Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Wednesday, July 25, 2007

Nostalgia Pertanian

Masa bersekolah di dalam Darjah 5 pada tahun 1979 di Sekolah Kebangsaan Menggong, Alor Gajah, Melaka, aku mula berjinak-jinak dengan pertanian. Masa tu setiap pelajar diwajibkan mengusahakan "sebatas" tanaman. Tak kiralah apa jenis tanamanpun. Ada yang tanam jagung, kangkung dan sebagainya. Aku pilih tanaman cili. Setiap pagi, sebelum waktu sekolah bermula seawal 7:15 pagi aku dah sampai ke sekolah yang jauhnya lebih kurang 5KM dari rumah. Abah yang hantar aku dan Abang aku (Angah) dengan motosikal. Tiap-tiap pagi sebelum kelas bermula, aku akan jengah tanaman aku dahulu. Memang cikgu ajar supaya setiap pagi sebelum matahari memancar, kenalah siram pokok cili tersebut dengan.... heh..heh.. air kumbahan dari tandas sekolah. Mula-mula memang geli jugak. Tapi lama-kelamaan dah jadi lali. Aku gunakan pencedok yang diperbuat daripada tin susu dan kayu sepanjang kira-kira 6 kaki.

Aku memang jaga betul hinggakan pokok cili (kira-kira 10 pokok) aku itu mendapat pujian dan contoh kepada kawan-kawan aku yang lain. Aku masih ingat lagi Cikgu Kamal dan Ustaz (aku lupa plak namanya...) puji sakan pasal tanaman pokok cili aku di hadapan murid-murid yang lain. Kembang hidung...dibuatnya. Malahan aku mendapat jolokan pekebun contoh di kalangan murid-murid yang lain kerana tanaman aku menjadi dan segar bugar.


Sekali tu, masa cili aku dah mula boleh dipetik, aku cadang nak beri kepada Uztaz tersebut...Aku dah pesan kepada kawan aku Faris untuk tolong berikan kepada Ustaz.
"Faris..balik sekolah nanti, boleh tolong aku bagi cili yang aku tanam kepada Ustaz" ujarku. "Boleh..." sahut Faris tanda bersetuju, sebab aku janji nak bagi dia jugak.
Akupun petik cili tersebut dan bungkuskan dengan kertas surat khabar. Masa tengah membungkus, sekali tu ada..la seorang kawan aku (Fauzi namanya) datang.
"Jom kita pekena si Faris nak.."bisik Fauzi kepada aku.
"Boleh gak..."balas aku lagi.

Kamipun mula membungkus cili tersebut. Satu bungkusan kami isikan dengan cili untuk diberikan kepada Ustaz dan satu bungkusan lagi kami taruh kapur tulis untuk pekena si Faris tu. Bila dah siap bungkus kemas-kemas..akupun serahkan kepada Faris sambil berpesan..."Yang ini untuk kau..dan yang ini (aku tandakan) untuk Ustaz. Jangan tukar tau..." beritahu aku kepada Faris sambil diperhatikan oleh Fauzi.

Farispun beredar pulang sambil membawa 2 bungkusan tersebut menuju ke rumah Ustaz yang letaknya lebih kurang 100 meter dari sekolah.
Beberapa minit lepas tu, tak semena-mena aku tersentak."Ehh..betul ke aku cakap kat Faris tadi..sepatutnya yang bertanda tu untuk dia dan yang tak bertanda tu untuk Ustaz...Alamakkkkkk, aku salah cakap!!!" matilah aku....kalau dia bagi yang bertanda itu berisi kapur....apa aku nak jawab pada Ustaz nanti...

Esoknya...pagi-pagi lagi aku dah pergi jumpa Ustaz. Aku jelaskan keadaan yang berlaku yang mana aku nak main-main dengan Faris...Apa lagi, marah le Ustaz tu..."Awak nie...isteri saya terkejut dan marah-marah sebab bungkusan tu berisi kapur tulis..
Apalagi, "Saya mintak banyak-banyak maaf, Ustaz.Lain kali saya tak buat lagi" rayu aku, sebab takut jugak kalau kena pelempang dengan Ustaz. Nasib baik Ustaz terima maaf aku. Lepas tu, masa rehat, aku terus pergi petik cili dan bungkuskan untuk Ustaz. Aku cakap "yang ini betul-betul Ustaz".
"Terima kasih" balas Uztaz.

