Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Tuesday, September 25, 2007

Kejadian Buli di Sekolah Anak Aku



Hari ini (25 September 2007) aku terima sms daripada anak aku yang bersekolah di SMK Seri Bentong, Karak, Pahang Darul Makmur kira-kira jam 9:29 malam yang berbunyi "Ayah, call balik. Segera". Aku yang mengesyaki ada sesuatu yang tak kena berlaku, lantas segera menelefon nombor tersebut iaitu nombor telefon Cikgu Zawiyah. Anak aku keadaan menangis memberitahu bahawa ada pelajar senior telah mengugutnya untuk datang ke bilik asrama beliau pada malam ini untuk menyelesaikan satu perkara yang aku kira sebagai satu ugutan yang tidak baik.

Kawan-kawan yang tinggal satu bilik dengan anak aku menasihatkan agar anak aku tidak balik ke bilik asrama dan pergi ke rumah Cikgu Zawiyah yang tinggal di rumah guru (dalam kawasan sekolah) dan maklumkan kepada beliau dan aku berkenaan dengan ugutan tersebut.

Anak aku menerangkan kejadian berlaku berpunca apabila anak aku yang ingin menggosok baju sekolahnya yang mana seterika di aras 2 bilik asrama beliau rosak, lalu menggunakan seterika di aras 3. Apabila "turn" beliau telah sampai, tidak semena-mena seorang pelajar senior dengan angkuhnya cuba memotong "que" dan menimbulkan provokasi mulut dan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok terhadap anak aku.

Disebabkan tidak tahan dengan kata-katanya, anak aku membalas kata-kata beliau. Ianya berlanjutan sehingga pelajar senior tersebut mengugut untuk datang ke bilik asrama anak aku dengan "geng-geng" pada sebelah malam.

Sebelum itu, pelajar yang sama juga telah pernah mengugut anak aku pada tahun lepas dengan membawa sekumpulan pelajar senior ke kelas (semasa anak aku tiada di kelasnya) kerana insiden menegur pelajar tersebut memotong barisan semasa mengambil makanan di Dewan Makan asrama. Ianya telah diselesaikan apabila aku terus melapurkan kepada Guru Kelas, Ustaz Fatthul dan pelajar tersebut telah diberikan kaunseling oleh pihak sekolah.

Aku bertambah bimbang ekoran beberapa insiden pelajar sekolah (sepertimana yang dilapurkan oleh media) yang membuli pelajar lain dan menyebabkan pelajar tersebut menghadapi suffer yang berpanjangan. Geram juga memang ada...nak aje aku jumpa pelajar tersebut dan keluarganya. Yea...lah, sekolah bukannya tempat nak buli membuli orang. Sekolah kan ke tempat untuk menimba ilmu? Aku dulupun duduk asrama juga, tapi taklah kena ugutan macam ini.

Aku terus menghubungi YDP PIBG Ustaz Man dan memaklumkan kejadian ini yang kebetulan baru pulang dari SMK Seri Bentong kerana menghadiri majlis berbuka puasa dengan Pegawai dari Jabatan Pelajaran dan pihak sekolah. Aku meminta YDP untuk segera mengambil tindakan kerana apa yang aku bimbangkan adalah keselamatan anak aku pada malam itu.

"Ustaz, saya tidak mengatakan yang anak saya betul, cuma apa yang saya mahu agar pihak sekolah dan PIBG tidak memandang ringan kejadian seperti ini", tegas aku.

Saya minta tindakan segera diambil agar kejadian buruk tidak berlaku", tambah aku lagi.

"Baik, saya akan maklumkan kepada warden dan Pengetua untuk mengambil tindakan. Lagipun Pengetua masih berada di asrama sekolah", jawab YDP.

Disamping itu aku juga telah maklumkan perkara ini kepada Ustaz Azhar, Warden Asrama sekolah. Beliau juga berjanji akan mengambil tindakan segera. Namun rasa tak sedap hati masih menyelubungi fikiran aku, lantas aku menghubungi pula Pengetua sekolah iaitu Tuan Hj Abd. Rahim.

"Usah bimbang, saya akan uruskan dan panggil pelajar yang terlibat di dalam insiden tersebut pada malam ini juga", kata Pengetua.

"Apa-apa hal, saya akan maklumkan kepada encik pada malam ini juga", tambah Pengetua.

