Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Friday, September 26, 2008

Puteh Di Dalam Kenangan



25 September 2008, aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isteriku dengan nada yang teresak-esak. Aku mengesyaki sesuatu yang tak baik telah berlaku.

"Bang, Puteh mati", beritahu isteriku.

Tergamam aku dibuatnya. Sayu, sedih dan hiba aku rasakan. Biarpun Puteh hanyalah seekor kucing, namun ia adalah kucing peliharaan yang amat kami sayangi. Asal dari anak kucing kampung yang terbuang tanpa tuan yang kami temui pada 10 Mei 2001 di Raub, Pahang, kami pelihara dan jaga dengan baik.

"Mati kenapa?", tanya aku.
"Kena langgar", sambung isteriku lagi

Isteri aku menjumpai Puteh yang telah mati berhampiran dengan Restoran Haikal Tomyam berdekatan dengan rumah kami ketika beliau lalu di kawasan tersebut. Menurut jiran di situ, Puteh telah mati sejak semalam lagi akibat dilanggar oleh sebuah lori, sebab tulah ia tak pulang pada malam tu. Isteri aku yang membawa pulang bangkai Puteh mendapati tiada kesan luka dan kerosakan fizikal pada Puteh.

Pada umur kecilnya, kami pernah beberapa kali menghantarnya ke pusat jagaan haiwan peliharaan berbayar apabila kami pulang berhari raya di kampung. Pernah juga beberapa kali Puteh menjalani rawatan pembedahan di klinik haiwan apabila sakit. Pada ketika itu, wang ringgit bukanlah ukuran betapa sayangnya kami terhadap Puteh.

Puteh yang kami sayangi tidak pernah membuat kotor di dalam rumah seperti kencing dan sebagainya. Puteh memang pandai bermain-main (bergurau) dengan aku. Waktu aku pulang dari kerja, kalau ia ada di rumah (luar rumah), pasti ia akan menyambut aku dengan sengaja berbaring betul-betul di laluan kereta aku hinggakan aku tak boleh nak lalu langsung. Kemudian, kenalah aku keluar dari kereta dan mengambil atau mengalihkannya dari laluan kereta aku.

Anak lelaki akulah yang paling kuat meraung bila mendapat tahu kematian Puteh daripada isteriku apabila beliau pulang dari sekolah. Beliau menangis semahu-mahunya dan berlarutan sehingga aku selesai menanam (kebumikan) Puteh di belakang rumah aku.

Angah dan isteriku juga amat bersedih dengan pemergian si Puteh. Along (anak sulung) yang bersekolah di Karak yang dimaklumkan oleh isteriku apatahlagi sedihnya. Gambar-gambar kenangan di bawah sahajalah yang dapat menggambarkan kesedihan kami.

Apapun, kami sungguh sayang kepada Puteh. Pemergiannya seperti si Jantan kami, terpaksa juga direlakan walaupun kami sekeluarga amat bersedih. Terlalu banyak kenangan suka duka selama lebih daripada 7 tahun bersama si Puteh tetap akan di abadikan di dalam sanubari kami. Namun begitu, kami bersyukur kerana sekurang-kurang kami sempat dan menemui bangkai si Puteh untuk melihatnya buat kali yang terakhir pada hari ini 25 September 2008.










Wednesday, August 13, 2008

18 Tahun Di Panasonic



Sedar tak sedar hari ini aku menyambut ulangtahun 18 tahun bekerja di Panasonic TV Shah Alam, Selangor. Panasonic merupakan tempat kerja aku yang kedua selepas menamatkan perkhidmatan di Kilang pembuat CRT di Batu 3 Shah Alam, Chung Hwa Picture Tube (CPT). Tempoh 18 tahun terasa cukup cepat berlalu dengan pelbagai suka-duka mengharungi kehidupan sebagai seorang pekerja kilang.

Aku yang mula bekerja di Panasonic TV ditempatkan di Jabatan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan TV pada 13 Ogos 1990 yang pada ketika itu ditugaskan di bahagian teknikal untuk design Power Circuit (Litar Kuasa) TV. Dua tahun kemudian aku yang lebih cenderung dengan IT mendapatkan peluang apabila rakan sekerja meletakkan jawatan sebagai CAE designer. Kemudian aku dihantar berkursus di Jepun selama 1 1/2 bulan pada November 1992.

