi.
Dalam perjalanan pulang ke KL semula, aku cukup berhati-hati. Kelajuan kereta, aku pastikan tak melebihi 100 KM/J. Apa taknya, anak-anak aku bila tengok meter melebihi 100 KM/J, pasti akan sound aku...
"Ayah, dah lebih tu, turun lagi", kata anak lelaki aku.

Setiba di laluan menurun bukit (dekat Kampong Orang Asli), tak semena-mena aku terlihat seorang anggota polis sedang khusyuk dengan kameranya di tepi penghadang jalan.
"Alamak, Speed Trap", keluh aku sambil memerhatikan isteri aku yang turut sama tak perasan kehadiran anggota polis tersebut.

Apa lagi, aku cepat-cepat tekan brek..tak tau le sempat ke tidak kerana ketika itu meter kelajuan kereta aku pada angka 100 KM/J. Masa tu kereta aku berada di lorong kiri sekali. Tapi di lorong paling kanan, banyak kereta yang dipandu dengan laju, rasanya lebih 110 KM/J. Aku pasti mesti diaorang kena punya....

Aku harap, anggota polis tu tak ambil gambar kereta aku sebab kelajuan aku sekadar 100 KM/J je.... Risau jugak..Tak pasal-pasal melayang lagi duit aku nak bayar saman tersebut. Tengoklah...dalam masa sebulan nie, kalau ada surat berdaftar, maknanya hilanglah lagi duit aku.

Tula...punya le berhati-hati, tapi dah nak kena nak buat camna.
Patutnya diaorang buat le speed trap kat jalan lurus ke, kat corner ke, tapi ni, kat jalan menuruni bukit, lurus pulak tu...mana nak tengok meter, lebih ke tidak.
Kena tawakkal je lah...

No comments: