Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Thursday, September 20, 2007

Misteri Kehilangan Adik Nurin Jazlin




PETALING JAYA: Polis hari ini mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utama Isnin lepas adalah Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak 20 Ogos 2007 yang lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ujian darah ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan tengah hari ini mengenai keputusan DNA itu.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam yang berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas (17 September 2007).

Sementara itu, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 33, seorang pemandu teksi enggan menerima keputusan DNA itu bahawa mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.

Jazimin berkata, beliau dimaklumkan mengenai keputusan DNA tersebut pada pukul 12.30 tengah hari oleh polis daerah Petaling Jaya dan diminta datang ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman semula mayat tersebut.

Sebelum ini, Jazimin dan isterinya Norazian Bistaman, 35 telah dipanggil untuk proses pengecaman di HKL pada Isnin lepas dan tidak mengaku mayat itu anaknya, Nurin berdasarkan kepada keadaan fizikal kanak-kanak yang ditemui itu.

“Sebagai seorang ibu saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya, ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kesedihan yang saya alami,” katanya dengan linangan air mata.

Walaubagaimanapun, ibubapa Nurin Jazlin masih lagi mengharapkan pihak polis dapat meneruskan siasatan dan mengesan Nurin kerana mereka masih menyakini bahawa mayat mangsa yang ditemui bukan anak mereka dan mangsa masih hidup.

Mengikut rekod polis, terdapat sekurang-kurangnya 16 ibu bapa di luar sana yang masih menanti penuh harap malah mungkin sudah bergolok-bergadai menjejaki anak masing-masing - kesemuanya hilang dalam usia mentah iaitu di bawah 9 tahun.



Senarai kanak-kanak yang hilang


Komen Blogger :
Walau siapapun, namun peristiwa ini amat memilukan hati kita memandangkan ianya berlaku terhadap kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi. Jadikanlah ianya satu pengajaran agar ianya tidak akan berlaku kepada anak-anak kita semua. Marilah kita sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.


Al-Fatihah
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket




Adik Nurin Jazlin



Nurin bersama adik beradiknya



Usaha berterusan menjejaki Nurin



Poster besar di Plaza Tol Sunway (LDP)



Mangsa mengalami seksaan seksual yang keterlaluan.



Mayat mangsa ditemui pada 17 September 2007


Wassalam.
Blogger


Tuesday, September 18, 2007

Misteri : Lubang Hitam




MISTERI lubang hitam yang bertebaran di angkasa lepas dikatakan menyamai konsep kejadian aneh yang berlaku di Segitiga Bermuda apabila kapal atau kapal terbang yang melintasi kawasan perairan itu ghaib secara tiba-tiba.

CIRI-CIRI SEMULAJADI
Bagaimanapun, lubang hitam seumpama lubang gergasi, saiznya lebih luas daripada matahari serta terawang di angkasa menyedut apa saja yang mendekatinya termasuk planet. Malah kekuatan sedutannya menyebabkan cahaya yang tidak memiliki jisim juga tidak mampu melepaskan diri.

Misteri yang menyelubungi kejadian lubang hitam itu bagaimanapun hanya mampu dikaji dari jauh lantaran kemampuan sains dan teknologi manusia nyata masih belum mampu membawa mereka menghampiri lubang itu.

Menggunakan teleskop dan pengamatan terhadap bintang yang disesuaikan pula dengan pelbagai hukum fizik yang berlegar sekitar bumi, pelbagai teori dikemukakan bagi mengisi kekosongan pada ruangan jawapan yang dicetuskan misteri alam itu.

TEORI
Antara teori diterima pakai ahli astronomi adalah teori yang sama digunakan alat penyedut hampa gas - kekuatan lubang hitam terjadi berikutan tarikan graviti dalam lubang itu adalah kuat berbanding tarikan sekelilingnya.