"Tapi, Tuan Haji, saya bimbang keselamatan anak saya, dan saya bercadang untuk datang ke asrama sekolah pada malam ini juga", kata aku.

"Tak apa...tak usah lah datang malam-malam. Nanti saya bimbang, awak pula yang ditimpa susah sebab nak datang dari jauh...takut apa-apa hal di tengah jalan", nasihat Pengetua.

"Jangan bimbang, saya akan uruskan dan kalau perlu kita akan tempatkan seorang warden untuk mengawasi pada malam ini", kata Pengetua menyakinkan aku agar tidak datang ke sekolah pada malam ini.

Tapat Jam 11:15 malam, Pengetua menelefon aku menyatakan bahawa beliau telah selesai menyoal siasat dan memberi amaran kepada pelajar yang terlibat agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan beliau boleh diambil tindakan termasuk buang sekolah. Memandangkan beliau akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini, maka sekiranya ini berlaku, masa depannya akan turut terjejas. Kepada anak aku juga Pengetua telah menasihati agar lebih berhati-hati dan tidak melayani sebarang provokasi dari pelajar lain. Sekiranya ada masalah, beliau diminta terus melapurkan kepada Warden sekolah.

Selepas itu aku terus memberitahu kepada YDP bahawa kes buli terhadap anak aku telah selesai. Dan aku juga maklumkan kepada YDP bahawa aku memang berhajat untuk berjumpa dengannya untuk membincangkan beberapa perkara berkenaan dengan banyak isu-isu pelajar dan untuk meningkatkan prestasi pelajar sekolah.

Rasa kesal juga kerana aku tolak pencalonan sebagai AJK PIBG sekolah dalam pemilihan PIBG pada bulan Jun 2007 yang lalu. Kalau tak, rasanya banyak perkara yang aku nak ketengahkan kepada pihak sekolah berkenaan dengan idea-idea aku, akan dapat dilaksanakan untuk kemajuan anak-anak di SMK Seri Bentong ini. Aku tolak sebab masalah perhubungan. Sukar rasanya untuk hadiri mesyuarat memandangkan aku tinggal di Puchong yang jaraknya 120KM dari sekolah tersebut. InsyaAllah, kalau aku masih lagi dicalonkan pada sessi tahun depan, pasti aku tak akan tolak. Aku perlu korbankan masa,tenaga dan wang ringgit untuk mengembeling usaha bersama PIBG untuk kemajuan anak-anak di SMK Seri Bentong.

Apa yang aku dapat katakan, kepada para ibubapa agar dapat mengambil berat perihal anak-anak mereka yang bersekolah terutama sekolah berasrama.
  • Jangan biarkan setiap aduan berkenaan kes buli, walau sekecil mana sekalipun. Yang kecil itulah akan menjadi besar sekira tidak ditangani dengan segera.
  • Jangan takut atau segan untuk melapurkan kejadian buli kepada Warden, Guru, Pengetua ataupun PIBG.
  • Nasihatilah anak-anak agar sentiasa memelihara perhubungan sesama mereka agar tidak berlaku sebarang pertelingkahan mulut yang akhirnya akan mudah menimbulkan provokasi oleh pihak ketiga.
  • Sentiasalah berdampingan dengan Warden, Guru, Pengetua dan PIBG agar setiap maklumat sampai kepada mereka untuk di ambil tindakan yang sewajarnya.
  • Anak-anak perlu dibimbing dengan sewajarnya agar tidak melakukan buli yang akhir akan melanjutkan keperibadian mereka apabila telah tamat persekolahan. Menurut kajian oleh Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakob, menangani masalah buli tidak boleh dengan cara toleransi tetapi perlu tegas kerana kajian menunjukkan mereka yang terlibat dalam kes ini berpotensi terlibat dalam kegiatan jenayah apabila dewasa kelak.

    Katanya, kajian menunjukkan mereka yang terlibat dalam kegiatan buli semasa di bangku sekolah akhirnya menjadi seorang dewasa yang terlibat dalam kes jenayah, merogol dan mendera isteri.

    "Apa yang kita lakukan ialah untuk menyelamatkan pelajar dari cenderung ke arah perbuatan tersebut ketika dewasa kelak,'' tegas beliau.

    Ditanya mengenai kejadian buli yang kerap berlaku di sekolah berasrama penuh beliau berkata, ia sebenarnya telah menjadi budaya dalam kalangan pelajar sekolah sedemikian.
Anak-anak ibarat kain putih. Terpulanglah kepada kita untuk mencorakkannya. Kalau kita ingin anak kita jadi baik atau cerdik atau sebaliknya, terpulanglah kepada kita untuk melakukannya.

