Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Saturday, March 29, 2008

Pemergian Nenda Tercinta 28 Mac 2008




Jantungku berdegup kencang apabila aku menerima panggilan telefon daripada makcik aku Lela pada petang Jumaat 28 Mac 2008 5:14 petang yang lalu. Aku diberitahu bahawa Nenda Jarah telah meninggal dunia pada jam 4:50 petang di rumah makcik Lela di Putra Perdana, Puchong setelah 5 hari dibenarkan keluar daripada Hospital Putrajaya.

Nendaku yang akan berusia 76 tahun pada Jun 2008 ini, menghidapi sakit tua sejak beberapa lama yang lalu. Aku mengagumi Nenda yang telah kematian suami lebih 30 tahun yang lalu membesarkan anak-anaknya seramai 11 anak daripada tulang empat keratnya sendiri tetap bersendirian sehingga ke akhir hayatnya.

Aku bersyukur kerana mak aku (tinggal di Melaka) yang juga merupakan anak tertua arwah Nendaku telah sempat menziarahinya untuk kali terakhir pada 22 Mac 2008 yang lalu di Hospital Putra Jaya selepas aku memaklumkan kepada mak bahawa keadaan Nenda semakin uzur dan meminta untuk mak datang segera ke Hospital Putra Jaya. Syukur kerana mak sempat bersama-sama dengan Nenda untuk beberapa jam (2 kali lawatan) di Hospital Putra Jaya sebelum pulang semula ke Melaka pada keesokan petangnya.

Untuk kali yang terakhirnya, aku dan isteri sempat menziarahi Nenda pada malam sebelum pemergiannya iaitu pada Khamis 27 Mac 2008 di rumah makcik Lela di Putra Perdana. Entah macam mana, pada malam tersebut aku telah menziarahi Nenda sebanyak 2 kali berulang alik sehingga hampir jam 1:00 pagi. Ianya seolah-olah membisikkan ke telingaku bahawa inilah kali terakhir aku melihat Nenda di dunia ini.

Ia mengingkatkan aku semasa zaman kecil ketika aku tinggal di Bukit Bulat (sekolah rendah) bagaimana aku adalah diantara satu-satunya cucu kesayangan Nenda yang tak berat tulang membantu Nenda di kebun termasuk membantu di Ladang Getah, "palut buah cempedak" dengan sarung yang diperbuat daripada daun kelapa, bersama-sama memetik buah cempedak dan buah rambutan. Akulah yang seringkali diminta oleh Nenda untuk membantunya menjual buah-buahan di tepi jalanraya berhampiran dengan kebun buah-buahannya itu.

Aku juga pernah berbasikal beriringan bersama Nenda ke kebun buah-buahannya itu....tak sanggup rasanya untuk aku meneruskan coretan kenangan silam yang telah berlalu lebih 30 tahun yang lalu.....kerana kenangan itu membuatkan aku semakin hiba dengan leraian airmata.

Jenazah Nenda telah dibawa pulang ke kampung pada malam itu juga dengan van jenazah dari Polis Negeri Sembilan pada sekitar jam 9:45 malam dengan diiringi oleh kenderaan Polis dan disambut oleh saudara mara di kampung serta pegawai dan anggota polis yang telah sedia menunggu.

Jenazah Nenda telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Tun Ghaffar, Bukit Bulat pada pagi Sabtu lebih kurang jam 11:30 pagi dengan diiringi oleh van Jenazah khas pasukan Polis Negeri Sembilan. Sebelum itu majlis tahlil di rumah arwah Nenda telah juga disempurnakan oleh unit agama Pasukan Polis dan dihadiri oleh Dato' KP Melaka dan diikuti kemudiannya tahlil oleh jemaah kariah kampung Bukit Bulat.

Jenazah nenda telah disembahyangkan di Masjid Bukit Bulat oleh jemaah yang hadir sekitar 80 orang. Kemudian jenazah telah dibawa oleh van jenazah Polis tersebut ke tanah perkuburan Kampung Bukit Bulat.

Aku mendapat kesempatan yang takkan dapat dilupakan untuk bersama-sama menyempurnakan pengkebumian jenazah ke dalam liang lahat dan dapat melihat dengan sepuas-puasnya wajah arwah Nenda (kedudukan aku betul-betul di bahagian kepala arwah nenda) untuk kali terakhir sebelum papan keranda menutupi liang lahat tersebut.

Bacaan talkin kemudiannya telah disempurnakan oleh Imam 2 Masjid Bukit Bulat Imam Burhan Alin dengan diiringi menyiram air dan bunga-bungaan di atas kubur oleh anak-anak arwah Nenda.

Aku, bagi pihak keluarga arwah Nenda mengucapkan sekalung terima kasih yang tak terhingga kepada Polis Melaka dan Negeri Sembilan yang telah membantu sehingga urusan pengebumian jenazah Nenda selesai dijalankan tanpa apa-apa halangan. Tak lupa juga kepada mereka-mereka yang telah datang menziarahi arwah Nenda dan para jemaah Bukit Bulat sendiri yang telah banyak membantu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Nenda dan ditempatkan bersama-sama dengan para solehah dan menjadi penghuni syurgaNya. Amin.
Al-Fatihah.....



Suasana di hari pengkebumian Nenda...