Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Wednesday, September 26, 2012

Along Nadzirah Hanim Melanjutkan Pelajaran Ke Mesir

Pada Isnin 24hb. September 2012 yang lalu, kami sekeluarga telah menghantar anak sulung kami Nadzirah Hanim (Along) ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA di Sepang Selangor Darul Ehsan. Along akan melanjutkan pelajarannya di dalam bidang Pergigian (Pembedahan) selama 5 tahun di Universiti Alexandria Mesir.

Pada hari tersebut, seawal jam 2:30 petang, selesai sahaja aku membacakan Doa Selamat, kamipun bertolak dari rumah di Kampung Baru Batu 14 Puchong Selangor yang diiringi juga oleh Abang Kamal dan keluarganya yang telah bermalam di rumah aku sejak hari Sabtu yang lepas bagi meraikan Along. Kami bertolak awal memandangkan pihak pengurusan GMN memaklumkan supaya ibubapa dapat menguruskan bagasi anak masing-masing seawal yang mungkin bagi mengelakkan kelewatan di kaunter daftar-masuk.


Kami tiba di KLIA pada jam 3:45 petang. Proses menimbang berat bagasi bermula jam 4:00 petang dan kami merupakan keluarga pelajar yang pertama selesai menguruskan bagasi. Ini adalah kerana semua maklumat mengenai bagasi dipatuhi iaitu 2 bagasi dengan berat tidak melebihi 20kg setiap bagasi (Had sebenar adalah maksima 23kg/bagasi).


Selepas selesai proses menimbang berat bagasi, kakitangan GMN telah menyerahkan beberapa keperluan pelajar seperti vess, tag pelajar, sticker/label bagasi serta dokumen pendaftaran Universiti Alexandria. Seterusnya kedua-dua bagasi tersebut dihantar ke bahagian wrapping untuk tujuan membungkus bagasi dengan plastik bungkusan bagi mengelakkan/mengurangkan kerosakan pada bagasi semasa proses penghantaran ke Mesir nanti. Bayaran bagi setiap pembungkusan adalah sebanyak RM10.00 yang diperlu dibayar secara sendiri.

Semua proses ini selesai kira-kira jam 5.00 petang. Aku kemudianya bergegas pulang semula ke rumah di Puchong yang terletak kira-kira 40km dari KLIA ini dengan menaiki Shadow kesayanganku untuk mengambil anak bongsu yang pada hari sama menduduki peperiksaan PSRA dari jam 2:30 petang sehingga 6:10 petang. Aku memaklumkan kepada Ustazah Hayati yang kemudiannya memaklumkan kepada Guru Pengawas Peperiksaan agar dapat memberikan pelepasan awal kepada anak bongsu aku sebaik sahaja beliau selesai menjawab semua soalan peperiksaan PSRA iaitu 1/2 jam sebelum masa sebenar tamat.

Aku dan anak bongsu sampai semula di KLIA sekitar jam 7:00 malam. Semua sanak saudara dan keluarga yang lain telahpun sampai.

Kemudian aku menguruskan pula hal berkaitan dengan pengaktifan Kad Debit VISA Maybank untuk kegunaan antarabangsa. Sebelum ini aku telahpun membuka akaun bank HSBC untuk Along. Akaun Maybank adalah sebagai backup sekiranya Kad HSBC mengalami masalah nanti. Aku dimaklumkan juga cas pengeluaran menggunakan Kad Debit VISA Maybank adalah amat tinggi iaitu RM12 sekali pengeluaran berbanding dengan Kad HSBC. Selepas itu pula aku menukarkan matawang US Dollar sebagai tambahan bagi perbelanjaan Along ketika sampai di Mesir nanti.

Lebih kurang jam 7:10 malam kaunter daftar-masuk (Kaunter H) bagi penerbangan Egypt Air dibuka. Memandangkan pihak GMN telah berpengalaman selama 5 tahun di dalam penghantaran pelajar ini, maka proses daftar-masuk ini amat mudah serta diuruskan oleh kakitangan GMN sendiri. Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka semua yang memberikan perkhidmatan yang amat baik sekali.

