Pada hari tersebut, seawal jam 2:30 petang, selesai sahaja aku membacakan Doa Selamat, kamipun bertolak dari rumah di Kampung Baru Batu 14 Puchong Selangor yang diiringi juga oleh Abang Kamal dan keluarganya yang telah bermalam di rumah aku sejak hari Sabtu yang lepas bagi meraikan Along. Kami bertolak awal memandangkan pihak pengurusan GMN memaklumkan supaya ibubapa dapat menguruskan bagasi anak masing-masing seawal yang mungkin bagi mengelakkan kelewatan di kaunter daftar-masuk.
Kami tiba di KLIA pada jam 3:45 petang. Proses menimbang berat bagasi bermula jam 4:00 petang dan kami merupakan keluarga pelajar yang pertama selesai menguruskan bagasi. Ini adalah kerana semua maklumat mengenai bagasi dipatuhi iaitu 2 bagasi dengan berat tidak melebihi 20kg setiap bagasi (Had sebenar adalah maksima 23kg/bagasi).
Selepas selesai proses menimbang berat bagasi, kakitangan GMN telah menyerahkan beberapa keperluan pelajar seperti vess, tag pelajar, sticker/label bagasi serta dokumen pendaftaran Universiti Alexandria. Seterusnya kedua-dua bagasi tersebut dihantar ke bahagian wrapping untuk tujuan membungkus bagasi dengan plastik bungkusan bagi mengelakkan/mengurangkan kerosakan pada bagasi semasa proses penghantaran ke Mesir nanti. Bayaran bagi setiap pembungkusan adalah sebanyak RM10.00 yang diperlu dibayar secara sendiri.
Semua proses ini selesai kira-kira jam 5.00 petang. Aku kemudianya bergegas pulang semula ke rumah di Puchong yang terletak kira-kira 40km dari KLIA ini dengan menaiki Shadow kesayanganku untuk mengambil anak bongsu yang pada hari sama menduduki peperiksaan PSRA dari jam 2:30 petang sehingga 6:10 petang. Aku memaklumkan kepada Ustazah Hayati yang kemudiannya memaklumkan kepada Guru Pengawas Peperiksaan agar dapat memberikan pelepasan awal kepada anak bongsu aku sebaik sahaja beliau selesai menjawab semua soalan peperiksaan PSRA iaitu 1/2 jam sebelum masa sebenar tamat.
Aku dan anak bongsu sampai semula di KLIA sekitar jam 7:00 malam. Semua sanak saudara dan keluarga yang lain telahpun sampai.
Kemudian aku menguruskan pula hal berkaitan dengan pengaktifan Kad Debit VISA Maybank untuk kegunaan antarabangsa. Sebelum ini aku telahpun membuka akaun bank HSBC untuk Along. Akaun Maybank adalah sebagai backup sekiranya Kad HSBC mengalami masalah nanti. Aku dimaklumkan juga cas pengeluaran menggunakan Kad Debit VISA Maybank adalah amat tinggi iaitu RM12 sekali pengeluaran berbanding dengan Kad HSBC. Selepas itu pula aku menukarkan matawang US Dollar sebagai tambahan bagi perbelanjaan Along ketika sampai di Mesir nanti.
Lebih kurang jam 7:10 malam kaunter daftar-masuk (Kaunter H) bagi penerbangan Egypt Air dibuka. Memandangkan pihak GMN telah berpengalaman selama 5 tahun di dalam penghantaran pelajar ini, maka proses daftar-masuk ini amat mudah serta diuruskan oleh kakitangan GMN sendiri. Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka semua yang memberikan perkhidmatan yang amat baik sekali.
Kemudian, para pelajar, ibubapa dan sanak saudara dikehendaki berkumpul berhampiran Pintu Perlepasan Antarabangsa. Tidak ketinggalan juga kehadiran 2 orang Ustaz yang rapat Along Nadzirah Hanim semasa beliau menjalani kursus persediaan Program Pintar di Kem Bumi Jati pada bulan Jun-Julai yang lalu.
Masa yang dinanti akhirnya tiba bilamana para pelajar mula memasuki (Boarding) Pintu Perlepasan bermula jam 8:00 malam. Di sinilah bermula semua sketsa bagi semua ibubapa, adik beradik dan sanak saudara yang tak dapat menahan kesedihan untuk berpisah sementara dengan insan tersayang termasuk aku sendiri.... 5 tahun wehhhh...
Along Nadzirah Hanim mula melangkah memasuki pintu perlepasan tepat jam 8:30 malam dengan disaksikan oleh kami semua dengan seribu harapan agar beliau akan beroleh kejayaan yang cemerlang serta menjadi seorang pakar pergigian yang dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Kami semua mengiringimu dengan doa mudahan Along akan senantiasa di dalam lindungan Allah SWT, kekal sihat dan dipermudahkan segala urusan sepanjang berada dirantauan.
Ayah, Mak, Angah, Adek dan semua sanak saudara SAYANG PADAMU.....
Nota : Pastikan anda mempunyai Flash Player atau RealPlayer untuk melihat Slide Show di bawah ini.
Dinner di Restoran Istana Bambu Hulu Klang
Menguruskan Bagasi
Menunggu Penerbangan
Sesi Bergambar
Sketsa Bersalaman
Perlepasan Melangkah Pergi
Cuit-Cuit Mesir