Wassalam
Mamat Chokia


Thursday, September 20, 2007

Misteri Kehilangan Adik Nurin Jazlin




PETALING JAYA: Polis hari ini mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utama Isnin lepas adalah Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak 20 Ogos 2007 yang lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ujian darah ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan tengah hari ini mengenai keputusan DNA itu.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam yang berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas (17 September 2007).

Sementara itu, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 33, seorang pemandu teksi enggan menerima keputusan DNA itu bahawa mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.

Jazimin berkata, beliau dimaklumkan mengenai keputusan DNA tersebut pada pukul 12.30 tengah hari oleh polis daerah Petaling Jaya dan diminta datang ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman semula mayat tersebut.

Sebelum ini, Jazimin dan isterinya Norazian Bistaman, 35 telah dipanggil untuk proses pengecaman di HKL pada Isnin lepas dan tidak mengaku mayat itu anaknya, Nurin berdasarkan kepada keadaan fizikal kanak-kanak yang ditemui itu.

“Sebagai seorang ibu saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya, ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kesedihan yang saya alami,” katanya dengan linangan air mata.

Walaubagaimanapun, ibubapa Nurin Jazlin masih lagi mengharapkan pihak polis dapat meneruskan siasatan dan mengesan Nurin kerana mereka masih menyakini bahawa mayat mangsa yang ditemui bukan anak mereka dan mangsa masih hidup.

Mengikut rekod polis, terdapat sekurang-kurangnya 16 ibu bapa di luar sana yang masih menanti penuh harap malah mungkin sudah bergolok-bergadai menjejaki anak masing-masing - kesemuanya hilang dalam usia mentah iaitu di bawah 9 tahun.



Senarai kanak-kanak yang hilang


Komen Blogger :
Walau siapapun, namun peristiwa ini amat memilukan hati kita memandangkan ianya berlaku terhadap kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi. Jadikanlah ianya satu pengajaran agar ianya tidak akan berlaku kepada anak-anak kita semua. Marilah kita sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.


Al-Fatihah
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket




Adik Nurin Jazlin



Nurin bersama adik beradiknya



Usaha berterusan menjejaki Nurin



Poster besar di Plaza Tol Sunway (LDP)



Mangsa mengalami seksaan seksual yang keterlaluan.



Mayat mangsa ditemui pada 17 September 2007


Wassalam.
Blogger


Tuesday, September 18, 2007

Misteri : Lubang Hitam




MISTERI lubang hitam yang bertebaran di angkasa lepas dikatakan menyamai konsep kejadian aneh yang berlaku di Segitiga Bermuda apabila kapal atau kapal terbang yang melintasi kawasan perairan itu ghaib secara tiba-tiba.

CIRI-CIRI SEMULAJADI
Bagaimanapun, lubang hitam seumpama lubang gergasi, saiznya lebih luas daripada matahari serta terawang di angkasa menyedut apa saja yang mendekatinya termasuk planet. Malah kekuatan sedutannya menyebabkan cahaya yang tidak memiliki jisim juga tidak mampu melepaskan diri.

Misteri yang menyelubungi kejadian lubang hitam itu bagaimanapun hanya mampu dikaji dari jauh lantaran kemampuan sains dan teknologi manusia nyata masih belum mampu membawa mereka menghampiri lubang itu.

Menggunakan teleskop dan pengamatan terhadap bintang yang disesuaikan pula dengan pelbagai hukum fizik yang berlegar sekitar bumi, pelbagai teori dikemukakan bagi mengisi kekosongan pada ruangan jawapan yang dicetuskan misteri alam itu.

TEORI
Antara teori diterima pakai ahli astronomi adalah teori yang sama digunakan alat penyedut hampa gas - kekuatan lubang hitam terjadi berikutan tarikan graviti dalam lubang itu adalah kuat berbanding tarikan sekelilingnya.

Justeru, apa saja yang menghampirinya akan disedut.Bagaimanapun, kekuatan gravitinya ‘luar biasa’ dan amat dahsyat. Dikatakan jika kekuatan graviti itu wujud di bumi, ia akan memampatkan saiz planet ini menjadi sekecil bola yang berjejari sekitar satu sentimeter.

