Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Friday, September 26, 2008

Puteh Di Dalam Kenangan



25 September 2008, aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isteriku dengan nada yang teresak-esak. Aku mengesyaki sesuatu yang tak baik telah berlaku.

"Bang, Puteh mati", beritahu isteriku.

Tergamam aku dibuatnya. Sayu, sedih dan hiba aku rasakan. Biarpun Puteh hanyalah seekor kucing, namun ia adalah kucing peliharaan yang amat kami sayangi. Asal dari anak kucing kampung yang terbuang tanpa tuan yang kami temui pada 10 Mei 2001 di Raub, Pahang, kami pelihara dan jaga dengan baik.

"Mati kenapa?", tanya aku.
"Kena langgar", sambung isteriku lagi

Isteri aku menjumpai Puteh yang telah mati berhampiran dengan Restoran Haikal Tomyam berdekatan dengan rumah kami ketika beliau lalu di kawasan tersebut. Menurut jiran di situ, Puteh telah mati sejak semalam lagi akibat dilanggar oleh sebuah lori, sebab tulah ia tak pulang pada malam tu. Isteri aku yang membawa pulang bangkai Puteh mendapati tiada kesan luka dan kerosakan fizikal pada Puteh.

Pada umur kecilnya, kami pernah beberapa kali menghantarnya ke pusat jagaan haiwan peliharaan berbayar apabila kami pulang berhari raya di kampung. Pernah juga beberapa kali Puteh menjalani rawatan pembedahan di klinik haiwan apabila sakit. Pada ketika itu, wang ringgit bukanlah ukuran betapa sayangnya kami terhadap Puteh.

Puteh yang kami sayangi tidak pernah membuat kotor di dalam rumah seperti kencing dan sebagainya. Puteh memang pandai bermain-main (bergurau) dengan aku. Waktu aku pulang dari kerja, kalau ia ada di rumah (luar rumah), pasti ia akan menyambut aku dengan sengaja berbaring betul-betul di laluan kereta aku hinggakan aku tak boleh nak lalu langsung. Kemudian, kenalah aku keluar dari kereta dan mengambil atau mengalihkannya dari laluan kereta aku.

Anak lelaki akulah yang paling kuat meraung bila mendapat tahu kematian Puteh daripada isteriku apabila beliau pulang dari sekolah. Beliau menangis semahu-mahunya dan berlarutan sehingga aku selesai menanam (kebumikan) Puteh di belakang rumah aku.

Angah dan isteriku juga amat bersedih dengan pemergian si Puteh. Along (anak sulung) yang bersekolah di Karak yang dimaklumkan oleh isteriku apatahlagi sedihnya. Gambar-gambar kenangan di bawah sahajalah yang dapat menggambarkan kesedihan kami.

Apapun, kami sungguh sayang kepada Puteh. Pemergiannya seperti si Jantan kami, terpaksa juga direlakan walaupun kami sekeluarga amat bersedih. Terlalu banyak kenangan suka duka selama lebih daripada 7 tahun bersama si Puteh tetap akan di abadikan di dalam sanubari kami. Namun begitu, kami bersyukur kerana sekurang-kurang kami sempat dan menemui bangkai si Puteh untuk melihatnya buat kali yang terakhir pada hari ini 25 September 2008.