Justeru, apa saja yang menghampirinya akan disedut.Bagaimanapun, kekuatan gravitinya ‘luar biasa’ dan amat dahsyat. Dikatakan jika kekuatan graviti itu wujud di bumi, ia akan memampatkan saiz planet ini menjadi sekecil bola yang berjejari sekitar satu sentimeter.

Teori lubang hitam sebenarnya dikemukakan lebih 200 tahun lalu. Pada 1783, ilmuwan Barat, John Mitchell mencetuskan teori mengenai kemungkinan wujudnya lubang hitam selepas beliau meneliti teori graviti Isaac Newton.

Beliau berpendapat jika objek yang dilemparkan tegak lurus ke atas akan terlepas dari pengaruh graviti bumi selepas mencapai kelajuan lebih 11 kilometer perdetik, maka tentu ada planet atau bintang lain yang memiliki graviti lebih besar daripada bumi.

ANDAIAN ASAL KEJADIAN
Bagaimanapun, perkataan ‘lubang hitam’ pertama kali digunakan ahli fizik Amerika Syarikat, John Archibald Wheeler pada 1968. Wheeler memberi nama demikian kerana lubang hitam tidak dapat dilihat kerana cahaya turut disedut ke dalamnya sehingga kawasan sekitarnya menjadi gelap.

Menurut teori evolusi bintang, asal lubang hitam adalah sejenis bintang biru yang memiliki suhu permukaan melebihi 25,000 darjah Celcius. Ketika pembakaran hidrogen di bintang biru yang memakan waktu kira-kira 10 juta tahun selesai, ia menjadi bintang biru raksasa.

Kemudian, bintang itu menjadi dingin dan bertukar kepada bintang merah raksasa. Dalam fasa itulah, akibat tarikan gravitinya sendiri, bintang merah raksasa mengalami ledakan dahsyat atau disebut Supernova dan menghasilkan dua jenis bintang iaitu bintang Netron dan lubang hitam.

Pengamatan dari teleskop sinar-X ruang angkasa selama lebih dari satu dekad menunjukkan kekuatan tarikan graviti lubang itu menyebabkan ada bintang yang hancur dan ditelan olehnya.

Sebelum ini, ahli astronomi sudah melihat bagaimana lubang hitam menyedut gas yang berterbangan di sekitarnya. Gas yang disedut itu menjadi panas sehingga memancarkan radiasi dalam pelbagai panjang gelombang, mulai daripada gelombang radio hingga gelombang cahaya tampak dan sinar-X.

Berdasarkan pengamatan, ahli astronomi dari Max Planck Institute for Extraterrestrial Physics, Jerman, pernah melihat sebuah bintang yang mendekati lubang hitam raksasa akhirnya lesap ditelan lubang itu.

Lubang hitam raksasa yang dilihat itu berada di pusat galaksi RX J1242-11 yang jaraknya dianggarkan 700 juta tahun cahaya dari bumi. Bintang yang disedut lubang hitam itu pula memiliki ukuran sebesar matahari sistem suria kita.

Bintang itu hancur sedikit demi sedikit dan disedut ke dalam lubang itu selama beberapa hari. Pada peringkat awalnya, bintang itu kehilangan gas yang berada di sekelilingnya.

Selepas itu, bintang itu menjadi panas hingga jutaan darjah Celcius dan hilang ditelan lubang hitam. Dalam proses itu, ia melepaskan tenaga yang kuat iaitu setara dengan tenaga yang dihasilkan pada ledakan Supernova.

Ahli astronomi mengesan kedudukan lubang hitam dengan memperhatikan cahaya di sekitar bintang ataupun gas di angkasa. Apabila di suatu tempat itu tidak ditemui cahaya tetapi di sekitarnya terdapat banyak objek angkasa menuju ke satu titik dengan kecepatan tinggi sebelum hilang, maka titik berkenaan ditandakan sebagai lubang hitam.

Terdapat banyak lubang hitam di seluruh semesta malah ada teori yang mengatakan di galaksi Bima Sakti ini juga terdapat sebuah lubang hitam. Justeru timbul persoalan sama ada matahari kita dan planet yang mengelilinginya termasuk bumi akan disedut lubang hitam itu?