Teori lubang hitam sebenarnya dikemukakan lebih 200 tahun lalu. Pada 1783, ilmuwan Barat, John Mitchell mencetuskan teori mengenai kemungkinan wujudnya lubang hitam selepas beliau meneliti teori graviti Isaac Newton.

Beliau berpendapat jika objek yang dilemparkan tegak lurus ke atas akan terlepas dari pengaruh graviti bumi selepas mencapai kelajuan lebih 11 kilometer perdetik, maka tentu ada planet atau bintang lain yang memiliki graviti lebih besar daripada bumi.

ANDAIAN ASAL KEJADIAN
Bagaimanapun, perkataan ‘lubang hitam’ pertama kali digunakan ahli fizik Amerika Syarikat, John Archibald Wheeler pada 1968. Wheeler memberi nama demikian kerana lubang hitam tidak dapat dilihat kerana cahaya turut disedut ke dalamnya sehingga kawasan sekitarnya menjadi gelap.

Menurut teori evolusi bintang, asal lubang hitam adalah sejenis bintang biru yang memiliki suhu permukaan melebihi 25,000 darjah Celcius. Ketika pembakaran hidrogen di bintang biru yang memakan waktu kira-kira 10 juta tahun selesai, ia menjadi bintang biru raksasa.

Kemudian, bintang itu menjadi dingin dan bertukar kepada bintang merah raksasa. Dalam fasa itulah, akibat tarikan gravitinya sendiri, bintang merah raksasa mengalami ledakan dahsyat atau disebut Supernova dan menghasilkan dua jenis bintang iaitu bintang Netron dan lubang hitam.

Pengamatan dari teleskop sinar-X ruang angkasa selama lebih dari satu dekad menunjukkan kekuatan tarikan graviti lubang itu menyebabkan ada bintang yang hancur dan ditelan olehnya.

Sebelum ini, ahli astronomi sudah melihat bagaimana lubang hitam menyedut gas yang berterbangan di sekitarnya. Gas yang disedut itu menjadi panas sehingga memancarkan radiasi dalam pelbagai panjang gelombang, mulai daripada gelombang radio hingga gelombang cahaya tampak dan sinar-X.

Berdasarkan pengamatan, ahli astronomi dari Max Planck Institute for Extraterrestrial Physics, Jerman, pernah melihat sebuah bintang yang mendekati lubang hitam raksasa akhirnya lesap ditelan lubang itu.

Lubang hitam raksasa yang dilihat itu berada di pusat galaksi RX J1242-11 yang jaraknya dianggarkan 700 juta tahun cahaya dari bumi. Bintang yang disedut lubang hitam itu pula memiliki ukuran sebesar matahari sistem suria kita.

Bintang itu hancur sedikit demi sedikit dan disedut ke dalam lubang itu selama beberapa hari. Pada peringkat awalnya, bintang itu kehilangan gas yang berada di sekelilingnya.

Selepas itu, bintang itu menjadi panas hingga jutaan darjah Celcius dan hilang ditelan lubang hitam. Dalam proses itu, ia melepaskan tenaga yang kuat iaitu setara dengan tenaga yang dihasilkan pada ledakan Supernova.

Ahli astronomi mengesan kedudukan lubang hitam dengan memperhatikan cahaya di sekitar bintang ataupun gas di angkasa. Apabila di suatu tempat itu tidak ditemui cahaya tetapi di sekitarnya terdapat banyak objek angkasa menuju ke satu titik dengan kecepatan tinggi sebelum hilang, maka titik berkenaan ditandakan sebagai lubang hitam.

Terdapat banyak lubang hitam di seluruh semesta malah ada teori yang mengatakan di galaksi Bima Sakti ini juga terdapat sebuah lubang hitam. Justeru timbul persoalan sama ada matahari kita dan planet yang mengelilinginya termasuk bumi akan disedut lubang hitam itu?

Ahli astronomi memberikan jawapan, ‘tidak’ kerana berbanding galaksi lain, lubang hitam di Bima Sakti dikatakan dalam keadaan tenang disebabkan sedikit saja objek sekitar yang disedutnya.

Misteri yang menyelubungi lubang hitam akan terus menarik minat ahli astronomi sehinggalah satu jawapan yang benar diperoleh. Selagi manusia belum mampu menjelajah jauh ke luar angkasa, selagi itulah jawapan itu gagal diperoleh dan pelbagai teori tanpa bukti akan terus dikemukakan bagi ‘menyelesaikan’ misteri alam itu.