Kemudian, para pelajar, ibubapa dan sanak saudara dikehendaki berkumpul berhampiran Pintu Perlepasan Antarabangsa. Tidak ketinggalan juga kehadiran 2 orang Ustaz yang rapat Along Nadzirah Hanim semasa beliau menjalani kursus persediaan Program Pintar di Kem Bumi Jati pada bulan Jun-Julai yang lalu.


Masa yang dinanti akhirnya tiba bilamana para pelajar mula memasuki (Boarding) Pintu Perlepasan bermula jam 8:00 malam. Di sinilah bermula semua sketsa bagi semua ibubapa, adik beradik dan sanak saudara yang tak dapat menahan kesedihan untuk berpisah sementara dengan insan tersayang termasuk aku sendiri.... 5 tahun wehhhh...


Along Nadzirah Hanim mula melangkah memasuki pintu perlepasan tepat jam 8:30 malam dengan disaksikan oleh kami semua dengan seribu harapan agar beliau akan beroleh kejayaan yang cemerlang serta menjadi seorang pakar pergigian yang dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Kami semua mengiringimu dengan doa mudahan Along akan senantiasa di dalam lindungan Allah SWT, kekal sihat dan dipermudahkan segala urusan sepanjang berada dirantauan.

Ayah, Mak, Angah, Adek dan semua sanak saudara SAYANG PADAMU.....

Nota : Pastikan anda mempunyai Flash Player atau RealPlayer untuk melihat Slide Show di bawah ini.

Dinner di Restoran Istana Bambu Hulu Klang

Menguruskan Bagasi

Menunggu Penerbangan

Sesi Bergambar

Sketsa Bersalaman

Perlepasan Melangkah Pergi
Cuit-Cuit Mesir



Sunday, September 16, 2012

Majlis Kenduri Kesyukuran Dan Doa Selamat 2012

Alhamdulillah, Majlis Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat yang berlangsung pada Jumaat 14hb. September 2012 selepas solat Isyak telah berjalan dengan lancar di kediaman kami yang terletak di Kampung Baru Batu 14 Puchong Selangor Darul Ehsan.

Bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Imam Tuan Haji Idris Bin Ahmad, Imam I Masjid Jamek Kampung Baru Batu 14 Puchong Selangor yang turut disertai oleh Nazir Tuan Haji Haridan, Timbalan Nazir Tuan Haji Meor Azlan, Setiausaha Sdr Zulkefli, Siak I Sdr Hariri, Siak II Tuan Hj Rosly, Pemeriksa Kira-Kira Sdr Razman, ahli kariah masjid, rakan-rakan serta saudara-mara terdekat.

Majlis Kenduri yang pada mulanya dirancang dibuat secara kecilan sahaja sekitar 20-30 tetamu. Namun memandangkan ramai saudara-mara terdekat yang tinggal di sekitar Lembah Klang ini berhasrat untuk hadir dan meraikannya, maka setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak, kami akhirnya membuat keputusan menyewa sebuah khemah bersaiz 10'x20' bagi memudahkan dan memberikan keselesaan kepada tetamu untuk menjamu selera.

Manakala masakan pula adalah secara katering daripada mak saudara kami iaitu Puan Rokiah Mohd Hassan yang tinggal di Putra Perdana. Antara hidangan yang disediakan adalah nasi berlaukkan ayam masak merah, kari daging, ikan masin masak lemak pedas nenas, sayur campur serta ulam-ulaman. Selain itu juga hidangan seperti laksa utara, kueh-mueh serta buah-buahan sebagai pemanis mulut. 3 jenis minuman disediakan iaitu oren (ais), teh "O" panas dan air kosong untuk tetamu.

Alhamdulillah, pada akhir majlis, kami sempat juga membekalkan beberapa juadah kepada tetamu untuk dibawa pulang.

Kami mengucapkan ribuan terima kaseh di atas kehadiran tetamu yang meraikan majlis ini serta mendoakan anak sulung kami yang akan berangkat ke Mesir pada 24hb September 2012 ini beroleh kejayaan. Kepada yang tidak menerima jemputan, kami juga memohon maaf, tambahan pula majlis kenduri yang dibuat ini adalah secara kecilan sahaja. Segala kekurangan kami mohon berbanyak-banyak maaf.