Ahli astronomi memberikan jawapan, ‘tidak’ kerana berbanding galaksi lain, lubang hitam di Bima Sakti dikatakan dalam keadaan tenang disebabkan sedikit saja objek sekitar yang disedutnya.

Misteri yang menyelubungi lubang hitam akan terus menarik minat ahli astronomi sehinggalah satu jawapan yang benar diperoleh. Selagi manusia belum mampu menjelajah jauh ke luar angkasa, selagi itulah jawapan itu gagal diperoleh dan pelbagai teori tanpa bukti akan terus dikemukakan bagi ‘menyelesaikan’ misteri alam itu.


Fakta: Lubang Hitam
Turut dikenali sebagai ‘bintang hitam’ dan ‘singularitas’. Kewujudannya dikesan pada 1783 oleh John Mitchell. Luasnya melebihi saiz matahari. Menyedut apa saja di sekelilingnya termasuk bintang dan cahaya. Teori sedutan akibat tarikan graviti di lubang hitam lebih kuat dari kawasan sekitarnya. Teori menyatakan ia berlaku akibat letupan Supernova bintang merah raksasa.







Monday, September 17, 2007

Cari-Cari Bateri Kereta




Harga bateri automotif meningkat antara 15 hingga 20 peratus berkuatkuasa 9 Ogos 2007 yang lalu, kali kedua dinaikkan dalam tempoh tidak sampai dua tahun berikutan peningkatan harga plumbum di pasaran dunia. Kenaikan harga tersebut membabitkan bateri semua jenama. Kali terakhir harga bateri dinaikkan sebanyak 15 peratus pada Mac tahun lalu.

Harga bateri naik disebabkan oleh kenaikan harga plumbum atau lead yang sangat drastik. Negara China sebagai pengeluar plumbum terbesar telah tidak dapat mengeluarkan cukup plumbum untuk permintaan dunia. Sehingga kini harga plumbum dipasaran telah naik sehingga hampir 50% dari tahun sebelumnya.


Kebetulan bateri kereta aku dah menunjukkan tanda-tanda nak "kong". Hari Sabtu lalu 15 September 2007, aku pergi le cari bateri kereta kat area USJ, tempat aku yang sama aku beli 3 tahun yang lalu. Rayau punya le rayau serata tempat untuk cari jenama yang sama aku pakai sekarang ni iaitu "Delkor" (Calcium Battery)- Bateri kering, Maintenance Free.

Dah lebih 10 kedai aku masuk, tapi bateri yang aku cari ni tak jugak jumpa. Ada satu tu aku jumpa, tapi terminal dia pulak tak ngam. Lagi satu tu pulak terminal dia besar. Pomen tu sarankan agar aku tukar "terminal head", kena potong wayar la tu...tak nak le aku.

Lepas tu, aku rayau kat SS25, Taman Sri Muda. Kat situ memang banyak kedai repair kereta. Tapi masih tak jumpa gak. Boleh kata semua kedai aku masuk, tapi tak de jugak. Nasib aku baik, nyaris-nyaris terkena dengan jenama yang seakan-akan sama iaitu "Delco"

Last-last, aku round sekali lagi kat USJ. Kali ini aku cuba kat USJ 14. Belakang Seven Eleven. Alhamdulillah, ada...jenama tu, banyak pulak tu...tension gila la pulak. Kalau tau, aku terus pergi kedai nie.

"Berapa nie taukeh?", tanya aku
"RM240", jawab taukeh cina tu.
"Kurang lagi tak boleh ke?, Saya pasang sendiri, ma...."

"Ayoo...bateri sudah naik woo...", balas taukeh cina tu sambil menunjukkan risalah kenaikan harga bateri.

"Bagi kurang la, sudah penat saya cari dari pagi tadi", ujar aku lagi.
"Okey..la...okey, RM230, paling last", kata taukeh cina tu.