Fakta: Lubang Hitam
Turut dikenali sebagai ‘bintang hitam’ dan ‘singularitas’. Kewujudannya dikesan pada 1783 oleh John Mitchell. Luasnya melebihi saiz matahari. Menyedut apa saja di sekelilingnya termasuk bintang dan cahaya. Teori sedutan akibat tarikan graviti di lubang hitam lebih kuat dari kawasan sekitarnya. Teori menyatakan ia berlaku akibat letupan Supernova bintang merah raksasa.







Monday, September 17, 2007

Cari-Cari Bateri Kereta




Harga bateri automotif meningkat antara 15 hingga 20 peratus berkuatkuasa 9 Ogos 2007 yang lalu, kali kedua dinaikkan dalam tempoh tidak sampai dua tahun berikutan peningkatan harga plumbum di pasaran dunia. Kenaikan harga tersebut membabitkan bateri semua jenama. Kali terakhir harga bateri dinaikkan sebanyak 15 peratus pada Mac tahun lalu.

Harga bateri naik disebabkan oleh kenaikan harga plumbum atau lead yang sangat drastik. Negara China sebagai pengeluar plumbum terbesar telah tidak dapat mengeluarkan cukup plumbum untuk permintaan dunia. Sehingga kini harga plumbum dipasaran telah naik sehingga hampir 50% dari tahun sebelumnya.


Kebetulan bateri kereta aku dah menunjukkan tanda-tanda nak "kong". Hari Sabtu lalu 15 September 2007, aku pergi le cari bateri kereta kat area USJ, tempat aku yang sama aku beli 3 tahun yang lalu. Rayau punya le rayau serata tempat untuk cari jenama yang sama aku pakai sekarang ni iaitu "Delkor" (Calcium Battery)- Bateri kering, Maintenance Free.

Dah lebih 10 kedai aku masuk, tapi bateri yang aku cari ni tak jugak jumpa. Ada satu tu aku jumpa, tapi terminal dia pulak tak ngam. Lagi satu tu pulak terminal dia besar. Pomen tu sarankan agar aku tukar "terminal head", kena potong wayar la tu...tak nak le aku.

Lepas tu, aku rayau kat SS25, Taman Sri Muda. Kat situ memang banyak kedai repair kereta. Tapi masih tak jumpa gak. Boleh kata semua kedai aku masuk, tapi tak de jugak. Nasib aku baik, nyaris-nyaris terkena dengan jenama yang seakan-akan sama iaitu "Delco"

Last-last, aku round sekali lagi kat USJ. Kali ini aku cuba kat USJ 14. Belakang Seven Eleven. Alhamdulillah, ada...jenama tu, banyak pulak tu...tension gila la pulak. Kalau tau, aku terus pergi kedai nie.

"Berapa nie taukeh?", tanya aku
"RM240", jawab taukeh cina tu.
"Kurang lagi tak boleh ke?, Saya pasang sendiri, ma...."

"Ayoo...bateri sudah naik woo...", balas taukeh cina tu sambil menunjukkan risalah kenaikan harga bateri.

"Bagi kurang la, sudah penat saya cari dari pagi tadi", ujar aku lagi.
"Okey..la...okey, RM230, paling last", kata taukeh cina tu.

"Kat kedai sana tu diaorang boleh bagi RM200", pintas aku.
"Mana....?, balas taukeh cina tu.
"Tu....kedai seberang sana, tapi Terminal Head dia besar", kata aku lagi.

"You pegi tanya dia, itu bateri bila punya, sudah lama tak jual lo...., Ini macam sayapun boleh bagi itu harga, apa?, kata taukeh cina tu lagi.

"Ini bateri, saya baru angkat semalam, you tengok tarikhnya",kata taukeh cina tu sambil menunjukkan tarikh bateri tu dikilangkan (bulan September 2007).

Memang aku tahu, bateri Delkor ni dikilangkan di Malaysia. Kilangnya terletak di Kota Kemuning,SS 31, Shah Alam.

"Betul jugak cakap taukeh cina tu", bisik aku sendirian.

Aku terfikir gak, kalau kedai lain boleh bagi murah sangat, mesti ada sebab. Kalau bateri dah tersimpan lama, mesti akan menyebabkan keupayaan (performance) akan berkurangan.

