Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Monday, February 11, 2008

Latihan Sangkut Ternakan Kambing 2008


Aku mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu dengan menghadiri kursus penternakan kambing di Teguh Ternak Sdn. Bhd. di Meru, Klang, selama 5 hari bermula pada 6hb hingga 10hb Februari yang lalu. Walaupun jadual kursus agak padat dengan 3 sessi iaitu pagi, petang dan malam, namun kerana semangat untuk menimba ilmu di dalam bidang penternakan kambing, aku merasakan 5 hari tersebut terlalu singkat.

Seramai 18 peserta telah menyertai latihan pada kali ini. Ada yang datang dari Perak, Pahang. Negeri Sembilan dan juga Selangor.
Walaupun kesemua peserta dikehendaki tinggal di asrama, tetapi ada juga peserta yang tidak bermalam di asrama atas beberapa sebab tersendiri. Pada hari pertama kursus kami diajar mengenali tentang pemakanan dari Tuan Hj Yusof, mantan orang kuat IHK (Kluang). Beliau juga memberikan latihan berbentuk praktikal tentang cara-cara untuk membuat silaj dan konsentrat.

Kemudian pada sebelah malamnya pula En. Najib yang merupakan anak ke 6 Allahyarham Milatu telah memberikan penerangan berkenaan dengan Pemasaran yang mana telah membuka minda peserta bahawa penternakan kambing bukan sahaja untuk penghasilan daging dan susu, tetapi banyak hasil lain yang boleh didapati daripada ternakan kambing ini.

Pada hari kedua pihak TT telah menyediakan program menyembelih dan melapah kambing Feral dan disulami dengan penerangan berkenaan dengan organ dalaman kambing oleh En. Fauzi dari JPH Klang.

Dapatlah jugak aku melihat proses penyembelihan dan menjadi favourite aku bila tiba bab melapah, aku tak lepas peluang untuk turut melapah daging kambing ini.

Kemudian pada sebelah malamnya, En Azmi memberikan penerangan berkenaan dengan Pentadbiran Perniagaan yang antara lain merangkumi penubuhan syarikat dan mengurus selia sesebuah syarikat berlandaskan kepada undang-undang.

Pada setiap pagi kesemua peserta akan diberikan peluang untuk turut sama memerah susu kambing disamping merasai keenakkan susu segar tersebut.

Pada hari ketiga pula penerangan tentang kesihatan dan penyakit-penyakit kambing oleh Dr Azam dan Dr Zul dari Lazuli Sdn. Bhd. Disamping itu juga latihan praktikal di kandang dijalankan pada sebelah petang.

Pada hari keempat pula program pengurusan penyediaan makanan ternakan yang mana En Halim telah membawa kesemua peserta ke ladang kelapa sawit dan juga di kawasan hutan kecil untuk mengenali tentang daun-daun yang boleh dimakan oleh kambing serta ubatan tradisional.

Pada sebelah petangnya pula para peserta telah diberikan tunjuk ajar secara praktikal berkenaan dengan pemakanan, rumput serta penanaman tanaman rumput napier dan rumput guinea.

Selain itu beliau juga telah menerangkan penggunaan mesin chopper dan mesin pengisar yang mengunakan kuasa elektrik.

Kemudian peserta diajar cara-cara mengubati penyakit kambing termasuk memberi suntikan, memasang tag, memotong kuku dan sebagainya. Apa yang aku boleh simpulkan, En Halim memang pakar dalam penjagaan kandang dan ternakan kambing ini.

Disamping itu juga beliau menerangkan proses membuat tinja untuk dijadikan baja.

Pada sebelah malamnya pula, kesemua peserta disajikan dengan barbecue daging kambing dan turut disertai dengan beberapa orang kaum keluarga pihak TT sendiri.

Hari terakhir, Tuan Hj Mukhriz dari IPV Cheras telah memberikan penerangan berkenaan dengan ternakan ruminan dan peluang-peluang yang ada di dalam bidang penternakan.