"Kat kedai sana tu diaorang boleh bagi RM200", pintas aku.
"Mana....?, balas taukeh cina tu.
"Tu....kedai seberang sana, tapi Terminal Head dia besar", kata aku lagi.

"You pegi tanya dia, itu bateri bila punya, sudah lama tak jual lo...., Ini macam sayapun boleh bagi itu harga, apa?, kata taukeh cina tu lagi.

"Ini bateri, saya baru angkat semalam, you tengok tarikhnya",kata taukeh cina tu sambil menunjukkan tarikh bateri tu dikilangkan (bulan September 2007).

Memang aku tahu, bateri Delkor ni dikilangkan di Malaysia. Kilangnya terletak di Kota Kemuning,SS 31, Shah Alam.

"Betul jugak cakap taukeh cina tu", bisik aku sendirian.

Aku terfikir gak, kalau kedai lain boleh bagi murah sangat, mesti ada sebab. Kalau bateri dah tersimpan lama, mesti akan menyebabkan keupayaan (performance) akan berkurangan.

"Okey...okeylah.., saya angkat".

Aku dah malas nak fikir lagi. Nanti kalau tak beli, takut kereta aku tak boleh "start" pulak. Lagi akan menyusahkan aku nak beli di lain hari pulak.

Bukan apa, aku memang cari jenama Delkor ni pasal aku dah pakai selama 3 tahun tanpa ada apa-apa masalah. Malahan sampai sekarang masih lagi berfungsi, cuma terkadang ada masa-masa susah nak "start". Aku tengok kat indicator dah ada tanda-tanda nak expired. So, aku kena beli gak sebagai spare. Takut nanti, bila dah kong terus, tak ke susah..Walaupun jenama dari Korea (luar negara), tapi apa nak buat, bukan aku tak nak pakai Made In Malaysia, tapi kekadang tu jenama je buatan Malaysia, tapi cuma tampal label je, yang lain semuanya import dari luar. Lagipun aku tak nak ambil risiko asyik nak tukar bateri je dalam masa 1 atau 2 tahun.


Banyak pengajaran yang aku dapat pasal bateri semasa aku mencari-cari pada hari Sabtu lepas.

  • Bateri kering/basah, kalau dah lama tak terjual akan menyebabkan performance dia akan terjejas. Oleh itu, sebaik-baiknya bateri yang nak dibeli tu haruslah baru keluar kilang. Sure tahan lama punya.
  • Usah percaya sangat pada kempen-kempen taukeh kedai yang mengatakan bateri nie bagus, bateri tu tak bagus, sebab diaorang hanya nak melariskan jualan mereka aje. Yang penting, kita tahu yang mana satu pilhan kita, atau dari pengalaman kita yang lalu. Usah terpedaya dengan kempen diaorang. Macam aku, aku yakin dengan jenama Delkor ataupun Yokohama. Walaupun harganya agak mahal berbanding dengan jenama lain, tapi ketahanannya sampai 3 tahun. So, tak lah kita susah-susah nak ganti bateri setiap 1~2 tahun.
  • Sebaik-baiknya, cari bateri yang bersesuaian dengan kereta kita. Elakkan daripada potong wayar atau ubah posisi bateri kereta. Kalau dah potong wayar, kemudian sambung lain, mesti akan ada masalah jangkamasa panjang terutamanya cara diaorang clamp wire tu. Silap haribulan, akan ada sparking la pulak.
Dari tahun ke tahun, harga bateri semakin meningkat. Masalah utamanya adalah "plumbum". Kerajaan seharusnya melakukan sesuatu bagi mengekang harga untuk produk automotif ini daripada terus meningkat naik. Mesti ada yang boleh dilakukan. Kata orang nak seribu daya, tak nak macam-macam yang boleh didalihkan untuk menuding ke arah orang lain kesan daripada kenaikan harga barangan ini.

Wassalam
Mamat Chokia