Menu Masakan


Nota : Pastikan anda mempunyai Flash Player atau RealPlayer untuk melihat Slide Show di bawah ini.
Jamuan

Tetamu



Wednesday, August 15, 2012

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2012M-1433H

InsyaAllah, beberapa hari yang akan datang, semua umat Islam di negara kita akan merayakan Hari Raya Aidil Fitri 1433H. Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan :-

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Bathin



Sunday, February 05, 2012

Majlis Perkahwinan Su


Ahad 5 Februari 2012, aku telah menghadiri Majlis Perkahwinan sepupu yang tinggal di Kajang Selangor yang dikenali dengan nama Su.

Beliau telah mengakhiri zaman bujangnya setelah bertemu jodoh dengan suaminya yang juga orang Trolak Utara, Trolak, Perak Darul Ridzuan. Aku doakan mudahan beliau dan suaminya akan berbahagia dan dikurniakan dengan cahayamata.






Tuesday, January 31, 2012

Pendaftaran SBPI Selandar Melaka


Alhamdullah, hari ini 31hb Januari 2012, aku telah selesai mendaftarkan anak kedua aku (Najwa Aini) yang mendapat tawaran ke Tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) yang terletak di Selandar Melaka.

Beliau telah mengakhiri persekolahannya di dalam Tingkatan 1-3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bentong, Karak, Bentong, Pahang Darul Makmur.

Proses pendaftaran di SBPI Selandar yang dikhususkan untuk kemasukan ke Tingkatan 4 ini berjalan dengan lancar bermula dari jam 9 pagi dengan kemasukan lebih kurang 50 (kalau tak silap) orang pelajar sahaja. Selepas pendaftaran yang diikuti dengan sessi taklimat, anak aku mula memasuki asramanya yang ditemani oleh bukan sahaja seorang malahan 2-3 orang pelajar sukarela (lantikan sekolah) yang membantu menguruskan bermula dari pendaftaran sehinggalah proses kemasukan ke asrama.

Secara keseluruhannya, sekalung ucapan penghargaan dan terima kaseh kepada pihak sekolah SBPI yang telah menguruskan kemasukan pelajar dengan baik sekali terutamanya sikap ramah setiap pelajar yang ditemui yang sungguh-sungguh sedia membantu terutamanya pelajar baru.

Semua urusan pendaftaran dan membeli kelengkapan yang tak dijangka telah selesai jam 1.30 tengahari. Mudah-mudahan anak aku ini akan dapat menyesuaikan dirinya dengan suasana dan persekitaran yang baru ini dan akan memperolehi pencapaian yang cemerlang di dalam SPM 2013 nanti.






Sunday, August 28, 2011


InsyaAllah, beberapa hari yang akan datang, semua umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidil Fitri 1432H. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan :-

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Bathin

Saya memohon maaf sekiranya ada salah dan silap samada dari segi tutur bicara mahupun perbuatan samada yang disedari mahupun tidak.




Sunday, May 22, 2011

Pendaftaran Asasi UITM Puncak Alam Sessi 2011


Alhamdullah, hari ini 22hb Mei 2011, aku telah selesai mendaftarkan anak sulung aku ke Program Pengajian Asasi UITM Kampus Puncak Alam bagi Sessi 2011/2012.

Anak aku mendapat 2 tawaran iaitu Matrikulasi (KPM) di Londang, Melaka dan Asasi UITM (IPTA). Setelah membuat pertimbangan, beliau memilih untuk mengikuti pengajian Asasi di UITM selama 1 tahun.

Aku tiba seawal jam 8:20 pagi di Kampus Puncak Alam. Inilah pertama kali aku memasuki kampus cawangan Puncak Alam ini yang pada pandangan aku amat baik suasananya dan amat bersesuaian dengan mood untuk belajar dengan berlatarkan kehijauan dikelilingi oleh bukit-bukit.

Memandangkan akan tiba awal, maka semua urusan pendaftaran Kolej Kediaman berjalan dengan lancar, tak sampaipun 15 minit, anak aku telah selesai mendaftar dan diberikan kunci bilik. lega la jugak sebab anak aku dapat tingkat 2 dari keseluruhan 9 tingkat bagi setiap blok. Namun begitu, setiap blok, ada kemudahan lif, tak lah susah sangat.

Pada setiap unit (rumah) ada 4 bilik dengan setiap bilik ditempatkan 2 orang pelajar... memang selesa betul, tambahan pula kampus Puncak Alam ini baru sahaja 2 tahun beroperasi. Dah la tu... tandas ada dua pulak tu... satu tandas duduk dan satu lagi tandas mencangkung...