Sekembalinya aku dari Jepun aku mula ditugaskan sebagai CAE Designer secara sepenuh masa sehinggalah pada 2005 di mana aku ditempatkan dibahagian yang lebih mencabar iaitu sebagai IT/CAE Consultant dan bertanggungjawab terhadap keseluruhan IT dan CAE untuk Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang melibatkan Electrical Design, Mechanical Design, Software Design dan Personal Computer di dalam Jabatan yang aku bekerja sekarang ini.

Kemudian sekali lagi aku dihantar ke Jepun iaitu pada tahun 2002 yang lalu apabila jabatan aku memperkenalkan sistem CAE yang baru dan aku sekali lagi ditugaskan untuk menjalani latihan di sana. Tapi kali ini hanya 1 minggu sahaja. Tambahan pula masa tu adalah bulan Ramadhan, akan sukar juga untuk membiasakan diri dengan keadaan sebegitu. Tapi taklah teruk sangat, kerana masa berpuasa adalah lebih pendek berbanding dengan di negara kita yang mana waktu siang adalah pendek dan malamnya lebih lama.

Terasa bangga juga sepanjang karier 18 tahun di Panasonic TV, aku telahpun berjaya melaksanakan beberapa sistem pengurusan IT untuk kegunaan jabatan dan masih digunapakai hingga ke hari ini. Antaranya membangunkan laman web jabatan, sistem pengurusan dan pengumpulan fail, mengawal-selia bukan 1 tetapi sebanyak 5 unit server jabatan dan lain-lain lagi. Walaupun pada hakikatnya aku berlatar belakangkan pendidikan Electrikal. Tapi minat lebih kepada IT dan CAE.

Yang bestnya, tiap kali ada masalah IT/CAE akulah orang yang akan mula-mula ditemui. Jenuh wehhh..nak jaga lebih dari 100 unit PC seorang diri..sehinggakan ada jabatan lain yang turut mendapatkan pertolongan aku yang mana sepatutnya jabatan yang bertanggungjawab adalah jabatan Pusat Sistem Pembangunan Informasi. Tapi tak pe la...aku redha.

Mudah-mudahan semuanya akan berjalan dengan baik walaupun aku tak pasti berapa lama lagi aku akan bekerja "makan gaji" kerana panggilan "bekerja sendiri" semakin kuat menggamit. Tambahan pula ada telah mula merancang kehidu
pan sebagai penternak dan bercita-cita menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya.

Terima kasih kepada isteriku yang membeli kek sempena dengan Ulangtahun 18 tahun aku berada di Panasonic dan ucapan tahniah daripada anak-anak aku. Juga tak lupa kepada kekawan yang sepejabat yang sama mengucapkan tahniah dan ucap selamat kepada aku.







Saturday, March 29, 2008

Pemergian Nenda Tercinta 28 Mac 2008




Jantungku berdegup kencang apabila aku menerima panggilan telefon daripada makcik aku Lela pada petang Jumaat 28 Mac 2008 5:14 petang yang lalu. Aku diberitahu bahawa Nenda Jarah telah meninggal dunia pada jam 4:50 petang di rumah makcik Lela di Putra Perdana, Puchong setelah 5 hari dibenarkan keluar daripada Hospital Putrajaya.

Nendaku yang akan berusia 76 tahun pada Jun 2008 ini, menghidapi sakit tua sejak beberapa lama yang lalu. Aku mengagumi Nenda yang telah kematian suami lebih 30 tahun yang lalu membesarkan anak-anaknya seramai 11 anak daripada tulang empat keratnya sendiri tetap bersendirian sehingga ke akhir hayatnya.