"Okey...okeylah.., saya angkat".

Aku dah malas nak fikir lagi. Nanti kalau tak beli, takut kereta aku tak boleh "start" pulak. Lagi akan menyusahkan aku nak beli di lain hari pulak.

Bukan apa, aku memang cari jenama Delkor ni pasal aku dah pakai selama 3 tahun tanpa ada apa-apa masalah. Malahan sampai sekarang masih lagi berfungsi, cuma terkadang ada masa-masa susah nak "start". Aku tengok kat indicator dah ada tanda-tanda nak expired. So, aku kena beli gak sebagai spare. Takut nanti, bila dah kong terus, tak ke susah..Walaupun jenama dari Korea (luar negara), tapi apa nak buat, bukan aku tak nak pakai Made In Malaysia, tapi kekadang tu jenama je buatan Malaysia, tapi cuma tampal label je, yang lain semuanya import dari luar. Lagipun aku tak nak ambil risiko asyik nak tukar bateri je dalam masa 1 atau 2 tahun.


Banyak pengajaran yang aku dapat pasal bateri semasa aku mencari-cari pada hari Sabtu lepas.

  • Bateri kering/basah, kalau dah lama tak terjual akan menyebabkan performance dia akan terjejas. Oleh itu, sebaik-baiknya bateri yang nak dibeli tu haruslah baru keluar kilang. Sure tahan lama punya.
  • Usah percaya sangat pada kempen-kempen taukeh kedai yang mengatakan bateri nie bagus, bateri tu tak bagus, sebab diaorang hanya nak melariskan jualan mereka aje. Yang penting, kita tahu yang mana satu pilhan kita, atau dari pengalaman kita yang lalu. Usah terpedaya dengan kempen diaorang. Macam aku, aku yakin dengan jenama Delkor ataupun Yokohama. Walaupun harganya agak mahal berbanding dengan jenama lain, tapi ketahanannya sampai 3 tahun. So, tak lah kita susah-susah nak ganti bateri setiap 1~2 tahun.
  • Sebaik-baiknya, cari bateri yang bersesuaian dengan kereta kita. Elakkan daripada potong wayar atau ubah posisi bateri kereta. Kalau dah potong wayar, kemudian sambung lain, mesti akan ada masalah jangkamasa panjang terutamanya cara diaorang clamp wire tu. Silap haribulan, akan ada sparking la pulak.
Dari tahun ke tahun, harga bateri semakin meningkat. Masalah utamanya adalah "plumbum". Kerajaan seharusnya melakukan sesuatu bagi mengekang harga untuk produk automotif ini daripada terus meningkat naik. Mesti ada yang boleh dilakukan. Kata orang nak seribu daya, tak nak macam-macam yang boleh didalihkan untuk menuding ke arah orang lain kesan daripada kenaikan harga barangan ini.

Wassalam
Mamat Chokia


Sunday, September 16, 2007

Jemput Kawan Berbuka Puasa




Semalam 15 September 2007 bersamaan dengan 3 Ramadhan 1428H, aku menjemput kawan-kawan sekerja untuk berbuka puasa di rumah aku di Puchong.

Suwaya nak sangat merasa roti canai yang aku buat, almaklumlah dia sekarang ni tengah berbadan dua. InsyaAllah anak ketiga tu...Kira mengidam la pulak tu. Rasanya dah dekat 1 bulan iaitu sebelum Ramadhan lagi dia dah pesan nak makan roti canai. Cuma tak berkesempatan masa untuk aturkannya.

Kebetulan anak sulung aku yang tinggal di asrama pulang pada minggu ini, jadi aku jemputlah Suwaya dan suami (serta 2 anak lelakinya) serta Kamariah, Zaza dan seorang lagi kawannya tu (aku tak tau namanya) untuk berbuka puasa di rumah aku.

Lepas solat Zohor, aku mula uli tepung untuk dibuat roti canai sekitar jam 3 petang tu.
"Sal, sekilo tepung, cukup kot?", aku bertanya kepada isteri aku.
"Boleh la tu bang, dapat 21 atau 22 keping dah kira OK tu", balas isteriku

Jam 4 petang, aku siap menguli tepung dan terus membuat "bulat". Biasanya isteri aku memang cukup gemar buat "bulat", so bab ni aku panggil dia seperti kebiasaan. Anak-anak aku, pun sama nak join buat bulat. Takut spoil, aku bagi sorang sikit buat main-main. Alhamdulillah, dapat 21 keping macam kebiasaannya. Bab resepi nie, aku tak leh kasi tahu, sebab aku menuntut kat bapa mertua aku yang tinggal di Raub. Kalau kekawan nak tau jugak, kenalah datang datang rumah aku, baru boleh aku beritahu resepinya.