Apa-apapun, mudahan anak aku akan mendapat pencapaian yang cemerlang untuk membolehnya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda .. InsyaAllah.







Tuesday, March 22, 2011

Keputusan peperiksaan SPM 2010



InsyaAllah, seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, esok 23hb. Mac 2011 merupakan tarikh bagi Keputusan Peperiksaan SPM 2010. Ia boleh diperolehi melalui sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi. Manakala bagi calon persendirian, mereka akan memperolehinya melalui pos.

Mulai tahun ini juga, keputusan Peperiksaan SPM boleh diperolehi melalui khidmat pesanan ringkas sms mulai pukul 10:00 pagi 23hb Mac 2011 hingga 12:00 tengah malam 30hb Mac 2011. Kaedah mendapatkan keputusan SPM melalui sms ini ialah seperti berikut :-

SEMAK SPM [No. Mykad] [Angka giliran SPM] dan hantar ke 15888

Contohnya : SEMAK SPM 901001047896 BA0001B054 dan hantar ke 15888

Mudah-mudahan anak-anak kita yang menduduki SPM 2010 akan mendapat keputusan yang cemerlang. InsyaAllah.

Aku.....???? Esok akan ke MRSM Kepala Batas untuk menemani aku sulung aku mengambil Keputusan SPMnya..

Nota : Untuk info yang terkini dan peluang-peluang bagi lepasan SPM eputra dan Kami Cikgu Blogger



Sunday, January 02, 2011

Jalan-Jalan Cari Makan : Restoran Istana Bambu


Seperti kebiasaannya, pada tiap-tiap tahun aku akan meluangkan masa bersama keluarga untuk program Jalan-Jalan Cari Makan di restoran pilihan.

Jalan-jalan Cari Makan kali ini pada 30hb. Disember 2010 dan aku memilih Restoran Istana Bambu yang terletak di Hulu Klang, Selangor Darul Ehsan. Restoran ini menjadi pilihan aku kerana binaan dan hiasannya adalah daripada 95% buluh bermula dari pintu masuk hinggalah ke ruangan tandas.

Sebelum itu aku telah terlebih dahulu membuat tempahan ruang makan di tempat yang lebih privasi iaitu ruangan "gazebo". Dengan menggunakan alat pandu arah GPS, aku sampai ke Restoran tersebut sekitar jam 9:00 malam dan terus ditunjukkan oleh penyambut tetamu ke arah gazebo tempahan aku.

Ruangan gazebo yang aku tempah ini memang cukup privasi, dibina dari >95% buluh beratapkan jerami padi seperti sebuah bangsal/pangkin yang boleh memuatkan 4-6 orang. Dan yang istimewanya lagi adalah makan bersila ala melayu...

Kami diberikan buku menu hidangan oleh penyambut tetamu. Setelah itu kami terus membuat pesanan menu makan malam iaitu :-
  1. Ikan Kerapu masak steam
  2. Crab meat & seafood toufu soup
  3. Dry Butter Prawn
  4. Telur Dadar mixed
  5. Crispy Grass Chicken
  6. Fried Fu Yong Egg
  7. Fried Crispy Beef
  8. Nasi Kosong
  9. Air Starfruit, Soya Bean, Watermelon, Kedondong Asam Boi, Carrot Milk, Ice cream

Kesemuanya berjumlah RM213.00. Alhamdulillah dalam masa lebih kurang 15-20 minit kesemua menu yang kami pesan siap sedia.... Apa lagi, kami pun menjamu selera sampai semuanya habis.... Kami semua amat berpuashati dengan masakan tersebut... sedap belaka.




kami beredar dari Restoran Istana Bambu tersebut lebih kurang jam 10:30 malam. Anak-anak aku berhajat hendak datang lagi ke sini. Bukan sahaja masakannya yang sedap, tetapi suasana restoran ini amat menyenangkan mata memandang selain kebersihan yang boleh dikategorikan sebagai no. 1.






Friday, December 31, 2010

Majlis Kenduri Aqiqah Anak Lelaki


Majlis Aqiqah Anak lelaki aku selamat disempurnakan pada 25hb. Disember 2010 yang lalu dengan sembelihan aqiqah 2 ekor kambing boer (cross) di kampung aku di Alor Gajah Melaka.