Kenangan itu cukup letak di dalam kenangan aku sampai ke hari ini. Aku tak tahu samada Ustaz tu masih ada atau telah meninggal dunia. Sebab beberapa tahun selepas tu, beliau bertukar ke sekolah yang lain.

Si Faris pulak, lama betul aku tak jumpa dia selepas aku melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu pada 1984. Dengar cerita, diapun dah berpindah ke tempat lain mengikut ibubapanya..Teringin rasanya kalau dapat berjumpa dengan dia semula.

Dalam buku rekod sekolah rendah aku ada tercatit kecenderungan aku sebagai "Berkebun". Aku masih simpan hingga ke hari ini. Setiap kali meneliti buku rekod tersebut, kenangan ini pasti akan menjelma. Kelakar jugak.



Tuesday, July 24, 2007

Nostalgia Perniagaan

Aku masih teringat ketika aku masih kecil (Sekitar 1974 ketika itu, umur aku 6 tahun agaknya..lupa dah) aku dah mula menjaja kuih (milik orang lain) dari rumah ke rumah pada setiap pagi. "Kuih-kuih...." teriak aku sambil membawa bakul raga berisi kuih-muih untuk sarapan pagi di Felda Machap (sekarang ni dah Kampong Baru Bukit Bulat), Alor Gajah, Melaka. Entahlah, aku seolah-olah tidak langsung berasa malu pada ketika itu. Dapatlah upah 20 sen setiap hari. Nilai itu sudah cukup besar pada ketika itu. Apa yang aku fikirkan adalah keseronokan berniaga.
Kemudian ketika di sekolah rendah, akulah yang menjadi pilihan nenekku untuk membantunya di kebun buah-buahan. Aku sempat merasa menjual buah rambutan dan cempedak di tepi jalan besar di kawasan Felda. Aku memang suka menyakat bapa saudaraku (lebih muda usianya dari aku). Tah macam mana, pada satu hari tu, aku tak perasan dia ada memegang sebilah parang. Agaknya, disebabkan terlalu marah dengan ejekan aku, dia telah melontarkan parang tersebut ke arah aku. Nasib aku malang pada hari itu, parang tersebut menyinggah di kaki aku. Darah merah mengalir deras menyebabkan aku rebah. Aku pengsan. Aku tak sedar langsung. Apabila aku buka mata, aku dah berada di rumah dengan kaki berbalut.

Bila abah pulang dari kerja, dia marah lagi kat aku. katanya aku yang salah. Sedih juga dibuatnya. Lepas tu abah hantar aku ke Hospital Alor Gajah sebab keadaan luka di kaki aku agak panjang. Dari Hospital Alor Gajah aku segera di hantar dengan Ambulan ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan lanjut. Merasa jugak pengalaman naik Ambulan. Masih terngia-ngia lagi sakitnya bila kaki aku dijahit dengan jarum. Meraung sakan....Yealah..masa tu ubat bius tak macam hari ini. Walaupun dibius, tapi sakit tetap terasa. Aku tinggal di Hospital Besar Melaka selama lebih kurang sebulan.

Tiap hari abah datang melawat aku. Abah gelak...bila tengok kaki aku bersimen sampai ke pangkal paha. Bosan tinggal di Hospital, memang tak boleh nak cakap. Tambahan pulak bila toleh kira kanan..ada yang patah tangan, ada yang patah kaki, ada yang kaki tergantung..dan macam-macam lagi. Kemudian bila aku dibenarkan pulang ke rumah, rasa jadi macam raja pulak. Mak layan baik sekali. Makan aku dijaga dengan betul. Tapi yang paling menyeksakan apabila kaki aku yang bersimen tu di masuki oleh semut. Aduh mak...tak boleh nak cakap macam mana. Punyalah terseksa...Allah sahaja yang Tahu.

Lepas rasa dah okey sikit, aku mula keluar rumah. Mak memang marah setiap kali aku keluar rumah. Takut aku terjatuh dan menyebabkan luka jahitan tu susah nak sembuh. Dalam keadaan kaki bersimen tu aku gunakan tongkat yang aku buat sendiri untuk memudahkan aku bergerak dan berjalan. Mana aku nak lekat kat rumah aje...kekawan siap datang rumah..dah tu perli-perli aku pasal tak dapat bermain. Masa tu aku suka sangat main getah gelang. Tiap kali main, mesti aku yang menang. Kesian jugak bila aku lihat kawan baik aku "Pok Ngah" selalu aje kalah.