Aku bersyukur kerana mak aku (tinggal di Melaka) yang juga merupakan anak tertua arwah Nendaku telah sempat menziarahinya untuk kali terakhir pada 22 Mac 2008 yang lalu di Hospital Putra Jaya selepas aku memaklumkan kepada mak bahawa keadaan Nenda semakin uzur dan meminta untuk mak datang segera ke Hospital Putra Jaya. Syukur kerana mak sempat bersama-sama dengan Nenda untuk beberapa jam (2 kali lawatan) di Hospital Putra Jaya sebelum pulang semula ke Melaka pada keesokan petangnya.

Untuk kali yang terakhirnya, aku dan isteri sempat menziarahi Nenda pada malam sebelum pemergiannya iaitu pada Khamis 27 Mac 2008 di rumah makcik Lela di Putra Perdana. Entah macam mana, pada malam tersebut aku telah menziarahi Nenda sebanyak 2 kali berulang alik sehingga hampir jam 1:00 pagi. Ianya seolah-olah membisikkan ke telingaku bahawa inilah kali terakhir aku melihat Nenda di dunia ini.

Ia mengingkatkan aku semasa zaman kecil ketika aku tinggal di Bukit Bulat (sekolah rendah) bagaimana aku adalah diantara satu-satunya cucu kesayangan Nenda yang tak berat tulang membantu Nenda di kebun termasuk membantu di Ladang Getah, "palut buah cempedak" dengan sarung yang diperbuat daripada daun kelapa, bersama-sama memetik buah cempedak dan buah rambutan. Akulah yang seringkali diminta oleh Nenda untuk membantunya menjual buah-buahan di tepi jalanraya berhampiran dengan kebun buah-buahannya itu.

Aku juga pernah berbasikal beriringan bersama Nenda ke kebun buah-buahannya itu....tak sanggup rasanya untuk aku meneruskan coretan kenangan silam yang telah berlalu lebih 30 tahun yang lalu.....kerana kenangan itu membuatkan aku semakin hiba dengan leraian airmata.

Jenazah Nenda telah dibawa pulang ke kampung pada malam itu juga dengan van jenazah dari Polis Negeri Sembilan pada sekitar jam 9:45 malam dengan diiringi oleh kenderaan Polis dan disambut oleh saudara mara di kampung serta pegawai dan anggota polis yang telah sedia menunggu.

Jenazah Nenda telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Tun Ghaffar, Bukit Bulat pada pagi Sabtu lebih kurang jam 11:30 pagi dengan diiringi oleh van Jenazah khas pasukan Polis Negeri Sembilan. Sebelum itu majlis tahlil di rumah arwah Nenda telah juga disempurnakan oleh unit agama Pasukan Polis dan dihadiri oleh Dato' KP Melaka dan diikuti kemudiannya tahlil oleh jemaah kariah kampung Bukit Bulat.

Jenazah nenda telah disembahyangkan di Masjid Bukit Bulat oleh jemaah yang hadir sekitar 80 orang. Kemudian jenazah telah dibawa oleh van jenazah Polis tersebut ke tanah perkuburan Kampung Bukit Bulat.

Aku mendapat kesempatan yang takkan dapat dilupakan untuk bersama-sama menyempurnakan pengkebumian jenazah ke dalam liang lahat dan dapat melihat dengan sepuas-puasnya wajah arwah Nenda (kedudukan aku betul-betul di bahagian kepala arwah nenda) untuk kali terakhir sebelum papan keranda menutupi liang lahat tersebut.

Bacaan talkin kemudiannya telah disempurnakan oleh Imam 2 Masjid Bukit Bulat Imam Burhan Alin dengan diiringi menyiram air dan bunga-bungaan di atas kubur oleh anak-anak arwah Nenda.

Aku, bagi pihak keluarga arwah Nenda mengucapkan sekalung terima kasih yang tak terhingga kepada Polis Melaka dan Negeri Sembilan yang telah membantu sehingga urusan pengebumian jenazah Nenda selesai dijalankan tanpa apa-apa halangan. Tak lupa juga kepada mereka-mereka yang telah datang menziarahi arwah Nenda dan para jemaah Bukit Bulat sendiri yang telah banyak membantu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Nenda dan ditempatkan bersama-sama dengan para solehah dan menjadi penghuni syurgaNya. Amin.
Al-Fatihah.....



Suasana di hari pengkebumian Nenda...