Kemudian sessi tamat kursus diakhiri dengan penyampaian sijil kursus kepada peserta-peserta oleh
Tuan Hj Mukhriz. Secara keseluruhannya, aku amat berpuashati dengan segala ilmu yang di perolehi di TT yang mana pembelajaran kelas dan amali adalah seimbang. Cuma sessi menyambut kelahiran anak kambing tidak dapat disaksikan kerana pada kali ini, tidak ada kambing yang beranak.

Walaubagaimanapun aku amat berterimakasih kepada pihak TTSB En Idris, En Halim, En Kamal dan En Najib yang bersedia pada bila-bila masa memberikan tunjuk ajar yang amat baik. Tentang bab makan, ada peserta yang beri markah 11/10 kerana memang sedap pun masakan yang disediakan.

Sepanjang menghadiri latihan sangkut ini, ramai kenalan yang aku dapat juga berkongsi ilmu dengan mereka. Memang...pada hari pertama agak segan-segan, tetapi bila masuk hari kedua, suasana bertukar menjadi lebih ceria bila mana semua peserta mula mengenali antara satu sama lain.

Malahan hampir kesemua peserta mendapat nama jolokan masing-masing antaranya Katjang, Boer, Saenen (peserta perempuan la tu...), Jempol, Tok Batin, Payung (Paracut), Putrajaya dan lain-lainnya. Aku pulak mendapat nama Prof. Tak kisah la tu.. Aku harap sepanjang perkenalan di TT akan tersemat satu ikatan networking sesama peserta untuk melebarkan lagi sempadan yang sedia ada.

Lensa kamera aku sempat juga merakamkan beberapa aksi-aksi peserta. Aku harap rakan-rakan tak marah dengan penyiaran aksi ini. Ianya sekadar gurauan.


Kepada rakan-rakan yang sama-sama mengikuti latihan sangkut ini, aku ucapkan semoga penjalanan untuk menjadi seorang penternak dan usahawan yang berjaya akan tercapai. Walaupun agak perit untuk menerima hakikat yang dimaksudkan oleh En Halim di akhir sessi, aku bertekad untuk menyahut cabarannya itu. Aku akan menjadi seorang penternak...aku akan menjadi seorang penternak...aku akan menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya di suatu hari nanti.

Wassalam.


Monday, February 04, 2008

Lawatan ke Teguh Ternak


Pada 2 Februari 2008 (sabtu) yang lalu aku telah mengunjungi Ladang Teguh Ternak yang terletak di Meru, Kelang, Selangor. Kedatangan aku disambut mesra oleh Pemilik Ladang Ternak En Idris bersama-sama dengan 2 orang lagi adik beradik beliau iaitu En Kamal dan En Halim.

Dalam pertemuan hampir 2 jam itu, En Idris tersangatlah mesra dan tak langsung menunjukkan sikap acuh tak acuh dengan kehadiran aku walaupun aku masih lagi baru di dalam bidang penternakan ini.

Tujuan aku untuk ke sana adalah untuk meninjau-ninjau dahulu tempat tersebut kerana aku akan menghadiri kursus Ternakan Kambing di situ pada cuti Tahun Baru Cina ini.

Sempat juga aku korek beberapa ilmu daripada En. Idris yang juga seorang pesara polis, tentang penternakan kambing ini bermula daripada tapak projek hinggalah ke bab pemasarannya. Mudah-mudahan apabila aku menghadiri kursus nanti, taklah terpingga-pingga pulak, memandangkan inilah kali pertama aku menjejakkan kaki di sana. Jadi, sekurang-kurangnya aku dah tahu sedikit sebanyak kedudukan ladang ternak tersebut serta personaliti pemiliknya.

InsyaAllah, balik daripada kursus tersebut nanti, aku akan mencerita pengalaman semasa mengikuti latihan tersebut.

Wassalam.