Sembelihan kambing telah dilakukan oleh imam Kampung (Felda) Bukit Bulat iaitu Imam Alin yang juga merupakan bekas guru aku semasa mengaji Al-Quran sekitar tahun 70an yang lalu.



Majlis kenduri telah berlangsung di rumah ayah aku selepas solat Isyak dan dihadiri oleh lebih 100 orang tetamu termasuk lelaki dan perempuan. Syukurlah semua daging aqiqah yang dimasak dengan kuah kari telah habis pada malam itu.

Aku bersyukur kerana telah selesaikan menjalankan kewajipan (dari segi syariat ianya adalah sunat) aku pada ketiga-tiga orang anak aku. Mudahan majlis aqiqah ini mendapat keberkatan dan diterima sembelihan ini oleh Allah S.W.T






Sunday, November 21, 2010

Khatan Anak Lelaki Aku




Alhamdulillah, hari ini 21hb November 2010, aku telah selamat menguruskan khatan untuk anak lelaki aku yang berusia 10 tahun (tahun 4, sekolah kebangsaan) di sebuah klinik swasta di Puchong Indah, Puchong, Selangor.

Untuk majlis berkhatan ini, anak aku mendapat giliran yang ke-7, iaitu paling akhir.... pergh... legaaa. Tambahan pula, anak-anak yang akan berkhatan tidak akan berkumpul beramai-ramai, sebab dikhuatiri akan mengganggu emosi sesama mereka... Buatnya yang pertama dah melolong kuat, apa hal pulak yang sedang menunggu kat luar bilik.... mesti semua kecut perut...

Proses khatan ini mengambil masa selama lebih kurang 40 minit bersama tok Mudim dan pembantunya. Sebagai ayah, aku terpaksalah juga menemaninya walaupun aku memang alah kepada darah....

Sebelum bermulanya khatan, Tok Mudim dan anak aku berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. diikuti dengan bius. Biasanya bab bius inilah yang paling tidak digemari oleh sesetengah anak-anak kerana kesan tusukan jarum walaupun ianya tak sesakit manapun.

Inilah yang benar-benar menguji kesabaran kita. Namun begitu, syukur aku dapat melaluinya dengan tenang sambil berbual dengan Tok Mudim bagi menghilangkan rasa takut pada anak aku. Mulalah keluar semua.... nak apa, je cakap, ayah tunaikan..... masa tu la.... nasib baik anak aku tak minta yang bukan-bukan. Cuma dia nak aku belikan Controller PlayStation (PS2)... So lepas khatan tu akupun belikan di Pasaraya Hero... wireless lagi...

Alhamdulillah, semuanya telah selesai bagi aku menjalankan apa yang perlu aku lakukan sebagai seorang ayah... cuma majlis Aqiqah sahaja yang belum dijalankan. InsyaAllah, kambing 2 ekor dahpun ditempah untuk majlis yang dijangkakan pada penghujung Disember 2010 ini, iaitu sesudah peperiksaan SPM tamat.

Teringat aku sewaktu aku sendiri berkhatan bersama-sama dengan 2 orang abang aku pada tahun 1977 yang lalu di mana tiada kemudahan seperti sekarang ini. Namun begitu, kemeriahan dahulu jauh berbeza seperti sekarang. Kalau dahulu, anak-anak yang berkhatan seperti pengantin baru, diberikan layanan yang cukup istimewa... (sekarang ada la juga yang dikenali dengan Khatan Perdana... Khatan Beramai-ramai dsb.) Dan yang paling aku tak gemar masa berkhatan duhulu ialah kemuncak majlis berkhatan tersebut. Bukan sebab sakit (memang tak sakit sangat pun..), tapi sebab terlalu banyak mata-mata yang memandang dan mengintai kita dari celah-celah tingkap dan dinding kayu.... Perghhh..... malu lah......

Aku amat bersyukur dan berterimakasih kepada ayah aku yang memang mengambil berat tentang aku semasa menjalani proses pantang... lebih kurang 2 minggu jugak, baru betul-betul baik ..... Kalau bab masakan, memang mak akulah yang sentiasa memastikan aku dan abang-abang aku makan berpantang.