Manakala isteri aku pulak buat mee goreng kering. Favourite aku tu...aspecially kalau mee goreng mamak, lagi "kaw" punya. Sambil tu isteri aku juga turut order kueh sesikit kat Kak Ana (jiran sebelah) yang berniaga di Bazaar Ramadhan. Dia kira terror jugak bab-bab memasak nie.


Masa berbuka tu, aku tengok Suwaya makan 2 roti canai, sedap la tu...Tapi Zaza pulak nampak malu-malu, last-last aku tengok dia yang paling akhir ambil roti canai keduanya itu. Kamariah, aku tak perasan pulak dia makan berapa, rasanya dua keping jugak kot? Anak-anak aku, biasalah, memang seorang dua keping roti canai.

Disamping itu kami sama-sama menjamu kuih dan buah-buahan yang dibawa kawan-kawan aku tu.

Lepas berbuka dan solat Maghrib, kami berbual-bual seketika. Lepas tu, lebih kurang jam 8:45 malam, semua tetamu aku mula minta diri untuk pulang ke rumah masing-masing. Gembira rasanya dapat menyediakan juadah berbuka puasa untuk kawan-kawan walaupun pada hari tu aku agak "rushing" sedikit kerana mencari bateri kereta serata tempat.

Aku harap, lain hari di masa yang sama aku dapat menyediakan juada berbuka puasa untuk kawan-kawan yang lain pulak. Mudah-mudahan.

Wassalam
Mamat Chokia


Thursday, September 13, 2007

Selamat Berpuasa 1 Ramadhan 1428H





1 Ramadhan 1428H (13 September 2007) pada tahun ini jatuh pada hari Khamis.

Aku MC pada hari pertama Ramadhan ini, kerana diserang cirit-birit. Pun begitu aku tetap berpuasa hari ini. Alhamdulillah, masih lagi larat rasanya sampai ke Maghrib nanti.

Petang nanti aku cadang nak ke Bazar Ramadhan di Puchong Perdana. Anak lelaki aku yang berusia 7 tahun memang menggemari Roti John Puchong Perdana. Kena lah beli jugak, sebab dia berpuasa.

Semoga kedatangan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini akan diambil peluang oleh kita semua untuk menambahkan lagi amalan seharian.

Selamat Berpuasa Kepada Semua kekawan.


Wassalam
Mamat Chokia



Saturday, September 08, 2007

Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat UPKK dan PSRA 2007


Semalam 7hb. September 2007 aku sekeluarga telah menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat bagi murid-murid Sekolah Agama KAFA Integrasi Al-Thaqafah, Batu 14 , Puchong Selangor Darul Ehsan yang bakal menduduki Peperiksaan UPKK dan PSRA pada 24/9/2007 ~ 27/09/2007 ini. Majlis telah diadakan di Masjid Batu 14, Puchong dan diketuai oleh imam masjid tersebut dan dihadiri oleh murid-murid, guru-guru sekolah agama dan ibubapa masing-masing.


Anak perempuan kedua aku yang berada di dalam Tahun 5 adalah diantara salah seorang murid-murid yang akan menduduki peperiksaan UPKK tersebut.

Kehadiran murid-murid dan ibubapa pada hari tersebut agak kurang (sekitar 50 orang) berbanding dengan majlis yang sama pernah diadakan 2 tahun sebelumnya yang pernah aku hadiri di masjid tersebut semasa anak sulung aku menduduki peperiksaan PSRA pada 2005. Majlis dimulakan dengan sembahyang Maghrib secara berjamaah, bacaan Yassin dan doa. Selepas Solat Isya', Imam Masjid mengetuai Solat Hajat sebanyak 2 rakaat dan doa.

Majlis berakhir sekitar jam 9:15 malam selepas jamuan ringan yang di sediakan oleh pihak Sekolah Agama Al-Thaqafah.


Didoakan semoga pelajar-pelajar Sekolah Rendah Agama Al-Thaqafah yang akan akan menduduki peperiksaan tersebut akan beroleh kejayaan yang cemerlang.

Wassalam.
Mamat Chokia