Bukan aje aku kira terror main getah, tapi "gundu" getah yang aku buat sendiri (ala..aku cipta la tu..) menjadi minat kekawan lain. Sampai diaorang order kat aku lagi. Dapatlah sikit duit jual "gundu" getah tu. Duit jualan tu aku simpan dalam tabung buluh yang aku buat sendiri.

Kesan parut tersebut masih lagi kekal hingga ke hari ini dan setiap kali aku melihatnya, pasti kenangan ini akan menjelma membuatkan aku tersenyum sendirian.


Nostalgia Ternakan

Masa aku dan keluarga tinggal di Felda Machap pada sekitar 1970an, di sebelah rumah kami ada sebuah reban ayam yang memang besar lebih kurang 20'x30' milik nenek aku. Banyak ternakan dibelanya termasuk ayam dan itik "serati". Disamping tu ada juga sebuah lagi reban ayam daging sebesar 10'x10' behampiran dengan reban induk tadi. Setiap hari aku ditugaskan oleh nenek aku untuk memberi makan kepada kesemua ternakan tersebut. Paling best sekali bila masa memberi makan kepada ternakan tersebut. Banyak...jumlahnya mencecah 60 ~ 80 ekor (masa tu jumlah ini dah kira banyak dah...). Paling best bila mak aku buat masakan kegemaran kami sekeluarga iaitu ayam masak halia...terutamanya kalau ayam kampung. Untuk keluarga kami seramai 11 orang memang setakat 2 ekor ayam memang tak cukup sekali masak.

Sekitar tahun 1998 yang lalu, bila mana aku menyewa rumah di Kg. Baru Batu 14, Puchong,Selangor di belakang rumah aku ada sebidang tanah yang kosong (Masa tu , memang dipenuhi oleh semak-samun). Aku pakat dengan isteri untuk membuat sebuah reban ayam. "Sayang juga, kalau ada lebihan makanan, takkan nak buang macam tu je...rezeki tu..." ujar aku kepada isteri. Lepas bincang punya bincang, kami sepakat nak usahakan tanah di belakang rumah setelah kami minta izin daripada tuan rumah dan tuan tanah.

Kami dirikan sebuah reban ayam berpagar dan beratapkan zing seluas 22'x22'. Mak aku bekalkan beberapa ekor ayam kampung untuk dijadikan baka. Sementara itu, aku beli ayam baka kacukan Ayam Perancis sebanyak 20 ekor dengan harga RM1.50 seekor dari PKPPS. Baka ini aku pilih kerana saiznya yang besar boleh mencecah sehingga 3 kg. Pusingan pertama, memang aku niat nak sedekahkah kepada jiran-jiran sekeliling. Tah macam mana, pagi tu, bila aku bangun pada pagi Jumaat, isteri aku beritahu bahawa pintu reban ayam terbuka. Ayam-ayam aku hilang!!!...kena curi. Punyalah hampa...tak boleh nak cakap, sebab masa tu ayam tersebut dah boleh dikorbankan..Apa nak buat, dah tak ada rezeki kami.

Alhamdulillah, ayam kesayangan aku yang bernama "Jantan" tidak dapat di ambil oleh pencuri tersebut. Aku memang sayang si Jantan. Kalau aku lepaskan dia pada waktu siang hari....walau sejauh manapun dia pergi merayau, bila aku teriak..Jantannn....Jantannnn...pasti dia akan berlari ke arah aku. Tiap-tiap pagi sekitar jam 7 pagi, pasti si Jantan dah terpacul depan pintu rumah sambil mengetuk-ngetuk pintu rumah dengan paruhnya itu.


Anak-anak aku termasuk isteri aku pasti takut bila nak bagi makan pada ayam-ayam tersebut. Apa taknya...si Jantan pasti tunggu depan muka pintu reban...Dia pasti seolah-olah hendak mematuk-matuk kaki mereka. Tapi yang peliknya, bila masa aku beri makan, si Jantan bermanja-manja pulak kat kaki aku....Mana-mana ayam lain yang bergaduh ketika makan, pasti kena terkam dek si Jantan....

