Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Friday, November 16, 2007

Lambaian Kaabah 2007 Siri-1


Rabu 14 November 2007 sesudah Isyak, aku ke Komplek Jemaah Haji Kelana Jaya kerana menghantar Pak Long (abang kepada ayah aku) dan Mak Long yang akan ke Mekah kerana menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.

Alhamdulillah, seruan haji telah tiba untuk Pak Long dan Mak Long menunaikan Rukun Islam yang ke-5 ini. Kesemua anak-anak mereka hadir sama di Komplek Jemaah Haji berserta dengan Abah dan Mak aku, Along dan aku sekeluarga.
Memandangkan penerbangan adalah KT12 dan mereka akan terus ke Madinah, maka mereka akan menunaikan Haji Tamattu'.

Suasana sekitar jam 9:30 malam ketika aku tiba di Komplek Jemaah Haji tersebut penuh sesak dengan bakal jemaah haji dan sanak saudara yang turut serta untuk mengucapkan selamat jalan kepada ahli keluarga masing-masing. Aku yang dah agak biasa dengan Komplek Jemaah Haji ini, lantas terus meletakkan kereta di kawasan letak kereta. Nasib aku baik kerana apabila kereta aku memasuki perkarangan letak kereta tersebut, papan tanda "penuh" terus diletakkan menandakan kawasan tersebut dah penuh. Bayarannya pula adalah sebanyak RM4.00 sekali masuk seperti tahun-tahun yang terdahulu.

Sewaktu aku tiba, Pak Long, Mak Long dan anak-anaknya serta abah dan mak telahpun sampai. Abah dan mak aku telah berada di rumah Pak Long sekitar jam 1:00 tengahari pada hari tersebut dari Alor Gajah dengan menaiki bas. Biasalah tu, Pak Long aku tu hanya 3 beradik sahaja iaitu Abah dan Mak Busu yang tinggal di Singapura. Mak Busu dah menziarahi Pak Long beberapa hari yang lepas.

Along aku yang banyak memberi tunjuk ajar tentang proses pendaftaran masuk dengan pengesahan penginapan terlebih dahulu. Sebelum proses akhir, aku sempat juga berbual-bual dengan Pak Long dan Mak Long. Aku simpati kerana Pak Long menghadapi masalah membuang air kecil (prostat) yang mana beliau terpaksa menggunakan karung plastik (dibekalkan oleh Hospital).

Lebih kurang jam 10:00 malam, pendaftaran masuk jemaah haji mula berjalan. Kami semua bersalam-salaman dengan Pak Long dan Mak Long sebelum Along membawa kedua-duanya memasuki tempat pendaftaran (check-in) melalui pintu khas.

Kami semua memerhatikan kedua-duanya dari luar pintu sebelum mereka hilang dari pandangan. Aku doakan semoga kedua-duanya dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar serta dikurniakan dengan Haji Mabrur. Amin.

Kemudian kami semua pulang. Aku membawa abah, mak dan along makan terlebih dahulu di Restoran Brabus yang terletak di Puchong Utama. Malam tu, abah dan mak tidur di rumah aku di Puchong. Kami berbual panjang sehingga jam 2:00 pagi.

Esoknya aku ambil cuti (Khamis) separuh hari kerana menghantar mak dan abah pulang semula ke Alor Gajah.

Pada 8 Disember 2007 nanti, aku akan ke Komplek Jemaah Haji di Kelana Jaya sekali lagi kerana menghantar ayah dan mak Mertua aku yang akan menunaikan ibadah haji juga.






Monday, November 05, 2007

Majlis Konvokesyen Ke-2 Unisel


Semalam, hari Ahad 4 November 2007 aku menghadiri Majlis Konvokesyen adik perempuan aku, Rokiah yang telahpun menamatkan pengajiannya di Universiti Industri Selangor (Unisel) di dalam jurusan Diploma Perakaunan. Alhamdulillah, beliau telah berjaya menamatkan pengajiannya selama 3 tahun di Unisel dengan memperolehi >3 pointer. Tahniah diucapkan kepadanya. Kini beliau meneruskan pengajian di peringkat Ijazah di Universiti tersebut dalam bidang yang sama. Semoga beliau akan berjaya memperolehi Ijazah Perakaunan. Tidak seperti aku yang seringkali tertangguh untuk meneruskan pengajian diperingkat yang seterusnya. Mudahan suatu hari nanti, aku akan dapat juga apa yang aku cita-citakan selama ini.

Aku sekeluarga (kecuali anak sulung aku yang bersekolah di asrama), abah, mak, Along, Ita (dan anaknya Hidayah) dan Anor bertolak dari Puchong (rumah aku) kira-kira jam 10:30 pagi dengan menaiki 2 buah kereta.

Perjalanan dari Puchong ke Unisel mengambil masa lebih kurang 1 1/2 jam. Kami tiba kira-kira jam 11:45 pagi. Lalu Along mengajak kami semua makan tengahari dulu di Kampung Bestari Jaya yang terletak bersebelahan dengan Unisel. Banyak juga gerai makan yang terdapat di situ yang juga dikunjungi oleh student-student Unisel untuk makan sekiranya mereka tidak makan di kafeteria yang di sediakan oleh pihak universiti.

Sesudah makan tengahari, kami semua terus ke Unisel. Abah dan Mak terus pergi ke Dewan Besar di mana majlis konvokesyen diadakan. Sementara aku menghantar Rokiah ke asramanya untuk bersiap. Para ibubapa dikehendaki masuk ke Dewan seawal jam 1:00 petang. Manakala para graduan pula jam 1:30 petang sepertimana yang dimaklumkan di dalam aturcara tersebut.

Malangnya sehingga jam 2:00 petang, barulah para ibubapa dibenarkan masuk ke Dewan Besar. Kesian juga aku tengok sebab mereka terpaksa menunggu sambil berdiri selama hampir 1 jam sebelum dibenarkan masuk ke Dewan. Terdengar juga para ibubapa agak marah, kerana menghadapi situasi begini. Agaknya, kerana Unisel masih lagi baru dan ini kali kedua mereka mengadakan majlis konvo, maka insiden ini berlaku. Aku harap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi di tahun hadapan.

Walaubagaimananpun secara keseluruhan, majlis di sebelah petang ini berjalan dengan lancar dan kegembiraan jelas terpapar pada kesemua graduan yang menerima Ijazah dan Diploma masing-masing. VIP yang hadir pada sebelah petang adalah Pro Canselor Tan Sri Dato' Sri Dr Abu Hassan Omar (bekas Menteri Besar Selangor) dan ada la terpacul jugak Dato' Jalaludin Hassan (artis). Anaknya sama jurusan dengan adik aku tu. Laa.... sebab tu la dia hadir.

Aku dan mak aku sempat jugak bergambar dengan Dato' Jalaludin. Sekadar kenang-kenangan je...

Majlis Konvokesyen sessi petang ini tamat lebih kurang jam 3:30 petang. Sesusah solat Asar di Masjid Unisel, kami semua pulang ke Puchong. Sementara Abah, Mak dan Anor terus ke rumah Along untuk menghadiri Rumah Terbukanya itu. Lepas Maghrib, aku sekeluarga pergi ke rumah Along. Selepas Isyak, Abah, mak dan Anor pulang ke Melaka pada malam itu juga.

** TAHNIAH di atas kejayaan Rokiah memperolehi DIPLOMA PERAKAUNAN **