Namun itu semua telah berlalu, dan kini giliran aku pula untuk memastikan anak aku mendapat yang terbaik.

Berkhatan








Saturday, November 06, 2010

Majlis Graduasi MRSM Kepala Batas 2010




Hari ini 6hb November 2010, aku menghadiri majlis Graduasi MRSM kepala Batas Pulau Pinang 2010 yang diadakan buat kali ketiga di kampus Maktab Rendah Sains Mara Kepala Batas Pulau Pinang.

Aku dan keluarga termasuk 2 orang anak abang aku (menunaikan haji ke Mekah) bertolak dari Puchong seawal jam 12:00 tengah malam walaupun pada awalnya aku merancang untuk bertolak jam 3 pagi. Memandangkan pada hari tersebut, rumah aku black-out sejak petang tersebut, maka adalah lebih baik aku bertolak awal, sebab kalau kalau nak tidur dulupun, pasti akan kepanasan sebab tak ada elektrik.

Walaupun TNB dah baiki kerosakan, namun rumah aku sahaja yang masih bergelap....puncanya kerosakan pada Main Switch (32A). Nak dijadikan cerita, puas aku mencari kedai yang jual Main Switch termasuk pasaraya.....namun tak berhasil, sebab masa tu dah pukul 9:00 malam....

Perjalanan ke MRSM Kepala batas mengambil masa lebih kurang 4 jam hingga 4 1/2 jam dari Puchong dengan kelajuan 120km/jam. Ada juga tersampai 140-150km/h. Aku sampai awal dan sempat berehat di hentian rehat Sungai Juru.

Sambil tu berbual dengan beberapa anggota polis di kebetulan berehat di tempat yang sama. Mereka dari IPD Kuantan dan dalam perjalanan ke Kedah-Perlis untuk misi bantuan banjir.

Sepanjang perjalanan, apa yang aku perhatikan, memang bas-bas ekspres dipandu dengan cukup laju, melebihi daripada had yang dibenarkan. Mungkin diaorang ni tak serik-serik lagi kot....

Majlis graduasi yang bermula jam 8:30 pagi dan berakhir sekitar jam 11:30 pagi ini telah disempurnakan oleh ADUN Pinang Tunggal, YB Dato' Haji Roslan bin Saidin.

Aku dan keluarga amat berbangga dengan kejayaan anak aku yang berjaya meraih pointer melebihi 3.5 yang melayakkannya untuk mendapatkan Graduasi kelas Pertama dan menerima anugerah cemerlang (akademik) bersama 39 pelajar lain daripada sejumlah 206 pelajar tingkatan 5, sepanjang 2 tahun di MRSM Kepala Batas ini.

Sempat juga aku berjumpa dengan guru Home-Room anak aku iaitu Cikgu Syarnizal untuk mengucapkan ribuan terima kasih disamping peranan beliau sebagai guru penjaga kepada anak aku di MRSM Kepala Batas ini.

InsyaAllah, anak aku bersama 206 pelajar MRSM Kepala Batas ini dan seluruh pelajar di Malaysia akan mula menduduki peperiksaan SPM pada 23hb November 2010 ini. Mudahan mereka akan beroleh kejayaan yang cemerlang di dalam SPM 2010.

Selepas tamat majlis dan jamuan makan tengahari yang disediakan oleh pihak MRSM, aku sempat juga melencong ke Pekan Kepala Batas mencari Main Switch (32A). Alhamdulillah, dapat RM12.00 seunit. sampai di rumah nanti aku akan gantikan sendiri, sebab elektrik dah memang background aku.

Dari Pekan Kepala Batas jam 1:30 petang dan tiba di rumah lebih kurang jam 6:00 petang. Lebih lama sebab, banyak kali berhenti rehat....

Antaranya di Hentian Rehat Bukit Gantang (beli buah-buahan la tu),...Ipoh .... dan Hentian Rehat Behrang (pekena Mee Kari kesukaan aku) .....letih....memang dah begitu....demi untuk pelajaran anak.

Pernah juga pada Disember 2005 yang lalu jam 3:00 pagi aku memandu dari Puchong ke Kuantan untuk ke Pejabat Pelajaran Negeri Pahang perihal permohonan penempatan anak aku... Alhamdulillah, semuanya berbaloi...untuk anak-anak.


Majlis Graduasi MRSM Kepala Batas