Sekali tu, beberapa minggu selepas ayam aku di curi (masih ada beberapa ekor), pada suatu malam aku dikejutkan pada tengah malam (jam 2 atau 3 pagi) dengan bunyi seolah-olah orang sedang meraung-raung diselang seli dengan bunyi anjing berhampiran dengan pintu rumah aku. Aku dan isteri bingkas bangun mencari lampu suluh dan sebatang kayu sebagai senjata...sebab hati aku dah tak sedap mendengarkan bunyi tersebut...Aku intai dari tingkap dapur...Kelibat beberapa ekor anjing sedang mengerumun satu objek...Aku suluh....Ya Allah....si Jantan sedang dikerjakan oleh beberapa ekor anjing.

Lantas aku bingkas buka pintu dapur dan sergah sambil membaling kayu ke arah anjing...anjing tersebut. Apa lagi, kumpulan anjing (lebih dari 3 ekor) tersebut bertempiaran lari...Aku terus menuju ke arah si Jantan sambil meneriak..." Jantan...Jantan....". Aku lihat si Jantan sedang menyelimut kepala dan ekornya kedalam kepaknya....Lantas aku belek-belek untuk melihat kalau-kalau ada anggota si Jantan yang cedera atau patah. Alhamdulillah....tidak satupun luka yang aku temui pada anggota si Jantan...Aku periksa reban ayam, tidak seekorpun ayam yang lain mati. Terima kasih, Jantan...kerana menyelamatkan ayam-ayam yang lain, walaupun hampir mengorbankan nyawanya sendiri.

Sejak hari itu, aku semakin bertambah-tambah sayang pada si Jantan. Aku bilang pada isteriku,"Abang takkan korbankan (sembelih) si Jantan...biarlah dia mati kerana ajalnya sendiri. Hampir menitis airmata aku setiap kali mengenangkan sepanjang si Jantan masih hidup. Pengorbanannya....mempertahankan ayam-ayam lain daripada daripada serangan anjing...serangan biawak....ular dan sebagainya. Terlalu panjang rasanya untuk aku coretkan kenangan itu.

Seminggu sebelum hayat si Jantan berakhir, ia seolah-olah memberitahu aku...akan ajalnya dah semakin tiba...aku beri ubat yang di bekalkan oleh PKPPS ...Namun selepas pulih beberapa hari selepas itu...si Jantan kesayangan aku telah pergi buat selama-lamanya....Menitis airmata..ketika aku kuburkannya bersebelahan dengan tapak rumah yang aku diami sekarang ini. Sejak dari itu, aku seolah-olah telah putus harap untuk menternak lagi...kerana tak sanggup rasanya dan terlalu sukar untuk mencari pengganti seperti si JANTAN aku ini. Selepas itu, reban ayam yang aku buat sendiri itu aku beri kepada mak cik (arwah) tuan tanah. Dia memang berminat dengan reban ayam aku ni...Cantik....kemas...dan kukuh. Jiran-jiran yang lain tolong angkat beramai-ramai untuk dipindahkan ke belakang rumah mak cik tersebut.


Sunday, July 08, 2007

Pengenalan

Assalamualaikum.

Sejak dari dahulu lagi semasa aku masih kecil, aku memang meminati ketiga-tiga cabang ini iaitu Perniagaan, Penternakan dan Pertanian. Entah kenapa agaknya ianya seolah-olah memang telah sebati dengan jiwa aku yang aku sukakan cabaran dan kerja-kerja kasar yang memerlukan kerahan tenaga dari tulang empat kerat ini.

InsyaAllah, aku akan cuba sedaya upaya untuk memberikan maklumat yang berguna kepada rakan-rakan yang turut sama berkecimpung dengan bidang ini.

Wassalam.


Selamat Datang

Assalamualaikum,
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, hari ini 7hb. Julai 2007 (07/07/07) bersamaan dengan 15 Jamadil Akhir 1428H, aku telah melancarkan secara rasminya laman blog ini sebagai satu penyampaian dan perkongsian yang berguna bukan sahaja kepada rakan-rakan yang lain bahkan juga untuk diri aku sendiri.

Segala idea dan cadangan-cadangan yang bernas diharap dapat dikongsi untuk kebaikan bersama adalah amat dialu-alukan. Jangan segan-segan untuk email kepada aku.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang kurang baik itu semestinya dari kelemahan aku sendiri.

Wassalam.